Selasa, Januari 07, 2020

Kmy Kmo & Luca Sickta Berkongsi Makna Tersirat Lagu ‘Zuhud’ Kolabrasi Bersama M. Nasir

petikan Murai.my 7 Januari 2020

Rapper, komposer dan penerbit, Kmy Kmo dan Luca Sickta mempertaruhkan  single terbaru mereka berjudul “Zuhud” yang turut menampilkan seniman terkenal Dato’ M.Nasir.

Jika Dato’ M.Nasir sebelum ini pernah dilaporkan mengkritik industri muzik tempatan menerusi kenyataannya bahawa lagu-lagu ciptaan masakini terlalu mengejar pendengar sehingga kurang kreatif dan tiada lagi eksperimen. Pastinya, kesudian figura muzik terkenal ini untuk berkolaborasi dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi lagu “Zuhud” menjanjikan bahawa lagu ini mempunyai nilai estetik tersendiri.

Kebijakan Kmy Kmo dan Luca Sickta bereksperimentasi dalam muzik, menjadikan mereka antara pejuang seni rap intelektual Melayu dalam dunia hip hop tempatan. Menerusi konsep ritma atas puisi, karya ciptaan mereka sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya.

“Zuhud” merupakan hasil ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta bersama Dato’ M.Nasir. Lagu yang mendapat sentuhan Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf selaku penerbit rakaman, menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisional Melayu seperti serunai dan gamelan yang sememangnya memanggil perhatian pendengar.

Dihiasi dengan lirik bak puisi, dilisankan secara rap dengan penuh gaya oleh duo ini dan disyairkan dengan penuh jiwa oleh Dato’ M.Nasir, “Zuhud” merupakan sebuah karya yang muziknya mampu menghantui halwa telinga pendengar manakala senikatanya mampu menjentik minda pendengar.

Judul dan lirik lagu ini mengangkat sebuah konsep yang sinonim dalam Islam, Zuhud, iaitu untuk tidak meletakkan kepentingan kepada dunia semata-mata tetapi lebih mengutamakan alam akhirat dalam kehidupan sehari-hari.

Mengulas tentang lagu ini, Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkata,

“Kami cuba terapkan mesej tersirat dan tersurat menerusi karya kami, dan lagu Zuhud ini merupakan pesanan kami kepada semua pendengar untuk tidak angkuh dengan apa yang kita miliki di dunia kerana itu semua hanya bersifat sementara, dan berbaliklah kepada matlamat utama kita iaitu mencapai bahagia di alam akhirat. Saya dan Luca bersyukur kerana lirik lagu Zuhud yang ditulis sepenuhnya oleh kami ini diterima baik oleh Dato’ M.Nasir. Ianya merupakan suatu penghormatan buat kami kerana berpeluang berkolaborasi dengan lagenda muzik terkenal tanahair.”

Bagi memberi lebih impak kepada lagu ini, video muzik rasmi “Zuhud” turut dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia sebagai pendamping visual kepada lagu ini.

Video muzik yang dibintangi pelakon terkenal Azri Iskandar ini mampu mengundang keinsafan kepada penonton apabila memaparkan terjemahan visual maksud lirik lagu “Zuhud”. Video muzik arahan Yussuf Yunus dari produksi Cinemalaya Studios Sdn Bhd ini sudah mencapai lebih 192,000 ribu tontonan sejak dilancarkan pada 20 Disember lalu.

Isnin, Januari 06, 2020

M. Nasir hadiahkan SG irama perjuangan empat dekad

petikan  Berita Harian 6 Jan 2020
HARYANI ISMAIL
haryani@sph com sg

BAGAI sirih pulang ke gagang. Datangnya legenda ini ke kota kelahirannya Singapura seperti yang diuar-uarkan pada awal konsert kelmarin penuh jiwa, pengalaman dan hiburan bermakna.

Dengan misi mengajak pencinta seni mengembara bersamanya dalam perjalanan 4o tahun dalam dunia hiburan, komposer dan penyanyi legenda, Datuk M. Nasir, mampu menyajikan santapan halwa telinga mempesona.

Di sebalik usianya yang mencecah 62 tahun, Nasir yang nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed, membuktikan umur itu hanyalah angka. Tenaganya meluap-luap. Jenakanya datang bertalutalu. Keceriaan dan ketulusan begitu terpancar di wajahnya.

Pendek kata, beliau yang dikenali sebagai seniman tidak banyak berbicara begitu ekspresif di pentas yang berwarna-warni dengan pemuzik hebat daripada kumpulan The Gong mahupun penggiat seni dikir barat yang sepadu gerak tangannya mengikut lagu.

Malah, kedengaran suara dalam kalangan penonton Konsert M. Nasir Satu Hikayat: 40 Tahun Perjalanan di Teater Mediacorp yang berbisik: "Tenaga Datuk Nasir macam pemuda 26 tahun sahaja!"

Konsert di Singapura anjuran Shiraz Projects ini menyusuli persembahan laris selama dua hari di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, November tahun lalu.

Suasana konsert kali ini begitu ceria dengan Nasir mampu membuatkan mereka yang selesa duduk bangkit dan menari sambil merenung tentang identiti Melayu, nilai murni dan pasang surut kehidupan.

Langgam Pak Dogo dari album Phoenix Bangkit membuka tirai konsert dengan penggiat teater dan pengarah Malaysia, Sabri Yunus, tampil membuka lingkaran kisah dengan perlambangan wayang kulit mengenai perjuangan dan jatuh bangun Nasir dalam dunia seni.

Anak-Anak Kita, Phoenix Bangkit Dari Abu, Keroncong Untuk Ana, Sentuhan Listrikmu dan Bila Rumi Menari yang setiap satunya bermakna bagi Nasir kemudian berkumandang memberi penonton satu pengalaman menyegarkan.

Kelainan konsert kali ini adalah apabila Nasir tampil menyanyikan lagu yang terhasil daripada mindanya yang kreatif buat pelbagai artis seperti The Flybaits, Alleycats, Sudirman Haji Arshad, Anita Sarawak, Search, Wings, Rahim Maarof dan Ekamatra.

Itulah segmen yang menarik perhatian peminat seperti Cik Azhanani Kamis, 47 tahun, seorang kaunselor.

"Setiap kali mendengar lagulagu M. Nasir, saya amati maknanya yang mendalam. Namun, saya paling gemari segmen penghormatan pada lagu-lagu yang beliau cipta buat Alleycats, The Flybaits, Sudirman, Ekamatra, Wings dan Rahim Maarof. Unik sebab kali ini kita dengar lantunan suara M. Nasir sendiri, " katanya.

Lagu ikonik Hati Emas, Gerhana (dari zaman Kembara) hinggalah Mentera Semerah Padi, Sahabat Gua dan Apokalips menghiburkan dan menyejukkan hati dengan nilainilai murni menjaga hati dan reda dengan pasang surut kehidupan tersemat buat renungan.

Nasir mengakhiri konsert tiga jam ini dengan lagu tentang kerohanian dan kemanusiaan, Ada dan Raikan Cinta.

Mengulas hadiah yang diberi buat peminat menerusi konsert ini, Nasir berkata:

"Saya memang nak hadiahkan kepada peminat cebisan sejarah muzik saya selama empat dekad. Ini tanda terima kasih yang datang dari jiwa, tulus dari hati. Sekurangkurangnya mereka boleh cerita kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka ada penyanyi bernama Nasir yang pernah menyentuh jiwa mereka dalam lagunya "