Oleh: HAFSIAH JANI
Foto:RASHID MAHFOR
BERDASARKAN filem-filem yang telah ditayangkan, kita tidak boleh meletakkan expectation yang terlalu tinggi. Filem sebagai wadah sosial misalnya, filem Melayu belum mampu ke arah itu.
Keseluruhannya filem Melayu berada dalam arus perniagaan. Filem Melayu hanya akan diperkatakan apabila mencatatkan kutipan terbanyak. Tidak hairanlah kalau masing-masing membuat filem bercorak percintaan kerana ini dikatakan menarik perhatian penonton. Kini musim filem Melayu memuatkan persoalan cinta.
Tema cinta tentunya yang ringkas, luaran dan mudah dihayati oleh majoriti penonton. Filem terbaru arahan Aziz Sattar, "Simfoni Duniaku" juga seperti kebanyakan filem Melayu bertema cinta lainnya. Tetapi inilah filem arahan Aziz Sattar yang pertama bertemakan cinta.
Selera penonton memang sukar untuk ditelaah. Kerana kesukaran itu juga barangkali yang mencetuskan segala macam kecelaruan mencari sasaran dan formula untuk membuat filem yang "box-office". Subjek cinta yang dibawa oleh Aziz Sattar cukup mudah.
"Simfoni Duniaku" mengemukakan nilai cinta sepasang remaja yang berada di tengah-tengah jurang darjat. Cinta tentunya penuh dengan cabaran dan kesukaran tetapi menyeronokkan. Itulah nilai moral yang mahu diketengahkan dalam filem ini.
Filem ini mengemukakan kritik sosial seperti kebanyakan filem yang mengangkat persoalan kegagalan institusi keluarga mewujudkan generasi baru negara ini. Kemewahan material tidak menjanjikan kesempurnaan hidup yang sebenarnya.
Filem ini membariskan pelakon yang dapat menarik perhatian penonton seperti M. Nasir, Ogy Ahmad Daud dan Norazah Aziz. Malah "Simfoni Duniaku" banyak bergantung kepada pengaruh M. Nasir yang cukup kuat di kalangan peminat-peminatnya. Kalau Awie dan Ziana Zain menjadi menarik penonton untuk filem "Sembilu", M. Nasir tentunya kepada "Simfoni Duniaku".
Ogy yang juga popular menerusi rancangan "Melodi" juga menjanjikan tarikan tersendiri. Sebelum ini Ogy dan M. Nasir pernah bergandingan dalam "Balada" arahan Jins Shamsuddin. Ceritanya mengenai Iskandar (M. Nasir) anak orang kaya yang suka berfoya-foya akhirnya menukar cara hidupnya setelah terpikat dengan Zuraidah (Fauziah Ahmad Daud) anak kepada kawan baik ayahnya, Aziz (Aziz Sattar). Zuraidah ditumpangkan oleh ayahnya yang pergi menunaikan haji ke Mekah.
Cinta ternyata tidak mengenal siapa mangsanya. Iskandar yang sering bertukar-tukar teman lelaki tiba-tiba terpikat dengan Zuraidah, gadis kampung yang kontras dengan cara hidup Iskandar.
Tetapi percintaan mereka dihalang oleh Ramli (Hashim Abdul Rahman) rakan kongsi ayahnya yang bercadang untuk menjodohkan anaknya Rita (Azah Aziz) dengan Iskandar. Ini bertujuan untuk membolot harta ayah Iskandar.
AZIZ SATTAR serah kepada peminat
Aziz Sattar realistik dengan iklim penontonan filem Melayu di negara ini. Selera mereka sukar ditelaah. Kerana itu dia tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap "Simfoni Duniaku".
"Saya menyerahkan filem ini ditentukan oleh peminat. Saya tidak kecewa sekiranya filem ini tidak box-office, kalau kami mendapat pulangan RM500,000 pun sudah kira bagus."
Aziz Sattar selalunya mengarah filem bercorak komidi. Tetapi kerana mendepani arus filem-filem yang bertema cinta, dia akur kepada kehendak pasaran.
"Terpaksalah ikut arus, kalau tidak habis," katanya sambil ketawa ketika ditemui selepas tayangan pratonton. Dia menganggap filem ini sebagai sebuah drama ringan yang banyak menekankan soal moral dan keluarga.
Katanya, dia berpuas hati dengan lakonan Ogy dan M. Nasir yang memperlihatkan perubahan kalau dibandingkan dengan filem-filem terdahulu.
"Tak sangka pula dulu saya berlakon dengan emak Ogy, Saadiah dan sekarang dengan anaknya pula," katanya.
Filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari ini menelan belanja sebanyak RM350,000.
Pelakon-pelakon lain yang terlibat ialah M. Raj, Ogy Ahmad Daud, Aziz Sattar dan Azah Aziz ialah Acappan, Norani Damanhuri dan Latif Ibrahim.
Keterangan Foto Atas Right: Aziz Sattar dan V.N. Raj*
NORAZAH Pertama di Layar Perak
BAGI Norazah yang telah berlakon lebih 60 buah drama, "Simfoni Duniaku" adalah pengalaman pertama yang menarik berlakon di filem. Dia suka dengan wataknya seorang gadis bongkak dan sombong. Cukup mencabar, katanya.
"Dalam filem ini saya berlakon sebagai wanita jahat. Kerana muka saya tidak boleh menampilkan imej seksi maka terpaksalah saya berpakaian seksi."
"Adegan yang paling sukar untuk dilakonkan ialah ketika memarahi Ogy. Bayangkanlah saya pelakon baru hendak marah pelakon yang banyak pengalaman. Adegan ini terpaksa diulang beberapa kali," tambahnya.
Katanya, setelah berlakon filem barulah dia sedar perbezaan antara berlakon drama dan filem.
"Berlakon drama menggunakan direct sound manakala filem terpaksa dubbing dan oleh kerana proses dubbing mengambil masa yang lama menyebabkan feel untuk antonasi sudah berubah," jelasnya yang berdebar-debar untuk berlakon dalam filem kedua tidak lama lagi.


