Ahad, Januari 01, 1984

M. Nasir akan berlakon filem pula....

Oleh FAUZIAH SAMAD
(*tarikh dan sumber asal majalah tidak dikenalpasti. Teks digital dari gambar milik Mohd Taufik FB - Kelab Sahabat M Nasir)

NASIR bersama isterinya
FILEM Seniman Jalanan, yang akan dibintangi oleh penyanyi dan pencipta lagu M. Nasir dan kumpulan Kembara, akan menjadi filem muzikal pertama dikeluarkan tahun ini.

Skrip asal filem ini ditulis sendiri oleh Nasir tetapi telah diolah kembali oleh penulis veteran Hamzah Hussein. Filem itu akan diarahkan oleh seorang wartawan, Robert Helmy dan dikeluarkan oleh Era Filem Productions.

Encik Hamzah Hussein, yang dihubungi hari ini menyatakan, beliau hanya menulis lakon layar untuk Seniman Jalanan.

Sehingga hari ini, lakon layar itu masih ada dalam simpanannya dan belum diambil oleh pengarah atau pengeluar filem Itu.

Seniman Jalanan mengisahkan seorang anak muda yang berbakat besar dalam bidang penggubahan lagu. Dia berhijrah ke kota dengan harapan mendapat kejayaan. Sebaliknya, kejayaan yang diharapkan itu, tidak datang menggolek.

Namun demikian, dia langsung tidak mengenal erti kecewa. Dia terus mencipta lagu walaupun semua syarikat rekod menolak lagu-lagunya.

Sinopsis cerita ini seakan filem Sumber IIhamku yang dikeluarkan oleh Syed Kecik Filem Productions tidak lama dulu.

Terkenal

Dalam filem itu, pengarahnya, Aziz Jaafar, telah menggunakan dua penyanyi iaitu Latiff Ibrahim dan Sharifah Aini untuk memegang peranan utama. Dalam Seniman Jalanan pula, M. Nasir akan memegang peranan utama sebagai hero. Peranan heroin belum ditentukan tetapi menurut Encik Hamzah, beberapa orang pelakon wanita telah dicalonkan.

Sebahagian besar filem ini akan digambarkan di Kuala Lumpur. Sepuluh buah lagu lama dan lagu baru ciptaan Nasir akan digunakan dalam filem itu.

Walaupun peminat Nasir di Malaysia mengenalinya sebagai penyanyi, di Singapura, Nasir terkenal sebagai pelakon drama yang berbakat. Dia banyak berlakon drama TV keluaran SBC dan kebolehannya dalam bidang itu memang tidak dinafikan.

Sebagai seorang penggubah lagu dan penerbit album, Nasir telah menaikkan nama ramai penyanyi antaranya kumpuIan The Ideal Sisters, The Alleyeats, Yusnizar Hossein dan juga kumpulannya sendiri iaitu Kembara.

Nasir juga terkenal sebagai seorang pencipta lagu yang mempunyai idea-idea yang berlainan, Hidupnya yang penuh sederhana di paparkan menerusi lagu-lagu yang diciptanya.

Kini, dia sudah mengalih pandangannya kepada menulis skrip filem dan juga berlakon. Mungkin masih terlalu awal untuk menilai kebolehannya. Bagaimanapun, bldang seni lagu dan juga seni lakon bukanlah dua bidang yang berlainan.

Mungkin, setelah berlakon, Nasir boleh mencuba bakatnya dalam bidang pengarahan.

Siapa tahu, satu hari nanti, dia dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Allahyarham P. Ramlee.

Tiada ulasan: