ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label MACP (Music Authors' Copyright Protection). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MACP (Music Authors' Copyright Protection). Papar semua catatan

Jumaat, Disember 05, 2025

Anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi MACP kekal milik M Nasir

petikan Utusan Malaysia 5 Disember 2025

Oleh -siti Athirah Dzulkifly

KUALA LUMPUR: Komposer ternama tanah air, Datuk M. Nasir, sekali lagi mengukuhkan reputasinya apabila dinobatkan sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2025 yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.

Tokoh muzik legenda itu mengetepikan saingan rapatnya, Saari Amir dan Ezra Kong, sekali gus mempertahankan gelaran yang turut diraihnya pada edisi lalu.

Menurut M. Nasir, pengiktirafan tersebut adalah hasil sokongan semua pihak yang sentiasa berada di belakangnya.

“Saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada keluarga, isteri serta anak-anak,” katanya sejurus menerima anugerah berkenaan.

Komposer tersohor itu turut merangkul kemenangan bagi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu ikonik Tiara, mengatasi saingan karya Gatal (Aepul Roza) serta Qing Fei De Yi (Tang Xiao Kang/Zhang Guo Xiang).

Bagaimanapun, syarikat rakaman milik beliau, Luncai Emas Sdn. Bhd., terpaksa melepaskan gelaran Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi kepada Taja Archive Sdn. Bhd.

Dalam kategori lain, Lagu Melayu Persembahan Tertinggi menjadi milik Sayunk I Love You ciptaan Hari dengan lirik oleh Ajim Maze.

Bagi Lagu Inggeris Persembahan Tertinggi, kemenangan berpihak kepada Old Love hasil nukilan Yuji.

Sementara itu, komposer muda Firdhaus terus menyerlah apabila sekali lagi memenangi kategori Lagu Cina Persembahan Tertinggi melalui karya Zai Jia Na Gong He Guo Li Hun.

Bintang berusia 25 tahun itu turut diiktiraf sebagai Komposer Muda Berpotensi.

Kategori Lagu Tamil Persembahan Tertinggi pula menyaksikan kejayaan Yennode Macha, ciptaan Zubir Khan & Music Kitchen, dengan lirik turut ditulis Zubir Khan.

Di peringkat penerbitan, Warner Chapel Music muncul Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi, mengetepikan Sony Music Publishing serta mengambil alih kedudukan Universal Music Publishing yang menang tahun lalu.

Bagi kategori Lagu Luar Negara Persembahan Tertinggi, kemenangan diraih karya Dawai ciptaan komposer Indonesia, Hendro Djasmoro.

Satu lagi penghargaan istimewa, Anugerah Nadi Cipta, diberikan kepada komposer berpengalaman Eddie Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Adenan, 63, atas sumbangan besarnya dalam dunia muzik.

Majlis anugerah MACP 2025 yang memasuki edisi ke-36 itu dikendalikan oleh pengacara Hunny Madu, dan diserikan dengan persembahan artis termasuk Ella, Ezad Lazim, Iman Troye, Firdhaus serta Sophia Liana.

Isnin, Jun 30, 2025

'Lebih baik berunding' - M Nasir

petikan Harian Metro 30 Jun 2025

Syafil Syazwan Jefri syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, komposer dan penerbit, Datuk M Nasir melihat bahawa rundingan damai adalah jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan kemelut antara Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3P Muzik Malaysia) serta tiga pengerusi Collective Management Organisation (CMO), yang tular baru-baru ini.

M Nasir ketika ditemui di sidang media Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 berkata, isu itu juga sudah dibawa ke peringkat undang-undang dan tidak dapat diulas olehnya.

"Benda ini sudah dibawa ke peringkat undang-undang. Rundingan adalah penyelesaian terbaik," katanya.

Terdahulu, Presiden 3P Muzik Malaysia, Aris Ariwatan meluahkan kekecewan dengan keengganan tiga organisasi pengurusan kolektif industri muzik yang tidak bersetuju dengan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

"Sebenarnya nak cakap susah, tak cakap pun susah. Sebab tiga pengerusi CMO boleh dikatakan kawan kami dan ahli kami. Bukan orang lain pun.

"Tapi saya nak mohon jangan keterlaluan sehingga kelihatan biadap kepada kerajaan. Ini kerana arahan bila keluar harus dipatuhi," katanya.

Sidang media yang dijalankan baru-baru ini dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ini diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) yang dilihat tidak akur dengan ketetapan baharu dibuat kerajaan dalam isu kutipan royalti.

Rabu, Disember 11, 2024

‘Tiara’ bawa tuah M. Nasir kekal kedudukan pencipta pendapatan tertinggi

 petikan Berita Harian Singapura 11 Disember 2024

HARYANI ISMAIL


Lagu ciptaan Datuk Dr M. Nasir mempunyai ‘jiwa’ sehingga mampu menyentuh hati ramai yang mendengar, baik diusik kesedihan mahupun membangkit semangat kemelayuan.

Apabila pemilik nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed, 67 tahun, mengulangi kejayaan lantas mengekalkan kedudukannya sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2024 pada 6 Disember, beliau menganggap ia hasil kritikan membina insan penting dalam hidupnya.

Nasir, seniman kelahiran Singapura, yang juga memenangi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu Tiara turut menumpaskan dua calon lain, lagu Ke Zai Wo Xin Di De Ming, ciptaan Jia Wang dan Xu Yuan Ting, serta Gatal, ciptaan Aepul Roza.

Majlis gilang-gemilang di M Resort & Hotel Kuala Lumpur turut meraikan ulang tahun ke-35 MACP.

Pada 2023, M. Nasir memenangi kejayaan serupa sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi dan Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi.

“Saya harus tegaskan anugerah yang saya terima ini bukan kerana lagu Tiara itu adalah yang terbaik tetapi MACP mengiktirafnya dari segi hasil penjualan.

“Sedang kemungkinan ada lagu lama yang lebih baik daripada Tiara, mungkin populariti lagu berkenaan tidak sampai membawa pada rekod penjualan yang menggalakkan.

“Kita sebenarnya tak tahu lagu mana adalah yang lebih baik berdasarkan kriteria bagi anugerah ini,” jelas Nasir yang menghargai jasa MACP kepada komposer dan penerbit muzik sepanjang tiga dekad ini.

Bercakap dengan media seberang dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di YouTube, Nasir hargai setiap maklum balas yang diterimanya dalam memperkasa karya seninya dari masa ke masa.

Pada lewat 1980-an, beliau hanyalah anggota eksekutif biasa MACP sebelum diberi jawaran pengerusi bagi anggota Lembaga MACP.

Ketika menerima anugerahnya, beliau juga menggesa komposer muda agar menghasilkan lagu yang boleh diterima pendengar di luar Malaysia.

“Bukan sahaja anda perlu sasarkan lagu Melayu anda kepada pasaran di Indonesia atau Singapura tetapi ke pasaran lain sebab terbukti ada penyanyi Melayu kita dikenali di China dan India.

“Pasaran di dua negara ini amat besar,” jelasnya.

Nasir dilahirkan pada 21 Mei 1957 dan menetap di kawasan Bukit Panjang.

Beliau adalah anak keempat dalam sembilan beradik.

Bapanya, Encik Mohamed Sam, berasal dari Pagoh di Muar, Johor dan berhijrah ke Singapura untuk menjadi ahli bomba. Ibunya warga Singapura.

Nasir mula aktif menghasilkan karya muzik pada 1978. Sahabatnya, Wan Ibrahim, merupakan penerbit eksekutif label rakaman PolyGram Singapore.

Nasir diminta menulis lirik bagi band terkenal di Malaysia, Alleycats.

Beliau kemudian meneroka bidang nyanyian dengan album berjudul Untuk Pencinta Seni, dengan menggunakan nama pentas, Mohamad M.N, pada 1979.

Album itu kurang berjaya dan beliau kemudian membangun kumpulan Kembara pada 1981 bersama A. Ali, S. Sahlan, Eddie Ali dan Ebby Ali.

Nasir membawa haluan berhijrah ke Malaysia pada 1982.

Segala pengalaman yang dibawa dari Singapura kian diperkasa dengan peluang mencipta banyak lagu hit bukan sahaja untuknya tetapi artis lain.

Beliau juga mengembangkan sayapnya dalam bidang lakonan.

Pada majlis 6 Disember itu, MACP turut menghargai sumbangan seorang lagi anak Singapura, iaitu Allahyarham Rosli Khamis, atau nama pentasnya, Loloq.

Loloq merupakan seorang penulis lirik yang disampaikan dengan Anugerah Nadi Cipta.

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 50 tahun pada 30 Januari 2008 kerana pendarahan otak merupakan penulis lirik bagi banyak lagu seperti Aduh Saliha, Apokalips, Bonda serta Cinta Adam dan Hawa. – HARYANI ISMAIL

Sabtu, Disember 07, 2024

M Nasir pertahan gelaran Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi 2024

petikan Berita Harian 7 Disember 2024 

Oleh Affan Rostam - affan.rostam@bh.com.my

Dari kanan, Pengasas Inkhouse Pictures, Datuk Khairul Anwar Salleh bersama Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail menyampaikan anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah MACP 2024 kepada M Nasir.

KUALA LUMPUR: Datuk M Nasir mengekalkan kedudukan sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2024 di sini, malam tadi.

Maestro muzik legenda itu mengenepikan saingan terdekat, iaitu Saari Amri dan Namewee, sekaligus mempertahankan anugerah yang pernah dimenanginya, tahun lalu.

M Nasir dalam ucapan ketika menerima anugerah mengakui apa yang diterima adalah hasil sokongan insan penting di sekelilingnya.

"Saya berterima kasih kepada keluarga, isteri anak-anak, kawan-kawan dan mereka yang bersama-sama berjuang serta menjadi pengkritik terbesar kepada diri saya.

"Ini membuat saya mahu cuba mencipta sesuatu lebih bagus, sedap didengar dan artistik. Mereka inilah pengkritik terbesar saya. Saya bersyukur ada orang seperti ini," katanya.

Selain itu, M Nasir turut memenangi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu Tiara mengatasi dua calon lain iaitu lagu Ke Zai Wo Xin Di De Ming ciptaan Jia Wang dan Xu Yuan Ting serta Gatal (Aepul Roza).

Pada anugerah sama, syarikat rakaman miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd memenangi kategori Lagu Luar Negara Persembahan Tertinggi menerusi lagu Cinta Sampai Mati mengenepikan Warner Chappel Music (Malaysia) Sdn Bhd (Ya Allah) dan Shake Music Company Limited (Pamela).

Bagi kategori Lagu Melayu Persembahan Tertinggi dimenangi lagu Gatal ciptaan sepenuhnya Aepul dengan menewaskan lagu Pasti (Hang Nadim/Afiez Newboyz) dam Gadis & Bunga (Johari Salleh).

Lagu Inggeris Persembahan Tertinggi dimenangi lagu Que Chill ciptaan Malique dan Tripdis dengan lirik ditulis Hang Nadim mengatasi WHUT (Aisha Retno) dan My World Too (Aubrey Suwito)

Lagu A La Si Jia Hai Wan ciptaan Firdhaus memenangi kategori Lagu Cina Persembahan Tertinggi mengenepikan lagu Bo Li Xin (Namewe) dan Ke Zai Wo Xin Di De Ming Zi (Jia Wang dsn Xu Yuan Ting).

Lagu Tamil Persembahan Tertinggi menyaksikan kemenangan berpihak kepada lagu Perak Kulle ciptaan Krish K menewaskan Sandiyar Kathai (DJ Gan/Havoc Naven/Havoc Math) dan Nanbanukaghe (Havoc Mathan).

Sementara itu, syarikat rakaman, Taja Archive Sdn Bhd memenangi kategori Penerbit Tempatan Pendapatan Tertinggi menewaskan pemenang tahun lalu, Luncai Emas Sdn Bhd dan satu lagi calon iaitu MVM Production Sdb Bhd.

Penerbit Pendapatan Tertinggi Universal Music Publishing Sdn Bhd mempertahankan kemenangan tahun lalu dengan menewaskan Sony Music Publishing Sdn dan Warner Chappel Music (Malaysia) Sdn Bhd.

Pencipta Terbaik di TikTok 2023/2024 dimenangi Harry Khalifah atau Apak dengan mengatasi M Nasir dan Saari Amri

Penyanyi rap wanita yang kian menempa nama dengan pelbagai kejayaan diraih iaitu Bunga atau nama sebenar, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari diumum penerima kategori Komposer Muda Berpotensi.

Bunga diumum penerima kategori Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah MACP 2024 di ibu negara, malam tadi. - Foto NSTP Aswadi Alias

Anugerah khas, Nadi Cipta diberikan kepada penulis lirik, Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq atas pelbagai sumbangan dalam bidang muzik sepanjang hayatnya.

Anugerah MACP 2024 turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Nik Kamarulzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam; Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Dr Mohd Zuhan Mohd Zain serta Pengarah Serantau, Gabungan Persatuan Pengarang dan Komposer Antarabangsa (CISAC), Benjamin Ng.

Anugerah MACP 2024 sempena ulang tahun ke-35 dihoskan oleh Hafiz Hatim dan Hunny Madu.

Acara berkenaan turut diserikan dengan persembahan daripada Salamiah Hassan, Misha Omar, Akim Ahmad, Stacy, Dhilip Varman, Bell Foo Zya dan M Nasir.

Selasa, Disember 12, 2023

Formula M Nasir raih pendapatan tinggi

petikan Berita Harian 12 Disember 2023

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin 

KUALA LUMPUR: Penggiat muzik tanah air disarankan tidak terlalu bergantung kepada pasaran muzik tempatan, sebaliknya perlu mencari formula memasarkan karya ke negara jiran supaya mampu meraih pendapatan lebih tinggi.

Maestro muzik dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir berkata, sudah tiba masanya komposer lama memanfaatkan penggunaan platform digital seperti Spotify dan YouTube serta tidak terlalu bergantung kepada medium konvensional seperti radio yang bukan lagi menjadi pilihan utama pencinta muzik.

Katanya, situasi itu memberi kesan kepada perolehan pendapatan komposer lama, malah pendapatannya turut terjejas.

"Kita terpaksa akur industri muzik mengalami perubahan ke arah digital yang menyebabkan pendapatan komposer lama mengalami kejatuhan termasuk saya.

"Saya jangkakan pendapatan daripada 500 lagu ciptaan saya akan semakin meningkat saban tahun, namun tidak sebanyak dahulu.

"Kemerosotan pendapatan tiada kena mengena dengan pandemik kerana ia berlaku sejak industri muzik beralih ke arah digital," katanya kepada BH Online.

M Nasir berkata, komposer lama tidak seharusnya merungut apabila pengagihan royalti merudum.

"Kita kena kaji di mana platform lagu boleh diputarkan. Sekiranya lagu popular di stesen radio kerajaan, namun kurang popular di platform komersial, maka tidak hairan pendapatan tidak selebat dahulu.

"Ramai salah anggap bila lagu popular di stesen radio kerajaan akan dapat pendapatan tinggi.

"Kalau kita tengok, stesen radio swasta jarang putarkan lagu lama kerana pendengar di kalangan generasi muda.

"Sebab itulah pendapatan komposer lama meleset. Ini bukan sebab syarikat rakaman buat pembahagian tidak adil.

"Syarikat rakaman cuba bayar tinggi kepada komposer yang diiktiraf sebanyak 70 peratus, manakala 30 peratus dibahagi kepada syarikat. Namun, pendapatan sekarang memang sudah berkurangan," katanya.

Terdahulu, M Nasir diumumkan sebagai penerima Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada malam Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 yang diadakan di sebuah hotel, malam kelmarin.

Selain itu, M Nasir turut memenangi kategori Persembahan Lagu Terbanyak menerusi lagu Tiara nyanyian kumpulan Tiara, manakala syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd menerima kategori Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi mengetepikan MVM Production Sdn Bhd yang menang, tahun lalu.

Tambah M Nasir, lagu Tiara ciptaannya kembali melonjak kerana pendekatan baru digunakan apabila menampilkan penyanyi baharu dan usaha sama dijalankan dengan syarikat label seberang.

"Kerjasama dengan negara jiran sangat penting kerana mereka memiliki penduduk yang ramai.

"Untuk lagu Tiara, kami gunakan penyanyi baharu sesuai dengan pendekatan sekarang. Melodi lagu ini ada yang diubah, tapi saya tak kisah asalkan keaslian masih ada, jangan sampai orang tak kenal.

"Apa yang dilakukan bergantung kepada nasib. Kami rancang apabila nampak potensi, tapi tak jangka impaknya begini besar," katanya.

Isnin, Disember 11, 2023

M Nasir terima royalti MACP 2023 tertinggi

petikan Berita Harian 11 Disember 2023

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin 

M Nasir tidak menjangkakan kembali memenangi kategori Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi, tahun ini. - NSTP/Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir diumumkan sebagai penerima Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada malam Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Selain itu, M Nasir turut memenangi kategori Persembahan Lagu Terbanyak menerusi lagu Tiara, manakala Luncai Emas Sdn Bhd menerima kategori Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi yang dimenangi MVM Production Sdn Bhd, tahun lalu.

M Nasir tidak menjangkakan kembali menerima kategori Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi yang dimenangi oleh Ezra Kong, tahun lalu.

Katanya, pencipta muda harus mengambil peluang dengan kepesatan teknologi untuk menjalinkan jaringan baharu terutama pendengar dari negara jiran.

"Sekarang kita perlu fikirkan pasaran terlebih dahulu, tiada halangan dari segi kreativiti. Jadi, kena sesuaikan sesuatu lagu dengan kehendak pasaran termasuk dari negara jiran.

"Dalam situasi dunia tanpa sepadan, kita juga kena gunakan rangkaian usaha sama bagi menaikkan sesebuah lagu," katanya.

Sementara itu, Universal Music Publishing Sdn Bhd mengekalkan kemenangan menerusi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi.

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Reedzwann yang popular menerusi lagu Adakah Ini Mimpi pula meraih kategori Komposer Muda Berpotensi.

Bagi menghargai bakti dan sumbangan terhadap perkembangan industri muzik tanah air, MACP memilih Allahyarham JS Kevin yang banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan XPDC sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta.

Sementara itu, lagu A Lai Si Jia Hai Wan ciptaan dan penulis lirik oleh Firdhaus dan Li Kang Ning memenangi kategori Persembahan Lagu Cina Terbanyak.

Bagi kategori Lagu Tamil Terbanyak dimenangi Perak Khule ciptaan dan lirik oleh Krish K.

Kategori Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak menjadi milik lagu Stay Away ciptaan dan lirik oleh Zhe Kamil dan Guccimith.

Lagu Cinta Sampai Mati terbitan Luncai Emas Sdn Bhd menang kategori Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak.

Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi pula menjadi milik lagu Ke Zai Wo Xin Di De Ming Zi ciptaan dan lirik oleh Xu Yuan Ting dan Jia Wang.

Sementara itu, Epul Roza dari kumpulan Drama Band pula dianugerahkan Pencipta Terbaik TikTok bagi lagu Drama.

Anugerah MACP sempena ulang tahun ke-33 diserikan dengan persembahan daripada Liza Aziz, Marsha Milan, Hazama, Ruffedge dan ramai lagi.

Khamis, Julai 07, 2022

MBI lindungi hak pengkarya

petikan Berita Harian 7 Julai 2022

Oleh Balqis Jazimah Zahari  bhnews@bh.com.my

Rumaizi (kiri) dan M Nasir bertukar dokumen pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MBI dan MACP di Majlis Bandaraya Ipoh, kelmarin. - NSTP/L Manimaran

IPOH: Selaras matlamat menjadikan Ipoh, Perak sebagai bandar raya seni, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad bagi menjaga hak pengkarya seni.

Dengan termeterai memorandum itu, MBI muncul pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan MACP.

Inisiatif itu dapat memastikan RadioTV Majlis Bandaraya Ipoh (RTBI) dan semua acara persembahan awam yang dianjurkan, mendapat lesen sah daripada MACP.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata MoU dimeterai dengan MACP melakar sejarah dalam industri muzik tempatan.

"MoU ini membolehkan kita menjalin kerjasama strategik dan mantap," katanya selepas menandatangani MoU bersama MACP di Bangunan MBI, Ipoh, Perak, kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi MACP, Datuk M Nasir dan Pengurus Besar MACP, Mary Yap.

Rumaizi berkata, kerjasama dengan MACP membuktikan MBI sebagai pengguna muzik yang prihatin dan sentiasa responsif dalam menegakkan hak pengkarya muzik.

"Usaha ini juga menzahirkan hak cipta perlu dihormati dan muzik sebagai harta intelek perlu diberi ganjaran bayaran sewajarnya kepada pengkarya," katanya.

Rumaizi berkata, MBI akan sentiasa cakna dan menyokong usaha memartabatkan karya seni anak tempatan.

"Sesebuah karya sudah pasti karya akan menjadi warisan dan aset kebudayaan yang tinggi nilainya," katanya.

Sementara itu, M Nasir menghargai usaha MBI menjaga hak pengkarya muzik tempatan.

"Sebelum ini, kita mungkin tidak ada MoU sebegini dan kita tidak dapat apa-apa daripada aktiviti (karya muzik) di sini (Ipoh).

"Saya mewakili MACP sangat bersyukur kerana Datuk Bandar Ipoh sendiri merealisasikan perkara ini dan peka dengan hasil golongan kreatif yang sepatutnya dibela. Ini usaha yang sangat baik," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan penyanyi Indonesia, Raffa Affar mengolah lagu Tiara ciptaannya untuk kumpulan Kris pada program siaran langsung sehingga mencetuskan perdebatan netizen, M Nasir enggan perkara itu diperbesarkan.

"Itu (cover version) sudah biasa terjadi dalam industri, jadi tiada masalah. Kita (penyanyi tempatan) pun buat sebegitu.

"Ia pendapat peribadi (komen netizen), sama ada hendak marah atau tidak," katanya.

M Nasir menghargai usaha MBI menjaga hak pengkarya muzik tempatan. - NSTP/L Manimaran

Didakwa dendangan Raffa merosakkan melodi dan keaslian lagu, M Nasir berkata, apa yang berlaku adalah fenomena yang tidak terkawal.

"Itu (rosak lagu) iyalah sikit, tetapi perkara ini tetap berlaku dan kita tidak dapat mengawal.

"Kita kalau hendak buat sesuatu (tindakan) boleh, tetapi saya ingat dalam keadaan sekarang, tak payah (perbesarkan) kerana mereka kawan kita juga," katanya.

M Nasir yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi mengakui lagu Tiara versi saduran mendapat tontonan lebih tinggi.

"Aliran sekarang zaman media sosial lain sedikit, halwa telinga pun lain," katanya.

Baru-baru ini, tular klip video dari seberang yang tular menyaksikan Raffa yang mencipta fenomena dengan lagu Cinta Sampai Mati, menyanyikan semula lagu Tiara dalam program hiburan rancangan siaran langsung.

Penyanyi yang mempunyai lebih 22 juta pengikut di platform YouTube itu dituduh merosakkan lagu berkenaan.

Netizen menganggap penyanyi muda itu tidak layak menyanyikan kembali lagu berstatus 'legenda' ciptaan M Nasir itu.

MACP adalah organisasi pengurusan kolektif mewakili hak cipta muzik seperti komposer, pengubah lagu, penulis lirik dan penerbit muzik sebagai ahlinya.

Berpegang objektif membantu melestarikan hak ekonomi pengkarya tanah air melalui pelesenan penggunaan muzik secara komersil, penyampaian kepada awam, penyiaran kepada awam atau pada persembahan awam.

Rabu, Julai 06, 2022

Lagu Tiara dirosakkan penyanyi seberang? Ini jawapan M. Nasir

petikan Kosmo 6 Julai 2022

Oleh LIYANA RAMLI

IPOH – Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M. Nasir tidak berdepan masalah dengan isu lagu Tiara yang dinyanyikan dan diolah semula oleh penyanyi Indonesia, Raffa Affar.

Selaku pencipta sepenuhnya lagu dendangan asal kumpulan Kris tersebut, M. Nasir menganggap perkara sedemikian sebagai isu yang tidak perlu terlalu diperbesar-besarkan.

“Versi cover atau nyanyian semula sudah biasa terjadi dalam industri, jadi tiada masalah, penyanyi dalam negara pun buat sebegitu.

“Komen dari netizen merupakan pendapat peribadi mereka sama ada hendak marah atau tidak,” katanya pada sidang media ketika hadir sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) di Bangunan MBI di sini, semalam.

Datuk Mazlan Abdul Rahman (kanan sekali), Mary Yap Mie Ling (kiri sekali) menyaksikan Datuk Rumaizi Baharin menukar MOU kepada M. Nasir pada Majlis MOU MBI dan MACP di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI, Ipoh, semalam.

Dikatakan nyanyian lagu Tiara oleh penyanyi dari negara seberang itu merosakkan melodi dan keaslian lagu Tiara, tokoh muzik yang terkenal dengan jolokan sifu mengakui perkara tersebut satu fenomena yang tidak dapat terkawal.

“Rosak lagu, ya lah sikit, tetapi perkara itu tetap akan berlaku dan kita tidak dapat kawal.

“Kita kalau hendak buat sesuatu tindakan boleh, tetapi saya ingat dalam keadaan sekarang kita tak perlu perbesarkan kerana mereka ini kawan kita juga,” katanya.

Sementara itu, pelantun lagu popular Mentera Semerah Padi itu mengakui lagu dalam versi ‘cover version’ itu mendapat tontonan yang lebih tinggi berbanding lagu asal disebabkan peredaran zaman.

“Trend sekarang ini zaman media sosial lain sedikit, halwa telinga pun lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, nyanyian semula sebuah lagu balada rock malar segar, Tiara dendangan asal kumpulan era 1980-an, Kris kini menjadi perdebatan peminat dalam laman sosial.

Lagu tersebut terus menjadi bualan ramai susulan cara dendangan seorang penyanyi popular dari Indonesia, Raffa Affar yang dikatakan telah merosakkan melodi dan keaslian lagu berkenaan.

Menerusi satu klip video dari seberang yang tular menyaksikan penyanyi yang pernah mencipta fenomena dengan lagu Cinta Sampai Mati itu menyanyikan kembali lagu Tiara dalam sebuah program hiburan rancangan siaran langsung.

Memetik laporan itu, penyanyi yang mempunyai pengikut lebih 22 juta dalam YouTube itu menerima pelbagai kecaman dan dituduh merosakkan lagu tersebut.

Orang ramai terutamanya peminat dari Malaysia menganggap penyanyi muda itu tidak layak untuk menyanyikan kembali lagu berstatus ‘legenda’ ciptaan M. Nasir. – KOSMO! ONLINE

Ipoh City Council first local authority to sign MoU with MACP

Taken from New Starit Times - 6 July 2022

M Nasir (second from right) and Rumaizi (second from left) during the MoU singing ceremony between MBI and MACP. – NSTP pic

KUALA LUMPUR: Ipoh City Council (MBI) has become the nation's first local authority (PBT) to ink a Memorandum of Understanding (MoU) with Music Authors' Copyright Protection (MACP).

In a news report yesterday, Ipoh's mayor Datuk Rumaizi Baharin said: "This memorandum will indirectly help to develop a solid and strategic relationship."

"This partnership will ensure that Radio TV Bandaraya Ipoh (RTBI) as well as public performances at events will obtain valid licences from MACP," he said during the MoU signing ceremony at the MBI office in Ipoh, Perak yesterday.

The signing was witnessed by MACP chairman Datuk M. Nasir and MACP general manager Mary Yap.

Rumaizi added that this was in line with the aspiration and initiative of MBI to develop Ipoh into an arts city and the recent effort provides an example of how MBI is serious about upholding the rights of music artistes.

"This shows that the intellectual rights have to be respected and that the artistes must receive appropriate compensation for their work," he said.

Rumaizi added that, "their works will become our high value cultural heritage and assets."

Meanwhile, M. Nasir expressed his gratitude towards MBI for its efforts in recognising the value of local music works.

"Before an MoU such as this, we would not have been able to receive anything from activities (related to music) that take place here in Ipoh.

"On behalf of MACP I am very thankful to the mayor of Ipoh who has realised this and has been very aware of the works of the creative community that should be championed, so this is a really good effort," he said.

Rabu, Disember 29, 2021

Namawee tewaskan M Nasir

petikan Harian Metro 29 Dismeber 2021

Ridzuan Abdul Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my


DATUK M. Nasir berucap perasmian anugerah MACP 2021. FOTO Owee Ah Chu

Kuala Lumpur: "Nampaknya kali ini ada pesaing," demikian jawapan spontan Pengerusi Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) Berhad, Datuk M Nasir ketika mengumumkan kategori utama iaitu Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah MACP 2021, semalam.

Majlis yang berlangsung dalam suasana norma baharu di The Bee, Publika, di sini, mengiktiraf komposer dan penyanyi, Namawee atau Huang Ming Zhi sebagai pemenang sekali gus menewaskan M Nasir yang sinonim dengan kategori itu serta komposer Ezra Kong yang turut tercalon. 

M Nasir berkata, penggunaan meluas platform digital dilihat menjadi penyelamat kepada industri muzik yang lumpuh ekoran penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun lalu.

"Ahli yang berdaftar dengan MACP harus merebut peluang mengetengahkan karya mereka di platform digital seperti yang dimanfaatkan oleh Namewee. Lagunya tidak dimainkan di stesen radio tetapi Namewee muncul sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi tahun ini. Hasil karyanya kuat di media sosial. Begitu juga dengan I Am Me ciptaan Edry Abdul Halim yang dinyanyikan Datuk Seri Vida," katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu apa strategi mereka dan berapa banyak yang mereka laburkan untuk lagu itu dimainkan di platform digital.

"Namun, berdasarkan royalti yang kita kutip, lagu I Am Me mendapat sambutan di pusat karaoke sehingga berjaya muncul Lagu Inggeris Dengan Dendangan Terbanyak. Walaupun keadaan itu boleh memberikan tekanan kepada orang yang serius buat lagu tetapi kita terpaksa akur kerana ini adalah cabaran dan juga peredaran dunia muzik. 

"Orang sekarang membeli budaya dan gaya hidup seperti TikTok dan ia berlaku di seluruh dunia. Berbanding dahulu, imej dan personaliti seseorang artis itu lebih menjadi ukuran lagunya diminati pendengar yang hanya menikmatinya di radio," katanya.

Sementara itu, Namawee dalam ucapan menerusi rakaman video mengucapkan terima kasih kepada MACP serta peminat yang menyukai lagu ini.

"Saya menghargai mereka yang memahami karya-karya Namewee," katanya yang kini berada di luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, M Nasir berkata, kesan Covid-19 mengakibatkan banyak aktiviti persembahan nyanyian seperti konsert, persembahan terbuka, majlis korporat, perkahwinan termasuk pusat karaoke tidak dapat beroperasi sehingga menjejaskan kutipan MACP.  

Justeru, dia menggesa penggiat muzik harus bersedia untuk berubah serta perlu menyesuaikan diri dengan budaya baru industri muzik, sekiranya tidak mahu ketinggalan.

"Komposer lama yang bergantung kepada kaedah konvensional sudah mula merasakan kesan apabila pendapatan tahunan royalti mereka mula terjejas. Kalau tanya kepada saya sampai bila kita akan berada dalam keadaan ini, saya tidak ada jawapan. Mungkin perlu tunggu antara dua ke tiga tahun. 

"Bukan kita saja yang mengalami masalah itu, tetapi komposer di seluruh dunia turut merungut apabila album tidak boleh jual sehingga ada yang terpaksa memberikan album percuma kepada peminat," katanya. 

Diminta mengulas mengenai isu pengusaha produk yang berlumba-lumba ingin bergelar penyanyi, M Nasir berkata ia  juga sebahagian daripada peredaran semasa. 

Bagaimanapun katanya, sedikit sebanyak ia tetap memberi kesan kepada industri muzik terutama mereka yang serius mahu menghasilkan lagu. Tambahan pula industri muzik negara ini tidak sebesar mana.

M Nasir bagaimanapun lega dengan kelahiran komposer generasi muda yang diberi gelaran BBNU kerana mereka inilah juga yang membantu menggerakkan industri muzik mengikut arus semasa.

  "Saya rasa gembira bila melihat komposer muda yang konsisten menghasilkan lagu seperti Ezra Kong, Zynakal dan beberapa nama lagi. Mereka ini berjaya mewujudkan satu komuniti untuk menggerakkan lagi industri muzik kita. Namun, mereka haruslah konsisten dan janganlah minat itu hanyalah sekadar sementara saja," katanya.

Isnin, November 23, 2015

Siapa kaya? Edry, Habsah dan M Nasir paling banyak royalti

petikan MalayMail Online 23 November 2015

Edry Abdul Halim, atau lebih dikenali Edry KRU, memecah monopoli M Nasir yang memegang rekod menerima royalti tertinggi selama 13 tahun. — Foto ehsan Instagram/Edry Abdul Halim

Edry Abdul Halim, atau lebih dikenali Edry KRU, memecah monopoli M Nasir yang memegang rekod menerima royalti tertinggi selama 13 tahun. — Foto ehsan Instagram/Edry Abdul Halim
KUALA LUMPUR, 23 Nov — Siapa yang paling kaya dalam industri muzik tempatan?

Penggubah lagu Edry Abdul Halim, penulis lirik Habsah Hassan dan penerbit Datuk M Nasir menerima pendapatan terbanyak dalam Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP).

Mereka bertiga menerima pengiktirafan tersebut dalam satu majlis anugerah di Damansara, malam tadi.

Edry, anggota kumpulan adik-beradik KRU, yang menerima pengiktirafan tersebut buat kali kedua berturut-turut berkata ia menjadi semangat untuk terus berkarya.

“Dalam berkarya, harus ada keikhlasan kerana dengan cara itu sesuatu lagu itu dapat sampai kepada peminat.

“Anugerah ini adalah suatu pemangkin semangat kepada komposer seperti saya untuk terus berkarya,” katanya seperti dipetik mStar Online.

Tahun lalu, Edry memecah monopoli M Nasir yang memegang rekod menerima royalti tertinggi selama 13 tahun.

 Namun penyanyi dan penggubah terkenal pada tahun ini melalui syarikatnya Luncai Emas masih mengekalkan kemenangan menerusi anugerah penerbit tempatan dengan pendapatan terbanyak.

Habsah, yang juga pengerusi MACP, menerima anugerah penulis lirik dengan pendapatan terbanyak.

Anugerah MACP diberikan sebagai penghargaan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang karya untuk perkembangan industri seni negara.

Hasil royalti penggiat seni yang berdaftar dengan badan ini dikutip daripada persembahan muzik di radio, TV, konsert, majlis makan malam, pusat beli-belah dan organisasi lain yang dilesenkan oleh MACP.

 Hadir sama di Malam Mesra MACP, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang menyampaikan anugerah nadi cipta kepada komposer era 1950-an, Sharuddin Amin, 81.

Yuna pula menerima anugerah persembahan lagu Inggeris terbanyak menerusi lagu “Rescue,” manakala “Gadis Jolobu” nyanyian Waris dan Hattan menang kategori persembahan lagu Melayu terbanyak.

Penyanyi dan komposer Amir Jahari pula dipilih sebagai penerima trofi kategori komposer muda berpotensi.

Isnin, November 24, 2014

Edry pecah dominasi M Nasir

petikan Berita Harian 24 November 2014

KUALA LUMPUR: Rekod 13 tahun sifu muzik terkenal, Datuk M Nasir sebagai Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak, akhirnya dipecahkan Edry Abdul Halim pada Anugerah MACP 2014, malam ini.

Bagaimanapun, Nasir menerusi syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd mengungguli kategori Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak pada majlis anugerah anjuran Persatuan Perlindungan Hak Cipta karyawan Muzik (MACP) itu.

Turut diumumkan, Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak yang dimenangi Habsah Hassan; Komposer Muda Berpontensi (Akim Ahmad); Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak (Yuna/I wanna Go); Lagu Melayu Persembahan Terbanyak (Malique/Zizan dan Kaka/Bawaku Pergi) dan Anugerah Nadi Cipta (Saari Amri).

Isnin, November 25, 2013

M.Nasir Terus Ungguli Anugerah MACP

petikan mStar 25 November 2013
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

M.Nasir menang dua anugerah. -foto SHAARI CHE MAT/The Star

PETALING JAYA: Komposer terkenal Datuk M. Nasir terus mengungguli Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2013 apabila memenangi dua anugerah pada majlis yang diadakan di Hotel Royale Bintang Damansara di sini, malam Ahad.

M.Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed menerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-14.

Selain itu, syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd memenangi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

M.Nasir ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dengan kemenangan tersebut selain berharap pihak MACP terus berusaha untuk membantu penggiat seni sepertinya dalam soal royalti.

"Jika tiada MACP mungkin royalti kami tidak dapat dikutip dan peranan mereka sangat penting dalam membela nasib kami," ujarnya.

Presiden MACP, Habsah Hassan pula menerima anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak untuk tahun ini.

Anugerah tersebut sebelum ini diungguli oleh Allahyarham Rosli Khamis (Loloq).

Dalam pada itu, anugerah Nadi Cipta dimenangi oleh komposer terkenal Johan Nawawi.

Johan dipilih memenangi anugerah tersebut atas sumbangannya terhadap industri muzik selama 20 tahun.

Antara artis yang pernah bekerjasama dengannya termasuk Nora, Datuk Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

Sementara itu, penyanyi dan komposer, Aizat Amdan dipilih sebagai penerima anugerah Komposer Muda Berpotensi.

Manakala anugerah Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi dimenangi oleh EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd.

Sementara itu, komposer dan penyanyi rap, Malique menerima anugerah Persembahan Lagu Melayu Terbanyak menerusi lagu Bawaku Pergi yang dinyanyikan oleh Kaka dan Zizan.

Bagi kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi dimenangi oleh Michael Wong menerusi lagu ciptaannya berjudul Tong Hua.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berbentuk sebuah trofi.

Majlis yang diacarakan oleh AG itu turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi MACP, Habsah Hassan.

Berikut adalah senarai penuh penerima Anugerah MACP 2013 :

1. Anugerah Nadi Cipta :

2. Komposer Muda Berpotensi : Aizat Amdan

3. Persembahan Lagu Tamil Terbanyak

Lagu: Mazhaiye Van Mazhaiye

Penyanyi : Vilaiyaatu Pasange

Komposer & Penulis Lirik : Saravanakumar Vengedasalam.

4. Persembahan Lagu Cina Terbanyak

Lagu: Jian Ao

Penyanyi : Jess Lee

komposer & Penulis Lirik : Yow Shann Giang, Xu Shi Zhen, Wu Hu Fu dan Fu Cong Li.

5. Persembahan Lagu Melayu Terbanyak

Lagu : Bawaku Pergi

Penyanyi : Zizan Razak & Kaka

Komposer & Penulis Lirik : Malique

6. Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak

Lagu : Fantastic Baby

Penyanyi : Big Bang

Komposer & Penulis Lirik : G-Dragon, Te Di dan TOP

7. Pendapatan Luar Negara Tertinggi

Lagu : Tong Hua

Penyanyi : Michael Wong

Komposer & Penulis Lirik : Michael Wong

8. Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak :

Luncai Emas Sdn Bhd

Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak:

EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd

9. Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak :

Abdul Jalil Saleh (Juwie)

Habsah Hassan

Rosli Khamis (Loloq)

10. Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak :

Edry Abdul Halim

Mohd Nasir Mohamed

Saari Jusoh (Saari Amri)

Selasa, Disember 11, 2012

‘Saya tiada formula’


petikan Harian Metro 11 Disember 2012

PENCAPAIAN komposer terkenal, Datuk M Nasir dalam industri tanah air sememangnya sudah terbukti. Apatah lagi, dulu beliau bergandingan mantap dengan penulis lirik, Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq yang dilihat cukup mengenali citarasa sebenar M Nasir.

Pun begitu, kematian Loloq empat tahun lalu nyata meninggalkan kesan yang besar kepada industri muzik tempatan dan M Nasir pula seakan-akan ‘kepatahan sayap’.
Apapun, kejayaan gandingan ini nyata belum mampu digugat dan nampaknya terus unggul.

Malah, ia terbukti apabila komposer dan penghibur kelahiran Singapura itu dipilih memenangi anugerah kategori Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat tahun ke-13 berturut-turut pada majlis Malam Mesra MACP 2012 yang berlangsung pada minggu lalu.

Pada majlis tahunan anjuran Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) itu juga, M Nasir menerusi syarikat rakamannya, Luncai Emas Sdn Bhd turut dipilih untuk memenangi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak bagi pengagihan kutipan keseluruhan royalti sepanjang 2011 lalu.

Justeru, apakah formula digunakan penyanyi lagu Mentera Semerah Padi dan Tanya Sama Hud Hud itu di sebalik kejayaannya untuk kekal bertahan? Bahkan, sejauh mana kekuatan lagu-lagu malar segar yang pernah dihasilkannya masih berjaya menambat hati pendengar muzik di negara ini untuk jangka masa agak lama?

Sehubungan itu, ikuti temubual wartawan Harian Metro, Norhayati Nordin (yati@hmetro.com.my) dan jurugambar, Adi Safri bersama M Nasir yang ditemui selepas majlis itu berakhir.


RAP: Apa komen Datuk mengenai kemenangan ini?

M NASIR: Saya rasa macam bertuah kerana pada awal pembabitan saya dalam menulis lagu ini pun, sudah banyak lagu saya diterima dan disukai pendengar. Sebab itu juga, banyak yang jadi malar segar kerana saya buat banyak lagu. Kerana itu juga, kalau tiada lagu tahun ini pun, ia akan tetap dimainkan.

Jadi, ini hak persembahan penulisan berkaitan kekerapan ia sering dimainkan.
Bukan hanya lagu yang saya nyanyikan saja, tetapi dicipta juga. Banyak yang Alhamdulillah sudah menjadi hingga sering dimainkan, maka saya dipilih memenangi anugerah ini.


RAP: Apakah Datuk memiliki sebarang formula dalam penulisan lagu?

M NASIR: Sebenarnya sukar saya nak cakap sebab kalau ada formula mungkin saya boleh ajar orang. Tetapi, cara untuk membuat lagu itu tetap ada. Namun, untuk membuat lagu yang orang suka dan sedap didengar itu menjangkau saya punya teknikal.

Ia lebih kepada ilham atau pun lebih kebatinan atau kerohanian. Bukannya setakat teknikal saja semata-mata sebab kita penulis lagu yang berjaya, biasanya dapat mengenal pasti melodi atau seni kata yang bagus. Boleh dikatakan, ia mendapat anugerah ‘mengenal’ yang lagu dibuat itu akan menjadi dan sedap didengar.


RAP: Loloq sudah tiada, bagaimanakah sekarang dan sudah bertemu pengganti?

M NASIR: Insya-Allah, boleh terus berkarya lagi kerana saya juga menulis lirik. Apapun, ia takkan sama, tetapi akan tetap ada. Allah Maha Kaya kerana ia takkan hilang dan tetap ada.

Pun begitu, saya tak kata arwah Loloq sudah ada pengganti. Pada saya, arwah takkan ada pengganti melainkan penulis lain itu ada pendekatan berbeza dan dia benar-benar bagus.


RAP: MACP berhadapan kemelut pungutan royalti. Pandangan Datuk mengenai apa yang berlaku?

M NASIR: Saya melihat sebagai tidak cukup kefahaman. Iaitu kefahaman yang kurang oleh beberapa pihak yang memiliki pemikiran mereka sendiri mengenai apa yang harus berlaku.

Dalam soal ini, mereka tak faham betul-betul atau kalau faham pun mungkin mereka ada agenda tersendiri.


RAP: Bagaimana pula dengan kemenangan Luncai Emas?

M NASIR: Luncai Emas banyak lagu kerana kita adalah antara syarikat yang pertama buat perniagaan menerbit dan mencipta lagu. Malah, dalam menjaga hak cipta lagu, kami juga ada banyak lagu dan banyak juga yang popular.

Apapun, anugerah MACP ini lebih kepada mereka (penggiat seni) yang berjaya dan kalau kurang-kuranglah. Ia boleh dikatakan dapat merasa keuntungan kalau ia berterusan kerana tahun ini dan sebelumnya, insiden yang berlaku itu sebenarnya membawa pada kebimbangan juga. Namun, kalau OK maka OK lah.


RAP: Adakah Datuk berpuas hati dengan jumlah pengagihan diterima daripada MACP, dan komen jika Datuk dilabel sebagai komposer terkaya di Malaysia dengan pendapatan royalti itu?

M NASIR: Setakat ini, saya berpuas hati dengan jumlah pengagihan MACP. Alhamdulillah. Pun begitu, mengenai jolokan ‘komposer terkaya’, rasanya sebelum diumumkan sebagai komposer terkaya itu, saya memang sudah kaya pun sebelum ini (ketawa). Apapun, yang jelasnya saya tiada komen untuk perkara ini.


RAP: Bagaimana dengan harapan peminat yang terus mengharapkan karya berkualiti daripada Datuk?

M NASIR: Saya sentiasa mahu mencipta lagu yang baik, tetapi tak tahu sama ada ia lagu yang bagus atau tidak. Namun, saya sendiri memang mahu buat lagu yang baik. Apapun, kita juga ada harapan terhadap orang yang akan menyampaikan lagu itu.

Kita juga mengharapkan orang itu (penyanyi dipilih) mampu memberikan yang terbaik kerana nak harmonikan sesuatu lagu itu memang payah.

Bagaimanapun, lagu saya bukanlah untuk orang tertentu saja kerana saya juga masih membuat kesilapan. Namun, saya tetap sedia mencuba penyanyi yang ketika itu dirasakan boleh dan sesuai.


RAP: Apakah setiap lagu dihasilkan Datuk lebih dulu melihat kriteria penyanyi?

M NASIR: Rasanya, saya bukanlah seorang yang terlalu cerewet. Cuma, saya akan cuba uji dan pastikan bahawa penyanyi itu untuk memang boleh menyanyi.

Saya menilai secara keseluruhan. Apatah lagi, industri hiburan kini ada pasang surutnya. Kadang-kadang boleh jadi hangat dan ada masa bertukar jadi lembab pula.

Jadi, pakej terbaik itu haruslah ada. Namun, ia tidak bermaksud saya cerewet tetapi sekadar mempunyai harapan tinggi. Namun, biasalah tak semua manusia dapat mencapai harapan sempurna seperti apa yang diinginkan.


RAP: Penyanyi sekarang banyak buat lagu yang jelas dan agak ringan. Jadi, komen Datuk adakah ini bagus untuk pendengar?

M NASIR: Kita kena buat apa yang kita percaya. Kadang-kadang, dunia hiburan ini ada putarannya. Sama ada jelas maksudnya atau tidak, kalau kita dengar muzik barat pun, lirik yang ditulis nyata hebat dan menarik juga.

Jangan main-main sebab ini kontemporari punya kerja. Jadi, bukan macam dulu lagi. Apapun, bercakap soal karya sekarang yang jelas dan senang didengar, ia sebenarnya satu perubahan dan perkembangan. Ia juga bukan soal bagus atau tidak kerana bukan senang juga sesebuah karya itu dihasilkan.


RAP: Apapun Datuk, mampukah lagu-lagu dihasilkan komposer generasi baru ini menjadi malar segar?

M NASIR: Kita usahakan saja, asalkan buat kerja itu. Macam saya katakan, dunia hiburan ada masa hangat dan lembabnya. Kalau ada orang dianugerahkan dengan suara yang sedap dan memang betul-betul tak boleh dilawan atau dipersoalkan lagi, itu memang anugerah.

Tetapi, penciptaan lagu ini ada berbeza sedikit kerana prosesnya membabitkan kematangan. Namun, ia tiada kaitan dengan usia komposer itu yang sudah berumur kerana memang kena terimalah juga yang menghasilkan lagu itu individu berusia.

Ahad, Disember 09, 2012

Dominasi M. Nasir sukar digugat


petikan Utusan Malaysia 9 Disember 2012

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

TERNYATA kehebatan lagu-lagu ciptaan Datuk M. Nasir masih belum ada tandingan. Lagu hasil ciptaan komposer yang berasal dari Singapura itu terus mendominasi Malam Mesra MACP 2012 yang berlangsung Selasa lalu.

M. Nasir yang mengungguli kategori Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak untuk tahun ini terus membuktikan Luncai Emas juga berhak menang. Pada malam tersebut juga syarikat yang cukup sinonim dengan komposer itu terus mengungguli kategori Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak bagi tahun ini.

Diadakan secara santai dan sederhana, Malam Mesra MACP lebih tertumpu kepada orang di belakang tabir. Dengan tujuan untuk meraikan komposer dan penulis lirik secara dasarnya, acara ini telah dianjurkan sebanyak 17 kali sepanjang 23 tahun penubuhan badan pemungut royalti berkenaan.

Nama M. Nasir memang sudah dijangka akan terus mendominasi kategori berkenaan memandangkan lagu-lagu nyanyiannya masih diputarkan di radio. Namun, lebih memberangsangkan apabila lagu-lagu hasil ciptaannya yang dinyanyikan oleh penyanyi lain terus mendapat sambutan.

Berkongsi kegembiraan tersebut, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud menyifatkan penghasilan sesebuah karya itu tidak boleh dipandang remeh dalam segala sudut.

“Sukar untuk saya jelaskan formula mencipta. Apa yang boleh saya katakan, saya ada teknik tertentu dan lebih kepada ilham dan rohani untuk menghasilkan sesebuah karya itu.

“Bila dah ada lagu, kita boleh rasa sama ada lagu itu sedap atau tidak memandangkan dari segi teknikal semuanya telah dilaksana dengan baik. Cuma kena lihat juga penyanyi yang akan membawakan lagu tersebut.

“Adakah dia mampu memberikan harmoni yang kita mahu di dalam lagu tersebut? Tambahan pula orang masih menilai pada pakej penyanyi, jadi ini semua perlu disesuaikan dan akan menjadi penentu kejayaan sesebuah lagu.

“Saya masih melakukan kesilapan tetapi saya sentiasa berusaha untuk mencipta lagu-lagu yang baik seterusnya diterima ramai," katanya ketika ditemui sebaik sahaja selesai majlis berkenaan.

Melihatkan senario muzik tanah air, kemunculan banyak penyanyi baru yang mencipta lagu sendiri menarik untuk diperkatakan. Kebolehan mereka tidak tertumpu kepada nyanyian sebaliknya masing-masing boleh mencipta lagu dengan baik.

Namun ada segelintir pihak mendakwa lagu-lagu yang dicipta oleh generasi baru tidak puitis, lebih berterus terang dan kurang enak untuk menjadi santapan jiwa seperti lagu-lagu lama yang masih diminati hingga hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai isu ini, M. Nasir menganggap itu adalah perubahan semasa yang cuba dibawa tetapi dalam masa yang sama ada kelompok peminat yang menerima lagu-lagu berkenaan dan menjadikannya diterima ramai.

“Kalau kita tengok lagu-lagu Barat, lirik mereka lagi terang dan dahsyat jika dibanding dengan golongan ini. Saya tidak mahu cakap sama ada ini bagus atau tidak bagus tetapi sukar nak kekal evergreen.

“Namun perkembangannya masih memberangsangkan walaupun senikatanya lebih direct berbanding lagu lama. Kalau bercakap soal jiwa, memang agak kurang tetapi masih ada lagi lagu yang bagus," katanya lagi.

Bela nasib karyawan

Kredebilit yang dimiliki oleh MACP tidak harus dipertikaikan lagi memandangkan badan pemungut royalti ini dilihat matang dalam konteks mengutip dan mengagih royalti kepada pemerima yang berhak sejak dua dekad yang lalu.

Kesinambungan itu diteruskan lagi oleh Habsah Hassan yang juga merupakan Pengerusi MACP yang banyak terlibat secara langsung untuk membela nasib ahli yang sudah mencecah 3,000 orang itu.

Habsah yang turut menerima anugerah kategori Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak 2012 cukup lantang mengkritik kepincangan yang cuba diganggu gugat oleh pihak-pihak lain yang kurang senang dengan badan tersebut.

“Sejak kebelakangan ini MACP berhadapan dengan pelbagai ujian dalaman dan luaran dalam membela dan memulihara hak cipta ahli-ahli yang berdaftar.

“Tahun lepas, tanpa rujukan dan perbincangan seorang Timbalan Menteri telah memberikan pengecualian royalti di tempat-tempat awam seperti hotel, hospital dan restoran yang menyiarkan siaran televisyen.

“Kenyataan ini diumumkan tanpa menyedari bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana ia adalah hak eksklusif para pencipta. Walaupun kenyataan tersebut telah ditarik balik, masih banyak hotel bajet yang enggan membayar royalti kepada MACP.

“Oktober lalu sekali lagi Timbalan Menteri yang sama mengumumkan bahawa atas permintaan dari pengguna dan penggiat seni, kerajaan akan mewujudkan satu badan perlesenan untuk mengutip royalti. Saya sedar orang politik perlukan mileage tetapi jangan sampai mengeruhkan periuk nasi karyawan tanah air," tegas Habsah lagi.

Sambil menyatakan sokongan atas segala usaha positif yang dilaksanakan oleh kerajaan, MACP boleh berbangga apabila permohonan Sijil Perisytiharan Badan Perlesenan telah diluluskan dan MACP menjadi satu-satunya badan yang menerima lesen tersebut.

“Sekarang masa untuk kita bersatu demi kebajikan ahli-ahli MACP dan demi membela hasil karya kita. Saya mengalu-alukan cadangan atau apa juga pendapat ahli demi melihat badan ini terus berjaya pada masa hadapan," katanya.

Khamis, Disember 06, 2012

Luahan duka Habsah Hassan


petikan Harian Metro 6 Disember 2012
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
       
MENDENGAR luahan rasa penulis lirik terkenal, Habsah Hassan dalam ucapan aluannya pada pembukaan majlis Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP) 2012 yang berlangsung di Hotel The Royal Bintang, Damansara, malam kelmarin cukup menggambarkan suatu kekecewaan.

Apatah lagi, memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi MACP, Habsah yang mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam industri muzik nyata tak mampu membendung lagi duka di hatinya tatkala masih ada pihak yang suka menangguk di air keruh dan enggan membayar royalti hak cipta pada lagu dimainkan.
Kata Habsah, kurangnya kefahaman dan kesedaran mereka untuk menghargai harta intelek menyebabkan ada di antaranya bermain tarik tali dan mempertikaikan hak MACP yang kini sudah memperoleh ‘Sijil Pengisytiharan Badan Pelesenan’ daripada  Pengawal Hakcipta di Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

“Tak dinafikan, saya kecewa dengan apa yang berlaku kerana sepatutnya jumlah kutipan royalti hak cipta untuk keseluruhan bagi 2011 adalah lebih baik. Namun, atas sebab kurang faham mengenai hak cipta dan harta intelek dengan pelbagai pengumuman dikeluarkan, ada pihak yang mengambil kesempatan.
“Ada di antaranya mempertikaikan kenapa pembayaran royalti harus dibuat kepada MACP seolah-olah tidak tahu bahawa setiap bunyi muzik yang dimainkan di tempat awam seperti hotel, pusat hiburan dan restoran memang dikenakan sejumlah bayaran tertentu. Ini kerana setiap muzik diperdengarkan itu ada pengkaryanya.

“Malah, mereka harus tahu dan ingat tiada yang percuma di dunia ini. Semuanya dikenakan bayaran seperti juga kalau mahu menonton wayang, menikmati makanan mahu pun meletakkan kenderaan. Jadi, hal yang sama ini perlulah sedia dibayar pada setiap muzik yang dimainkan di tempat mereka.

“Apapun, dengan adanya sijil pelesenan ini, MACP akan lebih bersikap tegas pada masa akan datang. Bagi pihak yang enggan membuat pembayaran, kami lebih dulu memberikan mereka amaran dan peringatan. Jika masih lagi berdegil, MACP boleh mengambil tindakan lanjut menerusi undang-undang.

“Pun begitu, saya sebenarnya tidak suka menggunakan kekerasan. Jadi, atas apa yang sudah saya suarakan diharapkan mereka faham. Ini kerana setiap pencipta atau pengkarya muzik memang berhak dibayar kerana lagu dimain, diguna atau dipersembahkan itu adalah hasil karya mereka untuk tujuan apa sekali pun,” katanya.

Menurut Habsah, beliau sebolehnya mahu menjaga hati semua orang.
Bagaimanapun, memikirkan menjadi tanggungjawab MACP membela nasib karyawan muzik tanah air terutama komposer dan penulis lirik, segala yang terbuku harus diluahkan. Ujarnya, apa yang dilakukan sekadar memberi penerangan.

“Saya tahu ramai yang masih kurang faham fungsi MACP termasuk ahli kami sendiri. Ini kerana, saya turut berasa ditikam dari belakang oleh segelintir pihak di kalangan ahli MACP yang tidak faham tetapi terikut-ikut dengan cakap-cakap orang lain. Dalam soal ini, alangkah bagusnya jika mereka datang berbincang.

“Bahkan, saya sentiasa bersikap terbuka kepada mereka untuk berbincang dan memberikan penerangan jelas,” katanya turut memaklumkan kutipan royalti hak cipta keseluruhan untuk pengagihan bagi 2012 nanti mungkin terjejas. Ia berikutan, kutipan tersasar daripada apa yang sepatutnya dicapai.

Katanya, sebagai contoh jumlah kutipan sasaran sepanjang tahun ini untuk hotel dan pusat hiburan tidak mencapai tahap ditetapkan kerana ada di antara pengusaha enggan membuat pembayaran kepada MACP atas alasan bersandarkan faktor
pengumuman-pengumuman yang dikeluarkan tanpa rujukan dan perbincangan itu.

Sehubungan itu, secara keseluruhan MACP meraih kutipan royalti berjumlah lebih RM40 juta sepanjang tahun lalu bagi membela seramai 3,000 orang
ahlinya yang berdaftar. Mengetengahkan tema ‘malar segar’ pada majlis malam mesra diadakan, seramai 12 penerima anugerah dipilih meraih pengiktirafan MACP.

Justeru, komposer dan penyanyi terkenal tanah air, Datuk M Nasir masih unggul apabila terus dipilih sebagai komposer yang menerima royalti tertinggi dengan menggondol Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada majlis dianjurkan MACP buat kali ke-17 itu. Ia sekali gus menjadikan M Nasir, selaku pemenang buat 13 kali berturut-turut.

Selain itu, Habsah pula dipilih menerima anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak. Manakala, anugerah Nadi Cipta pula menjadi milik penyanyi rock terkenal, Ramli Sarip. Bagi anugerah lain iaitu Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak diraih oleh EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd, diikuti Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak (Luncai Emas Sdn Bhd).

Bagi kategori Komposer Muda Berpotensi disandang Low Weng Fai. Begitu juga dengan penerima anugerah Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak (Tempatan) dimiliki James Michael Baum menerusi lagu One Night dan Lagu Cina Persembahan Terbaik (Tan Vui Chuan/Huang Ting, lagu Wo Ai Ta/penyanyi Ding Dang).

Tidak ketinggalan, anugerah Lagu Melayu Persembahan Terbanyak diraih Pakai Buang dendangan Stacy, ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim, Manakala, Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak (Katy Perry-Hot n Cold), Lagu Dengan Pendapatan Luar Negara Tertinggi (Sandy Rivera& Haze-Freak) dan Anugerah Khas MACP diterima Pengasas MACP, Ang Kui Tiang.

M Nasir berkata, beliau berasa sangat bertuah dengan anugerah dan pencapaiannya buat kali ke-13 itu. Katanya, segala yang dimiliki itu bersandarkan usahanya menghasilkan lagu yang menjadi hiburan kepada masyarakat. Sepanjang menjadi anak seni, M Nasir sudah menghasilkan 2,000 lagu dan lirik.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu bertahan hingga kini dan lagu-lagu yang pernah dihasilkan juga masih diminati masyarakat. Sebagai komposer, saya sudah melakukan sebaik mungkin dalam menghasilkan lagu dan satu anugerah juga apabila sebahagiannya berjaya menjadi karya malar segar,” katanya.

Menurut M Nasir, beliau memang tak pernah menyangka kebanyakan lagu dihasilkannya banyak yang menjadi siulan hingga kini. Katanya, beliau tidak menggunakan sebarang formula ketika mencipta lagu, sebaliknya mengakui tahu cara membuat lagu bersandarkan ilham dan lirik yang menjurus kepada kerohanian.

Ramli pula berkata, sebelum ada badan pengurusan yang sistematik seperti MACP, dia dulu pernah mendapat bayaran sebanyak RM60 untuk lagunya. Namun, kini nyata semua sudah berubah dan dia bersyukur kerana matlamat MACP cukup jelas dalam usaha membela nasib dan perjuangan karyawan seni.

“Saya gembira menerima anugerah ini dan berharap usaha MACP dilakukan pada masa akan datang berjaya. Apatah lagi, bagi memantapkan penghasilan lagu yang mempunyai potensi untuk menjadi malar segar seperti era 60-an hingga kini.  Dalam soal ini, dengan usaha giat dilakukan pasti akan berjaya,” katanya.

Selain penyampaian anugerah kepada pemenang, tetamu yang hadir juga dihiburkan dengan persembahan mantap dan hebat menerusi rangkaian lagu-lagu malar segar yang didendangkan penyanyi terkenal seperti Fredo, Herman Tino, Rohana Jalil, Zur Eda serta pendatang baru seni suara, Asmidar (juara Vokal Bukan Sekadar).

Rabu, Disember 05, 2012

M Nasir terima royalti tertinggi


pertikan Berita Harian 5 Disember 2012
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Petaling Jaya: Datuk M Nasir terus unggul sebagai komposer yang menerima royalti tertinggi daripada Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP).

Ia berikutan kejayaan beliau menggondol Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada majlis Anugerah MACP Ke-17 di The Royal Bintang, malam tadi, iaitu bagi 13 kali berturut-turut.

Selain itu, penulis lirik terkemuka yang banyak menghasilkan lagu popular seperti Salam Akhir, dendangan Allahyarham Sudirman Arshad, Habsah Hassan menerima anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.

Pemilihan pemenang anugerah itu berdasarkan keputusan pengagihan royalti MACP sepanjang 2011.

Majlis makan malam dan penyampaian anugerah itu diadakan bagi mengiktiraf pencipta lagu terunggul dan lagu dengan persembahan terbanyak menerusi radio, televisyen, tempat awam dan telefon bimbit.

Sementara itu, anugerah Nadi Cipta pula menjadi milik penyanyi rock, Ramli Sarip.

Penerima anugerah lain ialah Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak (EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd), Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak (Luncai Emas Sdn Bhd), manakala kategori Komposer Muda Berpotensi disandang Low Weng Fai.
Bagi Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak (Tempatan) diungguli James Michael Baum menerusi lagu One Night dan Lagu Cina Persembahan Terbaik (Tan Vui Chuan/Huang Ting, lagu Wo Ai Ta/penyanyi Ding Dang).

Selasa, Disember 06, 2011

Karyawan seni hargai jasa MACP


petikan Kosmo 6 Disember 2011
Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

FARHAN dan Hazama berkolaborasi menghibur tetamu dan rakan seperjuangan.

RATA-RATA penggiat seni seperti komposer dan penulis lirik di Malaysia meluahkan rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kerana mempunyai sebuah badan yang menjaga kutipan royalti bagi pengkarya seni di atas penjualan album atau penyiaran karya-karya mereka menerusi televisyen, radio dan juga di tempat-tempat awam.

Salah satu organisasi bukan kerajaan yang aktif menjaga royalti para pengkarya ini merupakan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang bertujuan untuk mengutip royalti lagu-lagu yang disiarkan di tempat-tempat terbuka di mana hasil kutipan itu akan diberi kepada para komposer dan penulis lirik lagu tersebut.

Baru-baru ini, demi menghargai dan mengiktiraf pencapaian para pengkarya seni ini, MACP telah mengadakan sebuah majlis sederhana iaitu Malam Mesra Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia 2011 (MACP) yang bertempat di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor yang juga dihadiri oleh ramai penggiat muzik tempatan.

Pada malam tersebut, 11 anugerah telah dipertandingkan melalui kategori seperti, Kategori Persembahan Terbanyak - Lagu Bahasa Inggeris, Lagu Bahasa Cina, Lagu Bahasa Melayu dan Luar Negara.

Manakala kategori lain pula merupakan kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi, Komposer Muda Berpotensi, Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak, Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak, Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak dan akhir sekali Anugerah Nadi Cipta.

Sejak mula diadakan pada tahun 1995, penulis lirik, komposer, dan penyanyi tersohor di dalam industri muzik tempatan, Datuk M. Nasir masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 berturut-turut.

Menurutnya, dia merupakan antara ahli pertama mendaftar diri serta karyanya di bawah MACP ketika mula-mula diwujudkan dahulu.

DATUK M. NASIR masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 berturut-turut.

“Pada mula penubuhannya, mungkin ada orang yang tidak begitu yakin dengan MACP. Namun, apa yang dilihat, setelah sekian lama, mereka bersungguh-sungguh menjalankan proses mengenai royalti ini dan dengan undang-undang yang ada, MACP merupakan yang paling berjaya di dunia," jelas M. Nasir, pemilik syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. yang turut memenangi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Selain itu, ketika ditanya mengenai kehadiran komposer dan penulis lirik muda yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, jawab M. Nasir, kehadiran anak muda ini amat dialu-alukan di dalam industri muzik.

“Tidak dinafikan, sebagai seorang ‘orang lama’ di dalam penghasilan lagu, kita perlu mengikut trend terkini dan saya akui ia agak laju dan kuat saingannya namun itu merupakan perkara yang baik berlaku di dalam industri muzik.

“Kadangkala, apabila mereka menghasilkan lagu dan menyampaikannya sendiri, mungkin ia lebih menjiwai kerana mereka tahu apa yang hendak diekspresikan melalui lagu yang digubah dan mereka yang paling layak untuk mencapainya,” komen M. Nasir yang mengaku dia memang sukar untuk berhenti dari menulis lirik dan menggubah lagu.

Bagi penulis lirik terkenal yang telah mula menceburkan diri di dalam bidang menulis lirik sejak tahun 1979, Syed Mohd. Amin Syed Hashim atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab telah diberi pengiktirafan sebagai pemenang Anugerah Nadi Cipta yang mana ia juga seperti anugerah tertinggi yang diberi MACP.

“Ini kali pertama saya memenangi Anugerah Nadi Cipta di dalam MACP. Saya sangat gembira kerana diiktiraf oleh badan yang sememangnya telah banyak bantu pemuzik tempatan untuk mendapatkan hasil dari karya yang dihasilkan.

“Saya juga menghargai MACP kerana mereka begitu mengambil berat dan prihatin terhadap pengkarya muzik kita. Dan mereka juga satu-satunya badan yang menjaga royalti artis dan tanpa mereka, kami juga sukar sebenarnya untuk memperoleh pendapatan dari karya yang dihasilkan,” tutur S. Amin semasa ditemuramah media.

Sebagai pendatang baharu di dalam industri, dua nama besar Yuna dan Sam dari kumpulan Bunkface juga berjaya mencapai kejayaan melalui kategori masing-masing.

Seperti Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharum yang telah dianugerahkan sebagai Komposer Muda Berpotensi yang mengiktiraf bakat-bakat komposer muda yang berusia 25 tahun dan ke bawah.

Selain berterima kasih, menurut abang kepada aktres Siti Saleha ini, mendengar lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee semasa zaman kanak-kanak turut membantu dirinya di dalam menghasilkan karya bagi kumpulannya ini.

“Sebenarnya lagu-lagu yang saya tulis ialah banyak berkisar tentang perjalanan dan pengalaman hidup saya sendiri. Jujur saya katakan, saya tidak pernah menulis lagu yang tidak pernah terjadi pada saya.

ISTERI Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis, Hariah Yaacob (bertudung) mengambil pengiktirafan Penulis Lirik Dengan Pendapatan Paling Banyak.

“Kesemua lagu saya merupakan kisah benar dari apa yang saya nampak, apa yang saya mahu dan perubahan yang saya inginkan,” ujar Sam yang turut mengatakan oleh sebab itu, RTM mengharamkan single mereka yang berjudul Panik yang hanya mempunyai perkataan reformasi.

Bagi Yunalis Zarai atau nama komersialnya Yuna, semasa mendaftar diri di bawah MACP, dia tahu ini merupakan perkara yang harus dilakukannya bagi melindungi hak ciptaannya dari diciplak.

“Ini kali pertama saya hadir majlis ini dan apabila saya mendapat tahu yang saya memenangi anugerah, saya berasa gembira. Saya juga ada menyarankan rakan-rakan artis baharu yang lain untuk daftar di bawah MACP kerana mereka memang menjaga royalti artis dan ia juga akan melindungi karya ciptaan mereka.

“Bagi saya MACP merupakan satu-satunya badan yang menjaga artis dan karya. Secara tidak langsung, tindakan MACP ini, memberi galakan dan menyokong karier kami sebagai penulis lirik dan komposer,” jelas Yuna yang memenangi anugerah Persembahan Lagu Melayu Terbanyak menerusi Dan Sebenarnya.

Jumaat, Disember 02, 2011

M Nasir kejar gelombang baru


petikan Harian Metro 2 Disember 2011
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
         
KOMPOSER dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir melakar sejarah tersendiri apabila meraih anugerah Komposer dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 pada Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) Berhad yang berlangsung di Hotel Grand Dorsett Subang, baru-baru ini.

Pencapaian konsisten M Nasir bersandar kepada karya lagu popular yang dinyanyikan sendiri seperti Mustika, Mentera Semerah Padi serta Andalusia. Selain lagu yang dinyanyikan lebih 30 artis seperti Sekuntum Mawar Merah (Alleycats), Kekasih Awal Dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Awan Nano (Hafiz AF).

M Nasir memaklumkan, anugerah berkenaan sebagai menambah koleksi peribadinya. Pada masa sama dia tidak menafikan kemampuan komposer lain lebih-lebih lagi dengan kemunculan ramai komposer muda yang ternyata berbakat sekali gus mewujudkan persaingan yang sengit dalam industri seni tanah air.

“Saingan ketika ini cukup kuat. Lebih ramai penyanyi yang bertindak sebagai penulis lirik dan komposer untuk lagu mereka. Macam ada satu gelombang baru. Sebagai komposer yang boleh dikatakan sudah lama berada dalam bidang ini, saya bagai terpaksa mengejar gelombang ini.

“Tidak dinafikan ramai komposer muda yang berbakat. Secara tidak langsung menggalakkan kemunculan pelbagai aliran baru dalam dunia seni tanah air.

“Seperti biasa saya masih meneruskan kerja-kerja menghasilkan album untuk beberapa artis dan jika tiada aral, saya akan tampil dengan album baru tidak lama lagi,” katanya.

Baginya perkembangan dalam industri muzik itu memberi banyak manfaat. Secara peribadi, M Nasir berpendapat lagu perlu dihasilkan berdasarkan ekspresi artis itu sendiri.

Kebimbangannya terarah kepada pendedahan terhadap pelbagai rentak dan genre lagu yang mudah diterima dan kadang kala mudah dilupakan pendengar. Justeru betapa perlunya lagu yang mempunyai kekuatan dan identiti tersendiri supaya terus bertahan dalam industri muzik dalam tempoh yang lama.

Yuna yang popular menerusi lagu Dan Sebenarnya, menerima anugerah Lagu Melayu Kategori Persembahan Terbanyak. Dia yang ditemui pada majlis itu berkata, penyertaannya sebagai ahli MACP cukup berbaloi biarpun hanya beberapa tahun bergelar artis kerana mampu meraih pendapatan berpatutan menerusi pembayaran royalti.

“Ini kali pertama saya menghadiri majlis MACP dan nyata penyertaan bersama MACP cukup berbaloi. Secara tidak langsung memberi galakan kepada karyawan seni untuk lebih bersemangat menghasilkan karya mereka.

“Tidak dinafikan kemunculan komposer muda yang merangkumi penulis lirik merangkap penyanyi seperti Najwa dan Najwa Latif merancakkan lagi industri hiburan tanah air. Bukan mudah untuk seseorang memperjuangkan lagu sendiri. Tanpa bantuan dan sokongan daripada semua pihak, semua ini takkan berjaya.

“Bukan mudah juga untuk menghasilkan lirik lagu kerana memerlukan kemahiran tertentu. Setidak-tidaknya kemunculan komposer baru ini dapat memberi pelbagai variasi dalam dunia seni. Tidak dinafikan, lagu ciptaan komposer sedia ada juga mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.

Bagi penerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi, Shamsul Annuar Mohd Baharum atau Sam vokalis kumpulan Bunkface pula anugerah solo pertama yang diterimanya itu cukup bermakna buat dirinya. Waktu sama, Sam sedar tanggungjawab berat menantinya selepas mendapat pengiktirafan itu.

“Perjalanan saya dalam dunia seni juga masih jauh. Buat masa ini saya sudah mencipta lebih 20 lagu yang sudah dirakamkan. Saya juga ada berbincang secara lisan dengan beberapa artis untuk menjalinkan kerjasama selain menghasilkan lagu baru dengan mereka. Namun buat masa ini saya agak sibuk dengan beberapa perkara.

“Memandangkan masih lagi baru dalam dunia seni dengan tumpuan saya pada kumpulan Bunkface dan projek khas bersama Azenders. Dalam masa yang sama, album kedua Bunkface dalam proses untuk disiapkan,” katanya.

Sam yang banyak dipengaruhi muzik Punk Rock memaklumkan, setiap lirik yang dihasilkannya berkisar kepada pengalaman hidup dan zaman kanak-kanaknya.

Sementara itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata majlis tahunan itu mengiktiraf sumbangan dan kegigihan ahli mereka dalam berkarya. Tanpa komitmen tinggi dan kerjasama daripada pihak pengurusan dan ahli usaha memperjuangkan pembayaran royalti berkenaan tidak dapat dicapai.

Habsah atau mesra disapa Kak Chah, memaklumkan penggubalan akta dan undang-undang menjelang 2012 pastinya memberi impak kepada pihaknya.

“Kutipan royalti meningkat setiap tahun. Jika tiada aral, kutipan untuk tahun ini boleh mencecah RM40 juta yang merupakan satu rekod baru bagi MACP. Tanpa komitmen dan usaha semua pihak, kejayaan ini tidak mampu dicapai.

“Biarpun hanya bersandar kepada jumlah kaki tangan yang kecil , saya berbangga dengan pencapaian dan dedikasi yang ditunjukkan seluruh tenaga kerja yang terbabit sekali gus dapat merealisasikan objektif penubuhan MACP,” katanya.

Pada majlis yang diacarakan ND Lala itu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air antaranya Shila Hamzah dengan lagu Patah Seribu, Najwa Latif (Cinta Muka Buku) dan Yuna.

Penulis lirik Syed Mohd Amin Syed Hashim atau S Amin Shahab, menerima anugerah Nadi Cipta atas sumbangannya menghasilkan lebih 500 lirik lagu yang dinyanyikan lebih 30 penyanyi sejak awal tahun 80-an.

Satu segmen khas bagi lagu ciptaan S Amin disampaikan oleh Farhan dan Hazama seperti Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi yang dipopularkan Alleycats, Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra) dan Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah).

Kemuncaknya persembahan khas pada akhir majlis apabila Pretty Ugly diberi tanggungjawab untuk segmen khas mengenang artis yang meninggal dunia pada tahun ini, Hasnah Haron, Datuk Ahmad Jais, Datin Orkid Abdullah, Seribayu dan Shamrin Fotograf.

Rabu, November 30, 2011

Anugerah MACP 2011: S.Amin Shahab Pemenang Anugerah Nadi Cipta

petikan gua.com.my 30 November 2011

Bertempat di Hotel Grand Dorsett, Subang , Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) malam kelmarin berlangsung dalam suasana sederhana dengan dihadiri oleh ramai penggiat muzik tempatan. Seperti biasa, majlis ini turut mengiktiraf pencapaian sebilangan individu melalui 11 anugerah yang dipertandingkan.

Tahun ini menyaksikan penulis lirik terkenal, S. Amin Shahab dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta yang merupakan salah satu anugerah khas diberikan oleh MACP. S.Amin Shahab dipilih sebagai pemenang kerana individu ini memberi sumbangan yang cukup besar dalam industri muzik negara.

Pada tahun 80-an ke 90-an nama ini cukup popular kerana lagu-lagu tulisannya sering menjadi siulan ramai. Antaranya ialah Suci Dalam Debu (Iklim), Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latif), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats), Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra) dan Keroncong Untuk Ana (M.Nasir). Untuk rekod, pemilik nama sebenar Syed Mohd. Amin Syed Hashim Al-Shahab, ini telah telah menghasilkan lirik untuk lebih 500 buah lagu.


Vokalis kumpulan Bunkface, Shamsul Annuar Mohd Baharum atau Sam turut mencipta kejayaan manis apabila dia dianugerahkan sebagai Komposer Muda Berpotensi. Anugerah khas ini mengiktiraf bakat-bakat muda berusia 25 tahun ke bawah dan pemenangnya ditentukan oleh ahli Lembaga Pengarah MACP sama seperti Anugerah Nadi Cipta.

Buat kali ke 12, penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M.Nasir , mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak. Manakala Allahyarham Rosli Khamis (Loloq) memenangi anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak sama seperti tahun-tahun terdahulu.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berbentuk trofi. Berikut adalah senarai penuh pemenang Anugerah MACP 2011

Kategori Persembahan Terbanyak

Lagu Bahasa Inggeris
Lagu: You
Penyanyi: Too Phat ft Sharifah Aini
Komposer: Harikrish Menon A/L Ramachandran
Lirik : Malique & Joe Flizzow

Lagu Bahasa Cina
Lagu: Wo Ai Ta
Penyanyi : Ding Dang
Komposer: Tan Vui Chuan
Lirik: Huang Ting


Lagu Bahasa Melayu
Lagu: Dan Sebenarnya
Penyanyi: Yuna
Komposer: Yuna, Adil Ali, Efry Arwis, Farhan
Lirik: Yuna & Syazwani Zawawi

Luar Negara
Lagu: I’m Yours
Penyanyi: Jason Mraz
Komposer: Jason Mraz
Lirik: Jason Mraz ( ASCAP / US)

Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi

Lagu: Freak
Penyanyi: Sandy Rivera & Haze
Komposer: Sandy Rivera (BMI/US) & Harikrish Menon A/L Ramachandran
Lirik: Sandy Rivera (BMI/US) & Harikrish Menon A/L Ramachandran

Komposer Muda Berpotensi
Sam Bunkface

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak
Luncai Emas Sdn Bhd

Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak
EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd

Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak
Allahyarham Loloq

Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak
Datuk M. Nasir

Anugerah Nadi Cipta
S. Amin Shahab