petikan Berita Harian 29 Disember 2023
Oleh Affan Rostam - affan.rostam@bh.com.my
M Nasir terbuka hati terima pelawaan MERCY Malaysia atas dasar keprihatinan terhadap situasi menimpa dunia, selain bersedia turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan. - NSTP/Sadiq Sani
KUALA LUMPUR: Selepas 24 tahun ditubuhkan, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) buat kali pertama memilih individu di kalangan selebriti iaitu Datuk M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan atau 'Goodwill Ambassador'.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, pelantikan M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan atas usaha mempromosikan nilai dan amalan kemanusian secara lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat.
"Kami berbesar hati M Nasir yang juga tokoh seni menjadi duta MERCY Malaysia. Usaha dan penelitian melantik M Nasir mengambil masa selama setahun sebelum melamarnya.
"Selain itu, lantikan ini dibuat secara berhati-hati. Kami sedar sekiranya tersalah pilih duta, apa sahaja kontroversi yang bakal timbul mungkin memberi impak buruk kepada kami," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MERCY Malaysia dan M Nasir di Dataran Muzium Negara, di sini, semalam.
Mengulas pemilihan M Nasir sebagai duta selama tiga tahun, Ahmad Faizal berkata, perwatakan dan keperibadian dimiliki komposer dan penyanyi legenda itu memiliki tarikan kuat.
"Selain tarikan, M Nasir juga 'superstar' dalam bidang muzik dan wajahnya turut dikenali dalam bidang perfileman. Itu antara faktor M Nasir seorang yang boleh didekati dan rendah hati untuk menjadi duta.
"Antara lain, sikap M Nasir yang sangat rapat dengan masyarakat bukan hanya golongan elit, malah orang biasa juga. Tarikannya melangkaui batasan sosial daripada pelabagai lapisan masyarakat.
"Jadi, kami kira tarikan M Nasir begitu luas dan kuat," katanya kepada BH Online.
M Nasir (dua dari kiri) dan Ahmad Faizal (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MERCY Malaysia dan M Nasir di Dataran Muzium Negara, semalam. - NSTP/Sadiq Sani
Sementara itu, M Nasir berkata, dia terbuka hati menerima pelawaan MERCY Malaysia atas dasar keprihatinan terhadap situasi menimpa dunia ketika ini, selain bersedia turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan.
"Selepas melihat keluarga saya dan merenung apa yang berlaku kepada dunia, ia membuka hati. Banyak perkara yang buat saya terbuka terutama apabila melihat keluarga.
"MERCY Malaysia sememangnya sudah berkembang, saya menjadi duta ketika persatuan ini sudah berada pada tahap yang baik.
"Tanpa saya, mereka juga boleh jalan sendiri. Tapi, saya sedang berbincang dengan MERCY Malaysia untuk mendapatkan banyak perkara yang boleh diberikan kepada masyarakat melalui persatuan ini.
"Mungkin saya boleh bantu daripada sudut itu. Kalau dari segi wang ringgit, mungkin saya tidak boleh bagi, tapi boleh cari duit bersama," katanya.
Kerjasama strategik MERCY Malaysia dan M Nasir antara lain untuk memberi dorongan kepada sektor kemanusian di Malaysia dan rantau ini khususnya melalui usaha dengan cara pengukuhan falsafah dan advokasi kemanusian melalui seni, budaya dan muzik.
Ini termasuk menjadikan seni dan muzik sebagai platform komunikasi massa serta strategik bagi penyebaran nilai, prinsip dan maklumat kemanusiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan