petikan Berita Harian 4 Julai 1991
Wawancara Eksklusif bersama M Nasir
Kelolaan: Tuminah Sapawi
Oleh:Azman Siraj (Penulis sambilan)
BIODATA
NAMA: Mohd Nasir Mohammed
USIA: 34 tahun
TEMPAT LAHIR: Singapura
PERKAHWINAN: Mendirikan rumah tangga dengan Junainah Johari pada tahun 1981 dan mempunyai dua orang anak, Mohd Ilham dan Al-Yasin.
KERJAYA:bPenyanyi, penggubah lagu/lirik, pelukis, penerbit album, dan pelakon filem.
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Bukit Panjang, Sekolah Menengah Bukit Panjang Govt High, Institut Kejuruan Boy's Town, dan Akademi Seni Halus Nanyang.
ALBUM:Untuk Pencinta Seni* (1980), *Dia Ibuku* (duet dengan Yunizar Hoessein, 1981), *Kumpulan Kembara* (enam album), dan *Solo* (1989).
KERAKYATAN: Menjadi rakyat Malaysia pada Januari 1989.
Hijrah?
Siapa kata M. Nasir telah berhijrah?
Beliau tidak berhijrah.
Ilham seninya masih tetap bersama orang Singapura.
Cuma zahirnya sahaja beliau kini bermastautin di Kuala Lumpur.
Sungguhpun M. Nasir kini sudah menjadi rakyat Malaysia, karyanya terus mengalir tanpa sempadan.
"Saya ke KL untuk meluaskan kreativiti seni, khususnya dalam bidang muzik dan lakonan. Sebab di KL, seni muzik lebih berkesan untuk dimajukan," kata penyanyi, penggubah, penerbit, pelakon dan pelukis serba boleh itu meluahkan perasaannya.
Perwatakan komposer unik itu memang sukar dibaca.
Masyarakat sekeliling sering tersalah tafsir.
Ramai membuat kesimpulan bahawa anak asal Singapura ini seorang yang egoistik.
Apakah betul M. Nasir begitu?
"Entahlah! Mungkin itu adalah pandangan mereka yang tidak mengenali diri saya yang sebenar."
"Mungkin kalau masyarakat tadi tahu perangai saya, mereka tidak akan cakap begitu," kata M. Nasir sewaktu ditemui di studio Luncai Emas, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, minggu lalu.
Dengan berpakaian kemas berbaju lengan panjang dan berseluar ketat, M. Nasir yang sedang mengumpulkan bahan untuk album solo terbarunya semakin rancak berbicara.
"Berkhayal! Memang itu cara saya."
"Tapi bangga atau besar diri, itu bukan saya!"
"Terserahlah kepada penilaian masing-masing."
"Yang penting, saya tidak susahkan orang lain," kata beliau dengan nada suara yang menurun tetapi tegas.
Tidak kiralah apa pandangan masyarakat, apa yang penting ialah M. Nasir sudah meluaskan skop seni muzik Melayu di rantau ini.
Masyarakat, terutamanya golongan peminat seni, mula menghargai sumbangannya.
"Sebenarnya, saya tidak suka diangkat sebagai wira atau pejuang lagu-lagu Melayu."
"Saya tidak menolak memang terdapat ramai golongan artis yang selalu mengharapkan sangat kepada anugerah."
"Sedikit kerja, macam-macam yang diminta."
"Sedangkan, menghasilkan lagu adalah tugas dan pekerjaan saya."
"Ia sudah menjadi kewajipan."
"Sebab di situlah sumber pendapatan saya mengalir."
"Kalau lagu-lagu yang saya ilhamkan digemari, saya suka."
"Senang."
"Tapi apa yang saya inginkan ialah lagu-lagu tadi didengar dan pendengar menghayati sama liriknya."
"Sebab, setiap melodi dan seni katanya mempunyai cerita tersendiri."
"Oleh itu, saya akan lebih senang kalau lagu-lagu saya diperkatakan."
"Dari situ, baru kita dapat sama-sama berfikir," katanya.
M. Nasir suka menghasilkan seni kata lagu yang mempunyai mesej yang mendalam.
Maksudnya, satu perkataan yang digunakan boleh membawa pengertian yang sangat berkesan.
Sebab itulah, selain penulis lirik Bob dan S. Amin Shahab, kesemua lirik lagu M. Nasir ditulis oleh beliau sendiri.
Kenapa?
"Sebab saya beratkan mesej daripada lagu-lagu tadi."
"Saya mahukan seni kata yang dapat meninggalkan kesan," ulasnya.
Kebolehan M. Nasir selaku penerbit album sudah terbukti.
Malah, tidak seperti penerbit-penerbit lain, beliau sering mengeluarkan dua tiga buah album daripada kumpulan atau penyanyi yang berlainan pada waktu yang sama.
"Seniman hanya dapat melahirkan ilhamnya apabila dicabar."
"Saya tidak boleh bekerja mengikut waktu yang selesa."
"Sebab itu, apabila saya rasa terdesak barulah saya dapat hasilkan ilham dan lagu-lagu."
"Ini sudah saya lakukan sejak zaman kumpulan Alleycats dan Kembara," M. Nasir menjelaskan lebih lanjut.
Beliau tidak ingat jumlah sebenar lagu-lagunya yang telah dirakamkan oleh artis dan kumpulan di sini.
Apabila diminta memilih antara lagu-lagu ciptaannya yang dianggap paling berkesan, beliau menjawab:
"Susah untuk saya kategorikan lagu-lagu yang saya ilhamkan."
"Seperti kata saya tadi, mencipta lagu memanglah kerja saya."
"Jadi, setiap melodi yang saya cipta mempunyai keistimewaannya tersendiri."
"Maaflah, saya tidak dapat nak pilih dan kategorikan lagu-lagu berkenaan."
Di Indonesia, lagu ciptaannya, *Fantasia Bulan Madu*, telah diubah liriknya kepada *Cinta Kita* untuk disesuaikan dengan selera masyarakat di sana.
Apa kata M. Nasir?
"Nak kata apa... benda itu sudah macam itu."
"Kalau kita larang pun, mereka tetap ciplak."
"Jadi, suka tak suka, terpaksa beralah."
"Sebab, kita tidak mempunyai kuasa untuk menuntutnya."
"Berlainan halnya di Malaysia dan Singapura."
"Sebab kita mempunyai badan tertentu untuk menjaga kepentingan para artis," katanya sambil mengurut rambutnya yang panjang melepasi kedua-dua belah bahunya.
Apabila diberitahu tentang persetujuan pihak Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) untuk membayar royalti lagu-lagu yang disiarkan, M. Nasir tersenyum sinis.
Lambat untuk beliau menjawab.
Keadaan lengang seketika.
Kemudian sambil mengangkat mukanya dan memandang tepat ke arah saya, beliau membuka mulutnya lagi:
"Perkara itu sepatutnya sudah lama dilakukan."
"Sahaja ada pihak tertentu yang melambat-lambatkannya," kata beliau tanpa melanjutkan percakapan.
Dalam bidang lakonan, menurutnya, beliau tidak memilih sangat watak-watak yang diberikan.
"Yang penting, jalan cerita itu mesti padat dan bermakna."
"Selama ini, saya hanya diberi peluang membawa watak-watak yang iras diri saya sendiri."
"Kalau boleh, saya mahu lakonkan filem komedi pula."
"Baru tercabar," kali ini M. Nasir kelihatan betul-betul mengorak senyuman melebar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan