Isnin, April 29, 2019

Awie terkenang insiden ‘didera’ M Nasir

petikan Berita Harian 29 April 2019

Barisan panel lain yang turut diundang menjayakan forum bertemakan Search, Wings dan Rock N’ Roll itu adalah vokalis Wings, Datuk Awie dan pemain bass Search, Nasir Daud.

Tidak ketinggalan, penulis lirik dan bekas pengurus Wings, Bob Lokman serta pengarah filem dan penulis lirik, Nasir Jani.

Program anjuran Sahabat M Nasir, Roman Abadi Sdn Bhd dan Magnus Works Production itu menyaksikan lima panel terbabit mengupas dan membongkar kisah era kebangkitan muzik rock berdasarkan pengalaman mereka.

Cipta 17 lagu seminggu

Mengimbau detik mereka bekerja di studio, Nasir yang cukup dikenali dengan kehandalan bermain gitar bass untuk kumpulan Search berkata, M Nasir ada cara tersendiri dalam mencipta lagu.

“Cara M Nasir mencipta lagu bukanlah dengan bermain alat muzik seperti yang sering dilakukan komposer profesional. Beliau lebih kepada mengalunkan melodi secara lisan.

“Ada ketika, dia membiarkan kami ‘jamming’. Selepas itu, barulah dia masukkan melodi yang dirasakan sesuai.

“Memang kami tidak menggunakan apa-apa formula dalam mencipta lagu. Selalunya, kami datang ke studio tanpa sebarang persediaan.

“M Nasir akan tanya, lagu bagaimana yang kami mahu. Sama ada kami mahu lagu berentak perlahan, moderate atau rancak,” katanya.

Nasir berkata, mereka akan mencipta seberapa banyak lagu dalam satu sesi.

“Kami cipta seberapa banyak lagu dengan sebahagian daripadanya dimuatkan dalam album. Bakinya akan kami simpan untuk album akan datang.

“Untuk album Langit dan Bumi, kami menyiapkan 17 lagu dalam tempoh seminggu. Search ketika itu masih baharu dan idea pun datang mencurah-curah,” katanya.

Dalam menghasilkan sesebuah lagu, M Nasir sangat teliti dalam bekerja apabila mengambil masa masa yang agak lama untuk membereskan semua tugasan.

Perkara ini turut diakui Aziz apabila memaklumkan album Fenomena yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh sebulan, melepasi masa yang ditetapkan.

Mengulas perkara sama, Awie berkongsi kisah lucu mengenai tempoh yang diambil M Nasir untuk mencipta lagu yang masih diingati hingga hari ini.

“Kejadian berlaku ketika salah satu lagu popular kami berjudul Sejati dicipta. Ia dirakamkan di sebuah studio di Sarawak.

“Apa yang melucukan, hanya melodi awal yang menyebut perkataan ‘sejati’ dirakamkan di Sarawak.

“Selebihnya dihasil dan dirakamkan di Kuala Lumpur,” katanya sambil disambut gelak ketawa penonton.

Awie berkata, dia tidak dapat melupakan pengalaman ‘didera’m Nasir yang menyuruhnya menjerit di hadapan dinding rumahnya di Sungai Buloh, Selangor bagi memantapkan suara.

“Masih ingat lagi peristiwa saya disuruh menjerit di hadapan dinding rumahnya sebagai kaedah belajar vokal.

“Apabila dikenang kejadian itu, rasa kelakar. Namun, daripada sudut lain, ia sebenarnya latihan yang bagus buat saya. Semua ini menjadi sejarah dan pengalaman saya dalam bidang seni sangat menarik,” katanya.

Lirik Isabella ditolak empat kali

Bukan mudah untuk bekerja dengan insan seni seperti M Nasir kerana piawaiannya terhadap sesuatu perkara sangat tinggi.

Sehubungan itu, tidak hairanlah, lirik lagu Isabella hasil nukilan Bob Lokman ditolak empat kali sebelum dimuatkan dalam album kumpulan rock terunggul itu.

“Saya diminta M Nasir untuk menyiapkan lirik lagu Isabella dengan segera. Beliau hanya memberikan judul Isabella untuk lagu itu.

“Puas saya memikirkan konsep penceritaannya sehinggalah saya teringat kisah cinta tidak kesampaian dengan seorang wanita Inggeris, suatu ketika dulu. Kiranya, itu adalah cinta semusim kami.

“Setiap kali saya serah lirik kepadanya, ada saja yang tidak kena. M Nasir meminta saya merombak lirik hingga percubaan kali keempat, barulah berjaya. “Itupun dia cuma kata ‘bolehlah’ selepas membaca lirik yang diberi,” katanya.

Bob tidak menyangka lagu Isabella menjadi cukup ‘besar’ sehingga popular di rantau ini.

“Tak sangka kehebatan lagu itu membuatkan nama Search menjadi begitu besar. Pengaruh lagu itu cukup luas sehingga dirakamkan dalam pelbagai versi,” katanya.

Isnin, April 22, 2019

Disuruh jerit depan dinding

petikan Harian Metro 22 April 2019
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

TEMPOH satu jam setengah yang diperuntukkan untuk sesi bual bicara Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Siri 2 bersama penyanyi legenda Datuk M Nasir dengan panel terdiri daripada bekas Pengarah Artis & Repertoire BMG Music, Datuk Aziz Bakar; penyanyi Wings, Datuk Awie; pemain bass Search, Nasir Daud; penulis lirik dan bekas pengurus Wings, Bob Lokman serta pengarah filem dan penulis lirik, Nasir Jani seakan tidak mencukupi.

Program anjuran Sahabat M Nasir, Roman Abadi Sdn Bhd dan Magnus Works Production bertemakan ‘Search, Wings dan Rock N’ Roll’ yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur petang kelmarin itu begitu menarik kerana mengupas dan menyelongkar kisah era kebangkitan muzik rock yang disampaikan lima panel ini berdasarkan pengalaman mereka ketika itu.

Memenuhi tema, program yang menampilkan bekas Pengurus Saluran Astro Warna dan Pengurus Program Era FM dan Sinar FM, Rostam Said sebagai moderator ini dihadiri hampir 600 peminat yang mendalami pemikiran, falsafah dan perjuangan insan bergelar ‘Sifu’ memperjuangkan genre rock terutama membabitkan band rock legenda tanah air Search dan Wings.

M Nasir adalah individu yang bertanggungjawab membawa Search ke dalam industri muzik Malaysia selain meletakkan Wings ke satu tahap tinggi menerusi album dan lagu yang diterbit serta dicipta untuk mereka.


Beliau juga bertanggungjawab mencipta puluhan lagu dan lirik kedua-dua kumpulan itu. M Nasir menerbitkan tujuh daripada 12 album studio Search dan empat daripada 11 album studio Wings.

Beliau turut menerbitkan satu daripada dua album Double Trouble yang menggabungkan Search dan Wings.

AZIZ BAKAR. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Selesai sesi bual bicara, peminat dihiburkan dengan persembahan M Nasir yang menyanyikan lagu-lagu ciptaannya untuk Search dan Wings antaranya Isi Atau Kulit, Sejati, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Peronda Jaket Biru, Pawana, Hukum Karma, Gadis Misteri, Di Ambang Wati dan Fantasia Bulan Madu.

Beliau diringi The Gong yang dianggotai pemuzik profesional iaitu Nan (gitar), Rafi (gitar), Kelly (bass), Ujang (dram) dan Firdaus (keyboard).

M Nasir yang ditemui berpuas hati dengan kandungan program ini.

“Ia lebih kepada bual bicara dan persembahan saya hanya selingan. Pada saya sesi bual bicara sangat menarik dan menghiburkan. Insya-Allah siri ketiga akan dibuat selepas ini kerana banyak lagi tema yang akan ditampilkan selepas ini.

“Saya sendiri kurang pasti apakah tema kali ini saya yang pilih. Saya minta mereka jangan banyak bercakap mengenai diri saya, tapi mereka cakap apa yang ada kena mengena dengan saya,” katanya yang mengakui kesuntukan masa membataskan banyak perkara menarik berkenaan Search dan Wings diperkatakan.

Sudah nampak ‘bintang’ Search

“Pada awal 1980-an, Search datang ke Kuala Lumpur mencari tapak. Walaupun berasal dari Johor Bahru, Search ditubuhkan di Kuala Lumpur,” kata pemain bass Search, Nasir.

Menurut Nasir, ketika mereka beraksi di kelab Red Rooster, M Nasir datang melihat persembahan mereka bersama wakil syarikat rakaman Polygram.

“Selepas itu, mereka datang lagi. Ketika berbual dengan M Nasir, katanya apabila dia buka pintu dia sudah nampak ‘bintang-bintang’ pada Search. Maksudnya dia mengakui kami sebuah kumpulan muzik yang berbakat dan ada masa depan,” katanya.

M NASIR mempamerkan persembahan menarik membawakan lagu-lagu Search dan Wings mengikut rendisi tersendirinya. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Dari situ gandingan M Nasir dan Search terus mengorak membina empayar mereka dalam bidang muzik termasuk mencetus fenomena di Indonesia.

Nasir mengakui proses rakaman album bersama M Nasir amat rumit kerana mereka diberi masa hanya dua minggu untuk menyiapkan album pertama.

“Kami perlu siapkan album ini tak kira apa saja halangan. Kami dan M Nasir tiada apa-apa formula. Datang studio dengan tangan kosong dan buat kerja ikut jadual yang ditetapkan.

“Lahirlah album pertama berjudul Cinta Buatan Malaysia. Album kedua, Langit dan Bumi meletakkan Search di landasan yang betul. Kami berjaya siapkan 17 lagu dalam tempoh seminggu. Namun, 10 yang dipakai dan selebihnya disimpan untuk album akan datang. Kami masih baru dan banyak idea ketika itu,” katanya.

M Nasir tak ‘peduli’ dengan Wings

“Jika beliau anggap Search ibarat bintang-bintang, dia hanya meletakkan sasaran jualan album sebanyak 10,000 unit saja untuk Wings,” kata Awie.

Menurut Awie, ketika mereka merakamkan album sulung, Belenggu Irama, M Nasir seolah-olah tidak menghiraukan mereka.

“Yang bekerja untuk proses rakaman album itu ialah Sani Sudin, Siso dan Usop dari Kopratasa. Lagu pertama yang kami rakamkan ialah Inspirasi Taming Sari. Terkangkang-kangkang saya dibuatnya kerana ia pengalaman pertama. Satu lagu itu ambil masa dua hari untuk disiapkan,” katanya.

NASIR dan Awie. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Awie berkata, dia juga tidak dapat melupakan pengalaman ‘didera’ M Nasir yang menyuruhnya menjerit di depan dinding rumahnya di Sungai Buloh bagi memantapkan suara.

“Awal pagi saya akan menaiki bas dari Puduraya ke rumah M Nasir di Sungai Buloh untuk belajar vokal. Apabila sampai di rumah, beliau suruh saya menjerit depan dinding.

“Apabila difikirkan balik sekarang, saya terfikir sejarah saya memang sangat menarik. Itu sebenarnya satu latihan yang bagus buat saya.

“Selepas itu Wings hasilkan album kedua, Hukum Karma dan ia meletup bagai nak gila. Hari ini walaupun Wings buat album baru, setiap kali buat persembahan, peminat tetap meminta lagu Hukum Karma,” katanya.

Mesti ada ‘killer song’

Sebagai Pengarah Artis & Repertoire BMG Music, Datuk Aziz Bakar bertanggungjawab memastikan hanya lagu terbaik dimuatkan dalam sesebuah album selain perlu memiliki satu ‘killer song’.

“Selepas Search menyiapkan rakaman album keempat mereka iaitu Fenomena, saya mendapati tiada lagu yang betul-betul kuat. Kami perlu cari lagu ganti sedangkan ‘deadline’ untuk penjualan album sudah dekat.

“Saya minta M Nasir cari lagu lain dan dia akhirnya tampil dengan lagu hebat Isabella. Lagu ini membawa Search dikenali di Indonesia dan dinyanyikan dalam pelbagai genre muzik di sana,” katanya.

Pening nak buat lirik Isabella

Penceritaan Bob Lokman dengan gaya komedinya menjadikan sesi bual bicara ini cukup meriah.

Selain bertanggungjawab memperkenalkan Wings kepada M Nasir, Bob turut menceritakan bagaimana dia menghasilkan lirik lagu popular Search, Isabella.

BOB Lokman bersama Nasir Jani. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Search merakamkan lagu itu di Studio King, Petaling Jaya dan kebetulan Bob turut berada di situ.

“Waktu itu saya sedang tidur di atas sofa di studio itu. Tiba-tiba M Nasir keluar dari salah satu studio rakaman di situ dan memberikan saya kaset. Di dalamnya terkandung lagu baru Search dan saya diminta menghasilkan lirik.

“Puas saya fikir bagaimana saya nak hasilkan lirik lagu itu. Kemudian saya teringat pengalaman saya mengenali seorang wanita Eropah di Subang Jaya. Saya jatuh hati dengannya, tapi cinta saya tak sampai. Ibarat cinta kami hanya semusim saja.

“Kami pernah keluar menonton konsert Allahyarham Datuk Sudirman di tasik Subang Jaya dan itulah yang mencetuskan ilham untuk lirik lagu ini,” katanya.

Menurut Bob, selepas memberikan lirik itu kepada M Nasir, penerbit itu tidak berpuas hati dan meminta Bob menukarnya.

“Selepas itu dia bersetuju, tapi cuma berkata, bolehlah. Tapi akhirnya lirik ‘bolehlah’ itu mencetus kejayaan gemilang,” katanya.

Nasir Jani sekepala dengan M Nasir

“Mana lu dapat nombor gua? Ada apa lu call gua?” Itu kata Nasir Jani ketika M Nasir menghubunginya meminta dia mengarahkan filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

“Saya memang tak kenal M Nasir dan dia menghubungi saya minta mengarahkan filem itu. Saya tanya kenapa dia pilih saya dan dia kata terpikat dengan hasil kerja saya sebagai penolong pengarah filem Mekanik dan Matinya Seorang Patriot. Dari situ saya tahu kami ada ‘chemistry’,” katanya.

Menurut Nasir Jani, idea asal daripada M Nasir dalam filem itu ialah mengenai seorang anak muda dari kampung yang meminati lagu-lagu rakyat datang ke Kuala Lumpur dengan impian mahu menjadi penyanyi.

“Bagaimanapun, jalan ceritanya bertukar 360 darjah apabila Ito Blues Gang mencadangkan kami mengetengahkan tema cetak rompak yang berleluasa ketika itu. Ia juga filem tempatan pertama yang mengetengahkan muzik rock,” katanya.

Nasir Jani berkata, filem Kembara Seniman Jalanan ada kaitan dengan kronologi penubuhan Search.

“Kelab Red Rooster yang menjadi tempat awal Search bermula ada dalam babak filem ini. Begitu juga dengan Hard Rock Cafe di Taman Tun Dr Ismail.

“Panggung Anniversari turut menjadi lokasi filem ini untuk babak konsert bertemakan hapuskan lanun cetak rompak,” katanya.

Selasa, April 16, 2019

Kupas kebangkitan muzik rock

petikan Harian Metro 16 April 2019
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

PROGRAM bual bicara Magnum Opus 40 tahun M Nasir Kembara Ke Solo Siri 1 yang diadakan pada 2017 kembali dengan Siri 2 dalam skala lebih besar akan diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut bermula jam 2 petang, Sabtu ini.

Program anjuran Sahabat M Nasir, Roman Abadi Sdn Bhd dan Magnus Works Production itu bertemakan ‘Search, Wings dan Rock N’ Roll’ yang akan mengupas kisah kebangkitan era muzik rock di Malaysia pada awal 1980-an dengan memfokuskan dua kumpulan rock legenda tanah air iaitu Search dan Wings.

Datuk M Nasir adalah individu yang bertang­gungjawab membawa Search ke dalam industri muzik Malaysia selain meletakkan Wings ke satu tahap tinggi menerusi album dan lagu yang diterbit serta dicipta untuk mereka.

M Nasir juga bertang­gungjawab mencipta puluhan lagu dan lirik kedua-dua kumpulan itu. Beliau juga menerbitkan tujuh daripada 12 album studio Search dan empat daripada 11 album studio Wings.

Beliau turut menerbitkan satu daripada dua album Double Trouble yang menggabungkan Search dan Wings.

Moderator program berkenaan, Rostam Said berkata, diberi peluang mengendalikan program berkenaan adalah penghargaan buat dirinya.

“Secara peribadi, saya memang meminati dan membesar dengan lagu-lagu ciptaan M Nasir. Jadi, apabila ditawarkan menjadi moderator program ini, saya tidak melepaskan peluang keemasan ini,” katanya yang juga bekas Pengurus Saluran Astro Warna dan Pengurus Program Era FM dan Sinar FM.

Rostam berkata, dia berharap semua peminat setia M Nasir serta Search dan Wings tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan program bual bicara terbabit.

“Ini peluang untuk peminat bertentang mata membicarakan apa yang berlaku pada awal 1980-an sehingga kemunculan dua band rock yang paling lama bertahan dan kisah kebangkitan muzik rock tanah air ketika itu.

“Ramai orang salah faham dengan M Nasir dan menganggapnya sombong, tapi hakikatnya beliau tidak begitu,” katanya.

Selain M Nasir, barisan panel terdiri daripada penyanyi Wings, Datuk Awie; pemain bass Search, Nasir Daud; bekas pengurus Wings, Bob Lokman dan pengarah filem dan penulis lirik, Nasir Jani.

Apa yang menarik, program ini turut menampilkan persembahan eksklusif M Nasir selama sejam pada jam 5 petang diringi kumpulan The Gong yang dianggotai pemuzik profesional seperti Nan (gitar), Rafi (gitar), Kelly (bass), Ujang (dram) dan Firdaus (keyboard).

Mereka akan membawakan lagu Search dan Wings ciptaan M Nasir dalam rendisi tersendiri. Pengisian bual bicara dan persembahan eksklusif dalam ruang yang intim dijangka mampu memberi kepuasan kepada kira-kira 600 penonton dan menjadi suatu yang diingati peminat industri muzik tempatan.

Tiket sudah mula dijual sejak 20 Februari lalu dengan harga RM160 (aras bawah), RM140 (aras bawah) dan RM120 (aras atas).

Kaunter tiket juga akan dibuka di ruang legar Auditorium DBKL pada jam 10 pagi Sabtu ini. Maklumat lanjut sila layari Instagram sahabatmnasir Facebook sahabatmnasirofficial.

Ahad, April 14, 2019

Magnum Opus 40 tahun M.Nasir siri 2 bakal imbau zaman kegemilangan Search dan Wings

petikan Astro Awani 13 April 2019


Magnum Opus 40 tahun M.Nasir siri 2 bakal imbau zaman kegemilangan Search dan Wings
Karya-karya M.Nasir untuk kumpulan Search dan Wings dipilih kerana ia dianggap sesuai untuk rujukan generasi sekarang selain mengembalikan kenangan suasana rock tahun 90-an.

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan program Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir Siri 1, 'Kembara Ke Solo', Sahabat M.Nasir dan Roman Abadi Sdn Bhd akan menganjurkan siri kedua program tersebut.

Menurut Presiden Sahabat M.Nasir (SMN), Johan Arif Haron, Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir Siri 2, 'Search, Wings dan Rock n Roll', siri kedua ini dibuat selepas ramai peminat seniman tersohor itu meminta diadakan satu lagi program selepas kejayaan siri pertama.

"Kami nak mengaitkan karya-karya Datuk M.Nasir dengan dua kumpulan rock gergasi iaitu Wings dan Search dan kami cuba melonjak karya-karya M.Nasir dalam album dua kumpulan rock gergasi ini," katanya kepada Astro AWANI.


Katanya karya-karya dalam album Search dan Wings akan dibincangkan dalam sudut pandang berbeza menerusi ahli-ahli panel seperti penulis lirik, Bob Lokman, pengarah filem Nasir Jani, pemain bass Search Nasir Daud dan penyanyi Wings, Datuk Awie.

Bekas penyamapai radio Sinar, Rostam Sani dipilih selaku moderator Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir Siri 2 yang akan diadakan di Auditorium DBKL pada 20 April nanti pukul 2 hingga 6 petang.

Johan menjelaskan ahli-ahli panel tersebut dipilih kerana mereka mempunyai sudut pandang berbeza untuk menerangkan suasana zaman rock tersebut dan juga bercerita tentang karya-karya M.Nasir.

"Kami memilih Bob Lokman kerana banyak karya-karyanya yang menarik dalam album Search dan Wings dan Nasir Jani pulak banyak merakam 'scene' rock waktu itu," katanya lagi.


Bercerita lanjut, Johan berkata karya-karya M.Nasir untuk kumpulan Search dan Wings dipilih kerana ia dianggap sesuai untuk rujukan generasi sekarang selain mengembalikan kenangan suasana rock tahun 90-an.

"Kita memilih karya-karya Datuk M.Nasir kerana banyak lagu-lagu lirik karya dia tu sesuai untuk reference untuk generasi sekarang lah, dan kita patut menengahkan atau mengembalikan kenangan-kenangan lagu-lagu yang dia pernah bikin untuk suasana rock masa tu dan kesannya sampai sekarang," katanya.

Datuk M.Nasir telah menerbitkan tujuh dari 12 album studio Search dan menerbitkan empat dari 11 album studio Wings serta satu dari dua album studio Double Trouble yang mengabung dua gergasi rock itu.

‘Magnum Opus’ adalah istilah Latin yang membawa maksud ‘himpunan karya seorang seniman yang berpengaruh samada kesusasteraan, muzik, seni halus atau filem’ dan mendapat perhatian umum.