petikan Berita Harian, 11 Julai 1984
Oleh M. FADL1 A. KADIR
M.Nasir ketua kumpulan Kembara akan memperkenalkan seorang muka baru dalam kumpulannya tidak lama lagi. Beliau yang dimaksudkan itu ialah Sharom Basiron, seorang pemain dram dan adik kepada seorang 'pencipta lagu dalam tahun-tahun 60an, Cik Salamah Basiron.
Menurut M.Nasir yang ditemui ketika sedang membuat rakaman sebuah rancangan hiburan di televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), Inilah Laguku, yang diterbitkan oleh Yusoff Ismail, Sharom akan disertakan untuk rakaman album Kembara yang kelima tidak lama lagi.
Dua tahun yang lalu, kumpulan Kembara telah kehilangan seorang anggotanya iaitu Shahlan yang kini telahpun melahirkan sebuah album secara solo. Bagaimanapun, kehilangan Shahlan tidak menjejas kemunculan Kembara dalam arena seni suara. Kembara terus melahirkan album, walaupun hanya dianggotai oleh A. Ali dan M. Nasir sendiri.
Kemunculan Kembara dalam arena piring hitam telah memberikan nafas baru kepada dunia hiburan Melayu. Kebanyakan lagu-lagu mereka telah mendapat sambutan hangat terutama di kalangan anak-anak muda sekarang yang 'kehausan' dengan pembaharuan.
Kini dengan bertambahnya kembali anggota Kembara. mungkin sekali kumpulan itu akan menunjukkan persembahan yang lebih menarik. Sebenarnya nama Sharom Basiron bukanlah baru dalam arena muzik di sini. Beliau sudah lama menjadi seorang 'pemuzik sesi' dan pernah terlibat ketika Kembara membuat rakaman. Memandangkan potensinya dalam bidang muzik. M.Nasir sering mendapatkan khidmatnya.
Dengan adanya Sharom Basiron, ini bermakna kumpulan Kembara kembali dianggotai oleh tiga orang. Apakah pilihan M. Nasir tepat? Sama-samalah kita tunggu potensi yang akan ditunjukkan oleh Sharom.
Kalau anda bertanya pendapat saya, saya mengatakan M. Nasir telah membuat pilihan yang sesuai. Sebelum beliau membuat pilihan selalunya beliau akan mengkaji kebolehan seseorang itu terlebth dahulu. Mungkin M. Nasir merasakan Sharom memang layak menggantikan Shahlan yang telah menarik diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan