petikan Berita Harian, 19 Januari 1996
KONSERTNYA telah mendapat ulasan yang amat memberangsangkan daripada pihak media. Kini, anda yang terkilan kerana tidak berkesempatan menyaksikan Konsert Akar M. Nasir yang diadakan di Kuala Lumpur akhir tahun lalu, berpeluang menikmati persembahan 'live' seniman popular itu menerusi cakera padat dan video yang dikeluarkan oleh syarikat BMG Music.
Cakera padat itu kini berada di pasaran.
Pengurus promosi BMG, Rohani Ismail, berkata selain cakera padat konsert tersebut juga telah dirakamkan dalam bentuk cakera laser.
"Album ini adalah sebagai ganti bagi peminat yang kecewa yang gagal mendapatkan tiket konsert itu dulu," kata Rohani.
Konsert itu berjaya memukau 3,000 peminatnya sewaktu diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 26 Oktober.
Persembahan penyanyi berasal Singapura itu diiringi 27 pemuzik, termasuk 12 daripada Filipina.
Apa yang menarik perhatian, album itu juga memuatkan lagu duet dengan penyanyi Indonesia, Ebiet G. Ade, berjudul Berita Kepada Kawan.
Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu ialah Akar Kita, Ada Lambaian Sukma, Di Jalan Sesat, Mustika, Berita Kepada Kawan, Keroncong Nostradamus, Keroncong Untuk Ana, Kepada Mu Kekasih, Mencurah Janji, Kau Yang Satu, Rindu dan Nusantara.
