petikan Harian Metro 7 September 2021
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my
Jiwa patriotik dan rasa cintakan negara dapat diungkapkan menerusi pelbagai medium dan kreativiti.Ada yang berjuang di barisan hadapan demi negara dan ada juga yang menggunakan pelbagai cara lain untuk menunjukkan rasa patriotisme mereka.
Bagi penyanyi veteran, Dr Sam namanya cukup dikenali menerusi lagu Saya Anak Malaysia yang menjadi siulan masyarakat sejak 35 tahun lalu.
Siapa sangka, lagu yang kedengaran ringkas dan bercerita mengenai perjalanan hidup penyanyi dengan nama sebenarnya Salim Ibrahim ini mampu terus kekal menjadi lagu patriotik malar hijau sehingga ke hari ini.
Menjengah ke usia 68 tahun, Dr Sam mengimbau kembali kenangan kehidupannya sebagai anak Malaysia yang pernah bermusafir di Eropah satu ketika dahulu.
"Saya nak kongsikan sedikit kisah sewaktu saya berada di Eropah satu ketika dahulu. Arwah ayah saya menghantar saya untuk melanjutkan pelajaran.
"Namun, bila berada di sana, jiwa untuk belajar dah tak boleh nak bercambah dan rasa cinta saya mula beralih kepada muzik," katanya.
Dari situ, Dr Sam mula belajar berkarya di jalanan sebagai busker atau pemuzik jalanan dengan caranya yang tersendiri.
"Saya bukanlah pandai main muzik sangat. Bolehlah sikit-sikit. Pada ketika itu, saya hafal pun dalam lima hingga enam lagu.
"Bila berada di negara orang, saya belajar pelbagai benda untuk meneruskan kehidupan. Busking satu latihan terbaik untuk seseorang pemuzik.
"Di Eropah pula ramai busker. Jadi, saya tak boleh nak berdiri 'tercacak' saja sambil menyanyi. Saya kena fikirkan showmanship yang mampu menarik perhatian penonton," katanya.
Usai menjalani kehidupan di Eropah, Dr Sam pulang ke tanah air dan mencuba nasib dalam muzik.
"Ibu bapa saya kecewa apabila saya maklumkan ingin jadi penyanyi. Biasalah, pada ketika itu, penyanyi bukan dianggap satu pekerjaan tetap yang mampu menjana pendapatan.
"Namun saya lihat ia sebagai cabaran untuk saya cuba buktikan. Saya nak buktikan ia mampu menjadi satu kerjaya dan punca rezeki buat saya," katanya.
Pada 1986, Dr Sam terbabit dalam pembikinan filem Kembara Seniman Jalanan yang turut dibintangi Datuk M Nasir dan Datuk Khatijah Ibrahim.
"Alhamdulillah, Allah bagi satu rezeki pada 1986 di mana ketika saya menjalani penggambaran filem Kembara Seniman Jalanan, M Nasir muncul dengan satu ilham muzik.
"Sambil-sambil kami duduk bersama, dia menggoreng gitarnya dan memainkan satu melodi yang menjadi bahagian korus lagu Saya Anak Malaysia.
"Kebetulan saya pun merancang menghasilkan album. Jadi, dia minta saya menyambung dan jadikan melodi itu sebagai karya," katanya.
Berkongsi mengenai lirik lagu Saya Anak Malaysia, Dr Sam pada awalnya meminta sahabatnya yang juga penulis lirik terkenal, S Amin Shahab untuk menulis lirik lagu itu yang berakhir dengan kertas kosong.
"Memandangkan belum ada lirik, jadi saya hantar susunan muziknya kepada S Amin Shahab memandangkan dia pakar dalam penulisan lirik.
"Selepas berbulan-bulan, dia belum siapkan lirik lagu ini sedangkan saya dah nak mulakan proses rakaman. Bila saya berjumpa dengannya, dia beri saya kertas kosong," katanya.
Siapa sangka, kertas kosong menjadi permulaan untuk lagu yang mengukir kisah perjalanan hidup Dr Sam sendiri di samping meluahkan rasa kecintaannya kepada Malaysia.
"Dia tanya saya, lahir tahun berapa. Saya cakap, 1953. Jadi, dia beri idea kepada saya supaya mulakan lagu itu dengan bercerita mengenai diri saya.
"Jadi, saya masukkan cerita mengenai latar belakang saya dan perjalanan hidup saya yang berhijrah ke luar negara.
"Walaupun negara orang indah sekali, Malaysia tetap di hati," katanya.
Selepas 35 tahun, Saya Anak Malaysia masih lagi diterima dengan baik walaupun pada awal-awal kemunculannya, ia dianggap sebagai lagu biasa.
"Dulu, tak sangat (sambutan) macam sekarang. Saya pun pelik. Tapi, itulah Allah punya perancangan yang kita hamba-Nya tak pernah tahu.
"Dulu, kalau sambutan Hari Kemerdekaan pun, tak seperti sekarang. Kini, dalam usia saya sekarang masih dijemput untuk berborak secara santai dan berkongsi mengenai lagu ini," katanya.
Bagaimanapun, Dr Sam lebih selesa untuk memberi tumpuan kepada amal ibadah di samping mencari bekalan untuk akhirat.
"Kalau dah dalam umur sekarang, takkan nak kejar dunia lagi. Kita kena fikir akhirat juga. Sekarang, alhamdulillah, banyak usaha saya untuk bina kehidupan akhirat.
"Yang menjadi ingatan saya adalah iman sebagai pasport dan amal umpama wang. Nak ke mana-mana pun, kita kena ada dua benda ini. Sama juga untuk kita ke akhirat. Kena ada dua benda ini," katanya.
2 ulasan:
Humble nye interview ni.
penuh rendah diri.
aku suka
respek
aku suka lagu Sejuta Kalau Seribu Mungkin dari drSAM
Catat Ulasan