ANALITIC

Isnin, Oktober 02, 1995

Nasir, Ebiet bergabung dalam konsert

 petikan Berita Harian, 2 October 1995


"Ebiet sudah mengesahkan untuk muncul dalam konsert itu. Saya pegang janjinya.

Di konsert itu nanti, Ebiet akan membawakan lagu-lagunya sendiri dan kemungkinan kami akan berduet, tetapi belum pasti apakah lagu yang sesuai kami nyanyikan."

 — Penggubah dan penyanyi M. Nasir.


HASRAT M. Nasir untuk bergabung tenaga dengan penyanyi lagu-lagu puisi, Ebiet G. Ade hampir terlaksana kerana penyanyi terkenal dari Indonesia itu telah bersetuju untuk muncul bersama Nasir dalam konsertnya pada 26 Oktober ini.

Konsert yang diberi nama Akar Manifestasi Akuistika itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur.

"Ebiet sudah mengesahkan untuk muncul dalam konsert itu. Saya pegang janjinya.

"Di konsert itu nanti, Ebiet akan membawakan lagu-lagunya sendiri dan kemungkinan kami akan berduet, tetapi belum pasti apakah lagu yang sesuai kami dinyanyikan bersama," kata Nasir kepada Berita Harian Malaysia.

Bagaimanapun, kata Nasir, ketika ini beliau sedang menyiapkan sebuah lagu khas yang diharap dapat dibawakan bersama-sama Ebiet di konsert itu kelak.

Konsert itu adalah anjuran bersama tabloid Harian Metro, BMG Music dan syarikat Nasir, Luncai Emas.

Bila ditanya rancangan untuk menghasilkan album bersama Ebiet, Nasir berkata perkara itu belum diputuskan dan beliau menyerahkan tugas itu kepada syarikat BMG.

Mengenai judul konsert yang agak unik itu, Nasir berkata perkataan 'akar' adalah cermin konsert itu yang menggambarkan semuanya bermula dengan akar manakala 'manifestasi akuistik' pula bermakna penjelmaan muzik akuistik.

Sesuai dengan nama tersebut, lagu-lagu yang dimainkan dalam konsert itu banyak menggunakan alat-alat 'string' seperti gitar, biola dan chelo.

Nasir dijangka membawakan 17 lagu lama dan baru. Antaranya, termasuklah Nusantara, Keroncong Untuk Ana, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Rindu, Keroncong Nostradamus, Di Balik Cermin Mimpi, Nyanyian Jiwa, Hati Emas dan Mustika.

Beliau akan diiringi kumpulan muzik Gong dan kumpulan Freshies sebagai penyanyi latar.

Tiada ulasan: