petikan Berita Harian 12 Disember 2023
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
KUALA LUMPUR: Penggiat muzik tanah air disarankan tidak terlalu bergantung kepada pasaran muzik tempatan, sebaliknya perlu mencari formula memasarkan karya ke negara jiran supaya mampu meraih pendapatan lebih tinggi.
Maestro muzik dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir berkata, sudah tiba masanya komposer lama memanfaatkan penggunaan platform digital seperti Spotify dan YouTube serta tidak terlalu bergantung kepada medium konvensional seperti radio yang bukan lagi menjadi pilihan utama pencinta muzik.
Katanya, situasi itu memberi kesan kepada perolehan pendapatan komposer lama, malah pendapatannya turut terjejas.
"Kita terpaksa akur industri muzik mengalami perubahan ke arah digital yang menyebabkan pendapatan komposer lama mengalami kejatuhan termasuk saya.
"Saya jangkakan pendapatan daripada 500 lagu ciptaan saya akan semakin meningkat saban tahun, namun tidak sebanyak dahulu.
"Kemerosotan pendapatan tiada kena mengena dengan pandemik kerana ia berlaku sejak industri muzik beralih ke arah digital," katanya kepada BH Online.
M Nasir berkata, komposer lama tidak seharusnya merungut apabila pengagihan royalti merudum.
"Kita kena kaji di mana platform lagu boleh diputarkan. Sekiranya lagu popular di stesen radio kerajaan, namun kurang popular di platform komersial, maka tidak hairan pendapatan tidak selebat dahulu.
"Ramai salah anggap bila lagu popular di stesen radio kerajaan akan dapat pendapatan tinggi.
"Kalau kita tengok, stesen radio swasta jarang putarkan lagu lama kerana pendengar di kalangan generasi muda.
"Sebab itulah pendapatan komposer lama meleset. Ini bukan sebab syarikat rakaman buat pembahagian tidak adil.
"Syarikat rakaman cuba bayar tinggi kepada komposer yang diiktiraf sebanyak 70 peratus, manakala 30 peratus dibahagi kepada syarikat. Namun, pendapatan sekarang memang sudah berkurangan," katanya.
Terdahulu, M Nasir diumumkan sebagai penerima Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada malam Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 yang diadakan di sebuah hotel, malam kelmarin.
Selain itu, M Nasir turut memenangi kategori Persembahan Lagu Terbanyak menerusi lagu Tiara nyanyian kumpulan Tiara, manakala syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd menerima kategori Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi mengetepikan MVM Production Sdn Bhd yang menang, tahun lalu.
Tambah M Nasir, lagu Tiara ciptaannya kembali melonjak kerana pendekatan baru digunakan apabila menampilkan penyanyi baharu dan usaha sama dijalankan dengan syarikat label seberang.
"Kerjasama dengan negara jiran sangat penting kerana mereka memiliki penduduk yang ramai.
"Untuk lagu Tiara, kami gunakan penyanyi baharu sesuai dengan pendekatan sekarang. Melodi lagu ini ada yang diubah, tapi saya tak kisah asalkan keaslian masih ada, jangan sampai orang tak kenal.
"Apa yang dilakukan bergantung kepada nasib. Kami rancang apabila nampak potensi, tapi tak jangka impaknya begini besar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan