ANALITIC

Khamis, Mac 01, 1990

Album ‘Teori Domino’ Wings diedar minggu ini

petikan Berita Harian 1 Mac 1990

 

WINGS: Jualan dua albumnya sebelum ini, Irama Belenggu dan Hukum Karma melebihi 290,000 unit.

ALBUM terbaru kumpulan Wings, berjudul Teori Domino terbitan M. Nasir telah diedarkan mulai minggu ini.

Album ketiga yang dikeluarkan oleh syarikat mereka sendiri, Fly Wings dan diedarkan oleh BMG, masih menggunakan konsep ‘hard-rock’. Ia memuatkan pelbagai rentak seperti ‘reggae’, ‘blues’, pop rok, ‘ballad’ dan ‘hard rock’.

Di samping itu, album itu juga memuatkan rangkaian lagu yang dinamakan Trilogi, yang mengandungi tiga lagu iaitu Potret Monalisa ciptaan J. S. Kevin dan lirik oleh Ann, Insaf (Wings/Ann) dan lagu Inggeris Midnight Blues (M. Nasir).

Manakala lagu lain berjudul Rantai ciptaan dan lirik M.Nasir, Sejati (M. Nasir), Romania (Keon/Nasir Jani), Bujang Senang (Wings), Di Persimpangan (Keon), Harapan (M. Nasir), Perhentian (J. S. Kevin) dan Alam Barzakh (Wings).

Rakaman album mereka dijalankan selama dua minggu di Sarawak mulai 19 Disember tahun lalu manakala rakaman lagu Sejati dijalankan selama sehari di Kuala Lumpur.

Sebelum rakaman, anggota Wings iaitu Ahmad Azhar Othman (Awie), Abul Zamin Kadir (Joe), Samsaidin Ulung Idris (Eddie) dan Azmi Hashim (Black) bersama M. Nasir telah mengadakan latihan pesat untuk memastikan album mereka kali ini lebih hebat.

Wings, yang dianggap sebagai salah sebuah kumpulan rok terbaik di negara ini, bukan saja terkenal di Malaysia, tetapi Singapura dan Brunei Darussalam. Mereka juga pernah mengadakan persembahan di Thailand.

Album pertama mereka yang berjudul Belenggu Irama yang diedarkan pada 1987 mendapat sambutan menggalakkan dan kira-kira 120,000 unit telah dijual. Lagu Peronda Jaket Biru dan Biarkan Berlalu adalah antara lagu yang diminati ramai.

Album kedua pula berjudul Hukum Karma dikeluarkan tahun lalu dan lebih 170,000 unit telah dijual.

Lagu popular mereka, Misteri Mimpi Syakilla, Hukum Karma dan Taman Rashidah Utama menjadi siulan anak muda.

Lagu Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama berjaya ke peringkat akhir ‘Juara Lagu 89’ terbitan TV3 dan Wings berjaya meraih tempat kedua dan ketiga dalam kategori Persembahan Terbaik.

Pengurus mereka, Ali Bakar, berkata sebagai langkah memperkemaskan lagi persembahan Wings, anggotanya kini menjalani pelbagai kursus.

Penyanyi utamanya, Awie, mengambil kursus vokal dan bahasa Inggeris, Joe kursus membaca nota di Yamaha, Eddie kelas bass di Babybos Studi, membaca nota dan susunan muzik, manakala Black kursus dram.

Awie, selain menyanyi boleh bermain gitar utama, dram dan bass, Joe (dram dan keyboard), Eddie (dram, keyboard dan gitar), Black (gitar utama dan gitar bass). — BHM.

Tiada ulasan: