ANALITIC

Ahad, Jun 08, 1980

Mohd Nasir berkursus ke Hong Kong

petikan Berita Harian 8 Jun 1980

Oleh A. Kadir Pandi

Mohd Nasir bersama penyanyi Yoenizar Hussein ketika di Kuala Lumpur untuk rakaman RTM.

BANYAK perkara yang harus dipelajari untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang. Berusaha — bererti tapak atau anak kunci ke arah mencapai tangga kejayaan. Tanpa berusaha kita akan ketinggalan atau kecundang untuk mencapai matlamat tersebut.

Begitulah pendapat Mohd Nasir — seorang pelukis, penyanyi piring hitam, penulis senikata lagu dan pelakon drama.

Katanya lagi, "Kita tidak seharusnya berdiam diri untuk mencapai matlamat yang kita harapkan. Rezeki tidak akan datang bergolak tanpa berusaha."

Berkat dari usahanya selama ini, syarikat piringhitam Polygram memberi sepenuh kepercayaan kepadanya, mula-mula, untuk mencipta lirik lagu dan kemudian untuk merakamkan suaranya sendiri ke piringhitam.

Album pertama Nasir berjudul "Untuk Pencipta Seni." Nasir juga ialah 'vocal assistant' dalam rakaman-rakaman kugiran Alleycats dengan Polygram.

Bakat Nasir juga menyerlah dalam bidang drama. Baru-baru ini dia telah terpilih untuk menyertai Bengkel Drama Radio kelolaan Bahagian Melayu SBC dan suaranya sering ke udara dalam rancangan tersebut. Di televisyen Nasir menjadi perhatian penerbit-penerbit drama.

Di atas kegigihannya selama ini, dia dihantar oleh Polygram ke Hong Kong untuk menyertai kursus 'Teknik Rakaman' lebih mendalam lagi. Di samping itu dia akan membantu kugiran Alleycats yang akan membuat rakaman di sana.

"Saya akan berada di Hong Kong selama dua minggu. Minggu pertama saya akan mempelajari teknik rakaman, sementara dalam minggu kedua akan membantu kugiran Alleycats dalam rakaman nya," ujar Nasir.

Di antara lagu-lagu yang akan dirakamkan oleh kugiran Alleycats ialah Ke Pulau Permai, Kalau Hanya Dia Mengerti, Peristiwa Suatu Petang, Dapatkah, Nasib Si Bunga dan Mimpi. Kebanyakan lirik lagu-lagu tersebut dicipta khas oleh Mohd Nasir.