Petikan VariaPop 15 Julai 1989
Oleh Rumizah Baki
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)
Kebolehannya sebagai seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit album memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia juga seorang pelakon dan seorang pelukis yang berbakat besar. Keanehan dan keunikan dirinya menjadi perhatian umum. Dia yang dimaksudkan ialah M.Nasir, penerbit paling sibuk dan paling popular masa kini.
Kejayaan yang dicapainya pada hari ini adalah hasil kerja keras. Dia juga pernah melalui kegagalan apabila album pertamanya dahulu kurang mendapat sambutan. Namun ianya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha bagi memperbaiki kesilapan dan kelemahan. Kebolehannya di dalam seni muzik disegani ramai. Banyak artis yang telah berjaya di mercu kejayaan kerana dia. Album-album mereka mendapat sambutan yang di luar dugaan. Diantaranya ialah kumpulan Alleycats, Wings, Search, Bloodshed, Rahim Maarof, Ruhil, Roy dan ramai lagi. Kejayaan mereka adalah di atas usaha kreatifnya.
Apabila kita imbas kembali, penerbit yang berusia awal tiga puluhan ini dahulunya mempunyai sikap aneh. Hal ini menimbulkan pelbagai keresahan terutama kepada mereka yang ingin membuat wawancara dengannya. Hanya orang-orang tertentu dan telah biasa bergaul dengannya sahaja yang mudah untuk berbual panjang.
Bagaimanapun perubahan yang berlaku kepada dirinya kebelakangan ini memberikan kesan yang positif. Dia menjadi semakin peramah dan senang diajak berbual di dalarn pelbagai hal terutama perkara yang ada sangkut paut dengan bidang seni muzik.
M.Nasir yang telahpun mendirikan rumahtangga dan mempunyai dua orang anak ini berpuas hati dengan pencapaiannya selama ini. Ini tidak bermakna dia akan terus tenggelam di dalam arus kagemilangan tanpa berusaha untuk mengekalkannya.
Sekurang-kurangnya dia mesti dapat bertahan dengan kedudukannya sekarang sehingga tahun yang akan datang. M.Nasir yang dibesar dan mendapat pendidikan di Singapura ini menganggap impiannya yang besar tercapai ialah apabila diiktiraf menjadi warganegara Malaysia baru-baru ini. Inilah hadiah yang sekian lama diidam-idamkannya.
Pastinya ini akan memberinya nafas baru untuk melahirkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu kerana tidak ada sekatan yang menghalang dia daripada menyertai pertandingan muzik yang dianjurkan. Sebelum ini adakalanya dia terpaksa berlindung di sebalik nama orang lain kerana keadaan memaksa.
Kini setelah puas dia menaikkan dan mempopularkan album penyanyi lain dia bersengkang mata pula menyiapkan rakaman album solonya yang kedua keluaran PMC. Ini adalah beban paling berat yang terpaksa dipikulnya. Walaupun begitu dia tidak pernah menampakkan keresahan dan kesukarannya.
Dia tetap tenang menjalankan tugasnya untuk menyiapkan albumnya secepat yang boleh. Di samping itu dia juga menerbitkan album ramai penyanyi lain di dalam waktu yang sama.
Kesabaran, ketenangan dan sikap teliti yang diamalkannya itulah yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang selain hari ini. Dia amat serius ketika melakukan sebarang tugas. Tidak hairanlah kalau ada penyanyi yang ‘susah hati’ dan menitiskan air mata bukan kerana tengking herdik tetapi kerana sikap seriusnya semasa rakaman dijalankan.
Album terbarunya yang menerapkan konsep penerokaan ciri-ciri semasa dan tradisional awal awal lagi sudah menampakkan keunikannya. Apatah lagi jikalau peminat mendengar lagu lagu yang akan didendangkannya. Inilah kelainan yang ingin ditonjolkan oleh M.Nasir melalui album solonya yang kedua ini. Sebagaimana penyanyi lain yang sudah berjaya hasil daya usahanya, dia tentunya mengharapkan agar album solonya ini demikian juga. Ini adalah satu penghargaan kepada dirinya dan hadiah kepada para peminat yang telah mernberikan sokongan terhadapnya selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan