petikan Berita Harian 1 April 2021
oleh Balqis Jazimah Zahari bhhip@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seiring peredaran zaman, industri muzik dan seni tanah air bergerak pantas melangkau pelbagai medium.
Dalam mengejar arus itu, sudah pasti ada segelintir pemain industri yang menganggap diri ketinggalan dan karya hilang daya tarikan, lalu lenyap daripada industri seni.
Situasi ini mengakibatkan pemain industri atau pengikut menganggap rentak dunia seni semakin perlahan dan kurang produk malar segar atau tidak lapuk ditelan zaman.
Namun, bagi penerbit album dan komposer, Datuk M Nasir, 63, yang lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik, pemain industri kurang menonjol sebenarnya tidak memiliki apa yang digelar tarikan massa atau 'mass appeal'.
Menurut penyanyi lagu Keroncong Untuk Ana ini, industri seni secara keseluruhan bukan berjalan perlahan atau menurun secara mendadak seperti persepsi segelintir pihak.
"Kita ada statistik dan orang luar tiada statistik. Sesetengah orang merasakan industri ini sudah perlahan atau tidak berjalan. Ini mungkin kerana tidak menguntungkan dia atau memang sudah sampai waktunya tidak laku.
"Saya tidak nampak isu. Apa yang selalu kita dengar adalah mengenai hasil kerja tidak dapat ditonjolkan dengan betul, tidak mendapat perhatian daripada media dan khalayak.
"Ada juga yang melihat pihak lain dapat perhatian dan merasakan dia juga perlu mendapat perhatian sedemikian rupa walaupun kerja mungkin tidak sebagus mana.
"Jadi, sebenarnya hak mereka tidak dapat dicapai. Mereka rasa hak mereka diganggu. Sepatutnya, mereka mendapat peluang lagu dimainkan di radio dan sebagainya. Namun, hakikatnya, susah hendak dijual," katanya kepada BH Online.
Sehubungan itu, paling utama, bagi M Nasir, sesebuah karya perlu ada tarikan massa.
"Masalahnya, banyak kumpulan yang tidak menghasilkan karya yang mempunyai tarikan ramai. Karya mereka bagus tetapi tidak mempunyai tarikan ramai," katanya.
M Nasir berkata, persoalan dan perdebatan mengenai karya yang sering mendapat perhatian umum dianggap lumrah industri seni sejak dahulu lagi.
"Orang rasa barang tidak laku dan mengeluh mengenai teknologi, pilih kasih dalam penyiaran baik di radio atau jarang keluar di televisyen (TV) serta melihat artis sama sahaja.
"Masalahnya sama, tetapi zaman dahulu tiada media sosial, sekarang sudah ada media sosial dan tumpuan bukan sahaja pada muzik tetapi pelbagai benda lain muncul hingga orang minat.
"Sebagai 'orang yang setengah masak' buat benda yang kelakar dan 'cute' pun ramai minat. Sekarang ini perlu ada Instagram, TikTok dan semua dalam sosial media ini. Mungkin separuh dari mereka (pemain industri) tidak berminat.
"Jadi, semua hendak mendapatkan penonjolan yang dicita-citakan, tetapi dalam industri hiburan ini, tidak semua yang akan dapat. Namun, dengan karya yang baik dan memiliki nilai komersial, ia akan menonjol," katanya.
M Nasir berkata, situasi sama seperti pembikinan filem di mana sesetengah karya tidak dapat menonjol dan tidak laku dijual.
Justeru, beliau berkata, untuk mendapatkan mass appeal, pemain industri perlu belajar mengenai perkara disukainya dan orang lain.
"Pertama, dia kena betul-betul suka apa yang dia buat, banyak buat kajian dan belajar aspek teknikal kerja itu. Dia juga kena mahir dalam semua dan menguasai ilmu seni yang mahu difahami.
"Sebagai contoh, penggunaan kamera. Kalau ini bidang yang dia hendak lakukan, dia perlu mahir dalam bidang pembikinan video menggunakan telefon bimbit.
"Kita lihat sekarang banyak di YouTube orang membuat filem pendek atau besar hanya menggunakan telefon bimbit. Namun, perkara teknikal lain juga mereka perlu ada dan mahir," katanya.
M Nasir ditemui selepas menghadiri majlis penutup Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik yang disempurnakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid di Ipoh, baru-baru ini.
Bengkel anjuran Luncai Emas, FINAS, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kerajaan negeri dengan disokong Persatuan Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) itu diadakan selama dua hari.
Peserta didedahkan mengenai cara menerbitkan video muzik dan proses suntingan. Peserta juga mempelajari cara rakaman muzik dan video boleh dieksploitasi dan pemasaran dalam medium digital.
Dikendalikan moderator, Pengurus Perhubungan Awam Luncai Emas, Sham Amir Hussain, bengkel membawa peserta mendapatkan tip daripada ahli panel profesional.
Sementara itu, M Nasir yang juga Pengarah Luncai Emas berkata, bengkel seumpama itu dianjurkan sejak 2017 bagi berkongsi ilmu kepada generasi muda.
"Bengkel ini sebagai inspirasi kepada mereka yang baru hendak mencuba atau tidak tahu bagaimana hendak bermula. Kita ada banyak bakat yang boleh diketengahkan dan boleh menjadikannya sebagai karier," katanya yang sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan bengkel sama di seluruh negara.
Lebih empat dekad dalam dunia seni, M Nasir digelar sifu oleh industri muzik Malaysia. Berasal dari Singapura, M Nasir merakamkan album pertama berjudul Untuk Pencinta Seni di bawah nama Mohamad MN pada 1981.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan