petikan Berita Harian, 18 November 1984
Oleh Karmalia
BINTANG beraneka bakat, M. Nasir, akan berpindah ke Kuala Lumpur bulan depan untuk mengembangkan kejayaannya dalam bidang seni muzik.
"Mungkin bintang saya lebih cerah di sana," kata penyanyi, pencipta lagu, pelukis dan pelakon drama itu dalam satu temuramah khas dengan Berita Minggu baru-baru ini.
Pemuzik yang banyak mencipta lagu-lagu hits rakaman kumpulan Alleycats itu menerangkan bahawa di Singapura sekarang ini, pertunjukan pentas sudah tidak digemari ramai lagi.
"Apa yang saya lihat di sana (Semenanjung) ialah pertunjukan pentas masih mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Mungkin rezeki saya lebih melimpah di sana," tambahnya.
Berbanding dengan di Singapura, walaupun ramai artis terkenal dari luar negeri didatangkan untuk pertunjukan pentas, tetapi sambutannya sering kali tidak hangat.
Satu lagi sebab yang menghampakan artis berusia 27 tahun ini ialah kegiatan menciplak kaset yang berleluasa di sini.
Menerangkan lebih lanjut mengenai ini, Nasir yang telah mencipta lebih 200 lagu berkata:
"Bayangkanlah, untuk setiap satu kaset asli yang dibeli oleh peminat ada 10 kaset tiruan turut dijual. Malah, 10 kaset tiruan itu tadi dibeli oleh peminat sendiri.
Bosan
"Kenapa ini boleh terjadi? Sekiranya para peminat benar-benar cintakan seni dan meminati seseorang penyanyi itu, kenapa beli kaset tiruan?
"Kadang-kadang saya menjadi bosan dengan sikap setengah-setengah peminat yang sengaja membeli kaset-kaset tiruan.
"Saya sungguh hampa dan kecewa apabila mengenangkan keadaan ini. Dengan membeli kaset-kaset tiruan bermakna seorang peminat itu bersikap tidak jujur terhadap orang yang diminatinya."
M. Nasir adalah di antara beberapa orang artis setempat yang buat pertama kali diberi bayaran 'royalty' oleh sebuah pertubuhan menjaga kebajikan para artis, baru-baru ini.
Beliau menyatakan bahawa penghijrahan itu juga adalah sebagai persiapan menghadapi masa depannya, seperti kata pepatah Melayu sediakan payung sebelum hujan.
Bolasepak
Sebagai seorang pemuzik, ujar Nasir, beliau harus memadang serius tentang masa depannya, merancang dari sekarang dan mengambil peluang yang ada sebelum terlambat.
"Pintu kejayaan masih terlalu jauh untuk dilalui. Yang penting sekarang ialah menyedari hakikat sejauh mana kita boleh sampai ke situ. Bagi saya, kejayaan yang dicapai sejauh ini belum dapat saya banggakan," jelasnya.
Mengenai falsafah hidupnya, Nasir berkata bahawa beliau mahu terus bekerja keras tanpa jemu dan "yang paling penting sekali ialah membuat kebaikan kerana berbuat kebaikan itu tempatnya di syurga."
Nasir atau nama sebenarnya Mohamed Nasir bin Mohamed, dilahirkan di Bukit Panjang. Semasa di sekolah menengah dulu, Nasir meminati pemain bolasepak terkemuka, Pele dan bercita-cita untuk mewakili pasukan Singapura pada suatu masa nanti.
Pelibatannya dalam dunia muzik bermula semasa beliau mula berjinak-jinak bermain gitar dan menjadi penyanyi utama kumpulan The Wizard.
Bintangnya mula bersinar apabila pemuzik terkenal, Wan Ibrahim Wan Embong, meminta bantuan pemuda pendiam itu menulis lirik bagi piring hitam yang hendak dirakam oleh kumpulan Alleycats.
Lagu yang diciptanya untuk Alleycats itu berjudul Senandung Semalam yang popular hingga hari ini.
Nasir juga menganggotai kumpulan Kembara yang banyak menghasilkan lagu-lagu 'hits' berunsur puisi.
Ditanya pendapatnya mengenai perkembangan muzik Melayu di Singapura, Nasir berkata:
Tumpah
"Sebenarnya, sejak lama dulu kita tidak mempunyai haluan atau pegangan. Kita menerima apa sahaja yang datang. Unsur-unsur luar sudah lama bertapak di dalam kehidupan harian kita.
"Lihat anak-anak muda masa kini yang terdedah dengan unsur-unsur luar yang tidak sihat. Untuk menghindarkan pengaruh ini, kita harus sematkan di dada anak-anak muda kita pengetahuan seni yang tulen.
"Kita harus mengetahui sejarah seni dan budaya kita sendiri. Tetapi kita jangan lupa bahawa kita sudah melangkah ke era baru selepas Perang Dunia Kedua.
"Teknologi dan pemodenan telah bertapak dalam kehidupan kita. Dan seni juga harus sejajar dengan pembangunan ini."
Nasir akan membawa bersama isterinya, Junainah Johari, 22 tahun, seorang anggota kumpulan Ideal Sisters, ke KL.
Apakah beliau akan melupakan Singapura setelah berpindah nanti?
"Tidak. Tak kan saya hendak melupakan terus tanah tumpah darah saya yang saya cintai ini. Saya dilahirkan dan dibesarkan di sini. Untuk melupakan sepenuhnya, tidak mungkin."
Semoga pemergiannya nanti akan mengkayakan lagi perbendaharaan seni muzik Melayu di rantau ini.




