Sabtu, Februari 28, 1998

Khamis, Februari 19, 1998

Perihal gagak yang malang

petikan Utusan Malaysia 19 Februari 1998

PUISI Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar yang ditulis pada tahun 1972 nampaknya masih relevan hingga hari ini. Secara mudah puisi Sasterawan Negara Datuk Usman Awang itu sebagai reaksi terhadap satu operasi menembak gagak di Klang tahun yang sama.

Beberapa tahun lalu Usman mendeklamasi lagi puisinya dengan humor berbaur sinis. Dalam humor, Usman membawa imaginasi kepada tragedi gagak yang mati berselerakan.

Usman berjaya memberi kesan dramatik kepada tragedi itu. Ada gagak menjadi 'janda' dan tidak kurang anak gagak menjadi 'yatim piatu', ungkap Usman dengan nada yang sedikit pilu.

Beliau cuba membawa gagak keluar sudut pandangan biasa; hitam, huduh, jahat dan pengotor.

Puisi yang berupa surat ini bukan bertujuan membela gagak pada tragedi yang dilakukan oleh manusia. Pembunuhan 'beramai-ramai' terhadap masyarakat gagak ini adalah metafora untuk menilai kembali manusia dan kemanusiaan.

Tentunya menerusi Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar, Usman mahu membawa kepada satu perbincangan dan hujah yang melampaui gagak sebagai gagak.

Banyak yang dianggap sebagai gagak oleh sesetengah pihak dan tindakan ke atas mereka selalunya tanpa mengambil kira faktor kemanusiaan. Mereka tentunya tidak ada daya untuk melawan apa sahaja tindakan sekalipun di luar kewajaran.

Kerana itu bagi banyak orang, kalau bernasib malang, gagaklah namanya. Lalu tidak hairanlah kalau gagak sering menjadi ukuran darjat. Gagak itu adalah marhaen, hina, miskin atau apa sahaja yang setaraf dengan burung hitam pekat yang berkicau riang menjelang senja di ibu kota.

Gagak menjadi pilihan P. Ramlee yang merintis hiba dalam lagu Merak Kayangan.

Seperti kata P. Ramlee, ''Dikau umpama merak kayangan, rupamu cantik warna kilauan, sehelai bulu laksana berlian, segak dan gayamu membikin hati tertawan. Aku umpama gagak di rimba, rupaku buruk tidak sepadan.''

Demikianlah gagak menjadi lambang kedaifan seorang pemuda yang mencintai gadis bangsawan dalam lagu Merak Kayangan.

Tetapi M. Nasir akan mengubah status gagak yang diberikan oleh P. Ramlee. Khabarnya M. Nasir telah menyiapkan skrip filem bertajuk Gagak Kayangan yang bunyinya agak sinikal. Barangkali M. Nasir mahu berlaku adil kepada gagak.

Gagak terus diperkatakan kerana kejelekannya. Dan merak dijulang kerana kecantikan, keunikan dan yang lebih penting spesiesnya telah hampir pupus. Jadi ia lebih dihargai daripada gagak yang tidak punya apa-apa nilai.

Tragedi di Klang tahun 1972 berulang lagi baru-baru ini. Satu operasi menembak gagak dibuat secara besar-besaran di ibu kota. Rasionalnya tentulah gagak mengotorkan ibu kota sekalipun kekotoran itu bukan seratus peratus kerja gagak.

Selepas lebih suku abad Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar, gagak terus menerima cemuhan yang sama; huduh, jahat dan pengotor.

Tulisan ini bukanlah mahu membela kematian sekian banyak gagak tetapi sekadar melihat bagaimana manusia begitu mudah meletakkan kesalahan kepada yang tidak berdaya seperti gagak.

Kesedaran sivik warga kota ini masih boleh dipersoalkan. Kesedaran mereka tentang kebersihan tempat awam dan persekitaran terbukti masih jauh daripada memuaskan. Lihat sahaja selepas konsert di Dataran Merdeka. Hasilnya sampah bertaburan di mana-mana.

Tetapi seperti biasa, manusia mempunyai kelebihan untuk meletak segala macam keburukan dan kekurangan diri kepada pihak lain. Gagak suka kepada kekotoran. Ini memang salah gagak. Tetapi manusia bertanggungjawab supaya persekitaran mereka tidak kotor.

Puisi Usman Awang ini boleh dijadikan renungan bersama. Tanpa menjadikan operasi menembak gagak di ibu kota sebagai desakan kuat dalam tulisan ini, Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar tentunya melampaui gagak yang sebenarnya.

Gagak tentunya hanya metafora Usman Awang untuk memperkatakan sesuatu supaya mudah difahami oleh kebanyakkan orang.

Bayangkan kalau tidak ada gagak untuk dipersalahkan kerana mengotorkan ibu kota, kepada siapa hendak diletakkan kesalahan itu?

Oleh: KU SEMAN KU HUSIN