Selasa, Mac 15, 2022

Singkap rahsia 36 tahun

petikan Berita Harian 15 Mac 2022

Oleh Zaidi Mohamad 

zaidim@bh.com.my

 


Pelakon KSJ dari kiri Imuda, Ramli, M Nasir, Ito, Amy Search, Pyanhabib dan DR Sam pada majlis tayangan wayang pacak filem berkenaan di ibu negara, Ahad lalu.

Pelakon KSJ dari kiri Imuda, Ramli, M Nasir, Ito, Amy Search, Pyanhabib dan DR Sam pada majlis tayangan wayang pacak filem berkenaan di ibu negara, Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Ironinya, selepas 36 tahun, filem 'realisme' Kembara Seniman Jalanan (KSJ) terbitan 1986 memaparkan realiti hidup anak seni berdepan isu plagiat, cetak rompak, korupsi dan kepincangan politik serta ekonomi bangsa Melayu, masih menjadi nanah yang mencemari landskap industri hiburan.

Ketika dipertontonkan di pawagam, filem pengembaraan muzikal arahan Nasir Jani terbitan ZSA Holdings Sdn Bhd itu mencetuskan kontroversi apabila dikatakan ada pihak 'panas punggung' dengan isu diangkat dan cuba menyekat KSJ daripada ditayangkan.

Malah, KSJ dikatakan dinafikan hak untuk dinilai pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-6 pada 1986 dengan alasan penulis skrip dan pelakon utama, Datuk M Nasir bukan rakyat Malaysia, sebaliknya, masih memegang kerakyatan Singapura.

Apa yang penting, ironinya, KSJ dianggap filem ikonik yang terus relevan. Malah, ada antara isu yang dibangkitkan dalam filem berkenaan belum berkesudahan atau menemui jalan penyelesaian.

Selepas 36 tahun, nostalgia KSJ dibangkitkan semula pada sesi tayangan filem versi restorasi secara wayang pacak di Rumah Tangsi, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Pada sesi itu, semua pelakon utama KSJ iaitu M Nasir, Datuk Ramli Sarip, DR Sam, Amy Search, Pyan Habib, Ito Blues Gang dan Imuda dipertemukan semula.

Acara itu dicetuskan platform perkhidmatan strim filem Melayu, Siar buat kali pertama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Melalui sesi bual bicara dikendalikan penyampai radio, DJ Nazz, M Nasir memberitahu, idea asal penulisan inti pati cerita KSJ lebih bersifat mudah dan boleh jual.

"Idea asal KSJ tercetus tidaklah besar, bahkan, penceritaannya santai dan mudah. Tetapi selepas berjumpa kawan lain iaitu Nasir, Pyan dan DR Sam, ia jadi besar.

"Idea asal filem ini dirombak Nasir supaya lebih menjurus kepada konflik seniman dan pemuzik berkaitan ekonomi mereka.

"Judul asal filem ini sebenarnya tanpa istilah kembara, tetapi Nasir hendak masukkan unsur pengembaraan.

M Nasir dalam salah satu babak filem KSJ di mana beliau memegang watak Bujang.

"Begitu juga isu lain, termasuk cetak rompak atau disebut 'lanun' menerusi watak Bujang lakonan saya," kata suami kepada Datin Marlia Musa ini.

Penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu juga berterima kasih kepada pengarah KSJ yang membawanya berfikir di luar kotak atau jauh daripada zon selesa.

"Dia (Nasir) bawa tahap pemikiran saya lebih dewasa. Pemikiran begitu sepatutnya sudah ada dalam diri saya, bukan setakat berfikir menghasilkan cerita boleh jual semata-mata.

"Sambutan KSJ pada tahap biasa. Cuma masih ingat lagi masa tayangan perdananya, pada minit awal, saya perhatikan ramai terhibur dengan watak Osman Tikus lakonan Pyan. Selang beberapa minit berikut, sesetengah daripada mereka (penonton) terdiam.

"Saya tidak pasti kenapa jadi begitu. Malah, perasaan apa yang bersarang dalam diri mereka pun tidak tahu.

"Mungkin perasaan bersifat 'misteri'. Bagi saya filem jenis ini tidak ada di Malaysia ketika itu. Saya bangga berada dalam filem itu," katanya.

Penyanyi kelahiran Singapura yang sudah berkecimpung dalam dunia muzik sejak empat dekad lalu itu juga menyifatkan KSJ sebagai karya inspirasi yang memperjuangkan keadilan.

"Di sebalik 'pekung' dan realiti yang dipamer pengarahnya dalam KSJ, saya lihat Nasir terpengaruh dengan filem Hang Jebat. Lalu, semangat Jebat menderhaka itu mungkin cuba dizahirkan dalam KSJ.

"Saya berpuas hati dengan hasil akhir filem ini. Ia adalah pembaharuan dalam industri seni ketika itu. Ia bersifat eksperimentasi dalam banyak aspek.

"Filem ini juga mencungkil masalah cetak rompak yang berkaitan korupsi dalam masyarakat, jiwa nurani artis muda yang ghairah dengan fasa awal kembara seni dan macam-macam lagi.

"Boleh dikatakan 80 peratus apa yang saya bayangkan dalam skrip diterjemahkan dalam KSJ.

"Banyak kesan atau tamparan dalam karya itu yang ada unsur rakyat dan popular. Proses pembikinan dan produksi pun dengan cara baharu. Pendek kata di Malaysia tahun itu belum ada filem rock muzikal seperti KSJ," katanya.

Sementara itu, pengendali platform penstriman filem Melayu, Siar iaitu Muhammad Ali Isnan atau Ali Agung berkata, usaha untuk mengumpul dan mendapatkan persetujuan hampir semua pelakon asal KSJ pada sesi tayangan semula, amat bermakna.

Bagaimanapun, Nasir tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan hanya berkongsi ucapan menerusi rakaman video.

"Ini adalah satu daripada usaha untuk mengangkat martabat filem tempatan ke tempat lebih tinggi. Ini kerana tiada 'reunion' seperti ini yang pernah dilakukan.

"Kehadiran nama penting di sebalik filem ini amat istimewa buat peminat filem tempatan," katanya.

Ditanya mengenai mengapa KSJ dipilih untuk sesi tayangan wayang pacak, Ali berkata, pengisian filem yang membawa isu cetak rompak menepati misi penubuhan Siar.

Tambahnya, Siar dibangunkan bagi menghalang individu memuat turun filem tempatan secara tidak sah.

"Siar memelihara karya filem tempatan terutama naskhah lama dan dapat ditonton secara sah. Kami merancang menganjurkan program seperti hari ini bagi filem lain pula," katanya.

Selain daripada filem tempatan, Siar kini di dalam proses perbincangan bersama pihak Malay Films Production Ltd dan Cathays Keris Film untuk mendapatkan hak tayangan bagi koleksi filem di bawah hak milik kedua syarikat itu di platform penstrimannya di http://siar.my/.

"Perbincangan bersama dua syarikat itu telah bermula sejak tahun lalu. Mereka amat kagum dengan usaha kami memartabatkan kembali filem Melayu.

"Kami juga akan membawa filem keluaran syarikat itu seperti Gelora, Sayang Anakku Sayang dan banyak lagi selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.

"Aplikasi Siar juga sedang dibangunkan untuk memenuhi kehendak pelanggan yang ingin menonton melalui telefon pintar dan TV android," katanya sambil menambah KSJ boleh ditonton di platform berkenaan.

Siar dibangunkan Ali pada 2017 tanpa bantuan dan sokongan kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan mahupun organisasi korporat.

Bermula dengan 24 filem tempatan antaranya Azura, Ali Setan dan Gila-Gila Remaja. Siar berjaya mengumpul hampir 150 filem tempatan yang dihasilkan sejak tahun 1950 hingga 2000.

Siar menawarkan langganan secara bulanan, akses tanpa had koleksi tayangan filem pada harga serendah RM10 dan yuran langganan untuk setahun bernilai RM100.

Sedutan filem lama boleh ditonton melalui laman Facebook (FB) Siar yang kini mempunyai 1.6 juta pengikut.

Tiada ulasan: