ANALITIC

Khamis, Mac 01, 1990

M. Nasir perkenal muzik senusantara

petikan Berita Harian 1 Mac 1990

Oleh A. Kadir Pandi

Penulis sambilan

SATU era baru telah muncul dalam arena muzik Melayu. Era ini dikenali sebagai ‘Balada Nusantara’ yang mendapat perhatian serius daripada pemuzik, pencipta dan juga peminat seni suara.

M. Nasir, seorang pencipta dan penerbit album, telah memperkenalkan era ini melalui lagu Mustika yang terdapat dalam album solonya yang terbaru.

Kemudian, Manan Ngah, seorang lagi pencipta terkenal dari Malaysia, mengembangkan muzik nusantara ini kepada orang ramai menerusi penyanyi sulungnya, Sheqal.

Apakah itu muzik ‘Balada Nusantara’?

Dalam temuramah yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen swasta di Kuala Lumpur baru-baru ini, M. Nasir memberitahu bahawa muzik tersebut adalah satu komposisi alat-alat muzik tradisional yang satu ketika dulu menjadi kebangaan di kepulauan Melayu yang merangkumi beberapa buah pulau seperti New Guinea, Filipina, daerah Acheh, Jawa, Sumatera, Borneo dan juga Sulawesi.

Ia adalah campuran muzik populor masa kini bagi menyesuaikan suasana dan selera para pendengar.

Ia juga merupakan satu percubaan untuk menyatukan gabungan irama dan alat-alat muzik tradisional seperti angklung, gamelan dan irama zapin yang disatukan menjadi muzik populor.

M. Nasir menyifatkan muzik ‘Balada Nusantara’ bukan satu tren, tetapi satu perkembangan yang harus dikekalkan sampai bila-bila.

“Muzik ini boleh dijadikan sebagai satu budaya kita sendiri,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, tidak menafikan bahawa muzik rok hari ini adalah warisan dari Barat. Ia bukan budaya Melayu dan sama sekali tidak boleh diterima sebagai budaya orang-orang timur.

Istilah ‘rok Melayu’ yang sering kedengaran hari ini adalah kebetulan liriknya Melayu dan dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Tetapi muzik rok dan irama itu sendiri adalah dari Barat.

Dalam majlis pelancaran album solo M. Nasir di Kuala Lumpur tahun lalu, satu seminar mengenai corak dan irama ‘Balada Nusantara’ ini telah diadakan. Beberapa orang pemuzik terkenal menjadi panel dalam seminar itu.

Berbagai tanggapan dan pendapat telah diluahkan. Seminar tersebut, menurut beberapa orang pemerhati, berguna untuk generasi hari ini meskipun terdapat beberapa pandangan yang bercanggah.

Dalam satu temuramah di Kuala Lumpur tidak lama dulu, Manan Ngah berkata masanya sudah tiba bagi pemuzik-pemuzik hari ini melebihkan perhatian kepada muzik dan lagu-lagu ‘Balada Nusantara’.

“Amatlah baik kalau percubaan M. Nasir dan saya sendiri menjadi satu rangsangan kepada pencipta-pencipta dan pemuzik-pemuzik lain,” kata Manan.

Beliau mula tertarik dengan lagu-lagu ‘Balada Nusantara’ ini setelah mendapatinya amat berguna untuk generasi hari ini.

Alat-alat muzik tradisional yang terdapat di rantau Nusantara ini dapat diadun menjadi satu komposisi muzik yang menarik.

Dalam album sulung Sheqal, yang sudah ada dalam pasaran sekarang ini, Manan telah membuat satu percubaan yang serius.

Adunan irama daripada alat-alat muzik tradisional ketara dalam lagu Cinta Nusantara ciptaan Manan Ngah sendiri dan lirik oleh Habsah Hassan.

Antara seni kata lagu itu berbunyi:

Berinduk bak ayam

Rumpun bak serai

Junjung Bak Sirih

Itulah kita

Di Nusantara....’

Seni kata Habsah Hassan ini jelas menggambarkan bukan saja satu rumpun bangsa, tetapi juga satu rumpun muzik tradisional yang harus disatukan menjadi satu budaya untuk perkembangan muzik hari ini.

Tiada ulasan: