ANALITIC

Ahad, Julai 08, 1984

Ali berura-ura tarik diri dari 'Kembara'

petikan Berita Harian Singapura 8 Julai 1984

Oleh K. AFFANDI

MUNGKINKAH salah satu kumpulan penyanyi padu suara yang popular hari ini, Kembara, sedang menuju ke arah perpecahan dan mati tak berkubur?

Tanda tanya ini timbul ekoran daripada wawancara saya dengan salah seorang anggota dan pencipta lagunya, A. Ali, yang menyatakan bahawa beliau sedang menimbangkan untuk keluar dari Kembara.

Seandainya Ali memutuskan untuk menarik diri, maka akan tinggal seorang sahaja dalam kumpulan tersebut iaitu pemimpinnya, M. Nasir. Tidak lama dulu, seorang lagi anggota Kembara, M. Sahlan, telah pun meninggalkan kumpulan tersebut.

Apakah sebab-sebab yang mendorong Ali menimbangkan untuk menarik diri dari kumpulan itu?

"Setiap seniman mempunyai perasaan yang halus, yang sensitif dan mudah tersinggung. Kalau saya boleh dipanggil sebagai seniman, maka begitulah juga hati dan perasaan saya," kata Ali.

Menurut Ali, beliau sayang kepada Kembara. Tetapi, kalau keadaan yang dihadapinya berlanjutan beliau tidak punya pilihan lain kecuali meninggalkan kumpulan itu dengan hati yang berat.

Tidak, katanya. Beliau tidak merajuk. "Saya hanya mahu berdikari dan membuktikan kepada pihak yang telah membuat saya terkilan bahawa saya boleh 'hidup' tanpa Kembara," jelasnya.

Ali seterusnya menceritakan bahawa salah satu peristiwa yang telah mengguris hatinya ialah sewaktu membuat persiapan untuk rakaman album keempat Kembara. "Salah satu lagu yang saya cipta untuk album tersebut iaitu Kiambang, telah ditolak. Tetapi apabila lagu itu didengar oleh seorang pegawai yang lebih kanan di syarikat piring hitam Polygram, beliau mendesak supaya lagu itu dirakamkan.

"Sekarang terbuktilah bahawa Kiambang bermutu dan mempunyai daya tarik, kerana ia menjadi salah satu lagu yang digemari ramai," kata Ali.

'Penumpang'

Antara sebab-sebab lain ialah beliau merasakan bahawa usaha dan sumbangannya selama ini tidak dihargai, malah dianggap sebagai 'penumpang' sahaja dalam Kembara. Pahit getirnya tidak pernah diambil berat oleh pihak-pihak yang sering memerlukan khidmatnya sebagai seorang penggubah, pencipta dan pemuzik. Salah satu daripadanya ialah mendapatkan permit kerja untuk duduk di Singapura dalam masa beberapa minggu, supaya beliau tidak perlu berulang-alik antara Johor Bahru dengan Singapura semasa membuat rakaman.

"Tidak, saya tidak minta diperlakukan seperti orang besar-besar, pun tidak minta disanjung. Tetapi, apa yang saya inginkan ialah pihak berkenaan bersikap lebih adil terhadap titik peluh saya dan menghargai sumbangan saya," tegasnya.

Sebelum menganggotai Kembara, Ali ialah bekas anggota kugiran Night Hawkers dan Sweet Charity. Antara lagu-lagu ciptaannya yang popular dan dirakamkan oleh Kembara ialah Senandung Buruh Kasar, Hidup Cara Sendiri, Ada Sepasang Mata, Bunga Plastik dan Kiambang.

Tiada ulasan: