ANALITIC

Khamis, Mei 01, 1997

DJ Rasuah: PRO Syarikat Diberkas

petikan Berita Harian 1 Mei 1997

KUALA LUMPUR— Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan seorang pegawai perhubungan awam (PRO) sebuah syarikat rakaman antarabangsa di Malaysia kerana disyaki memberi sogokan kepada juruhebah-juruhebah radio atau deejay supaya lagu-lagu daripada album keluaran syarikatnya diperdengarkan ke udara.

Pegawai berusia 35 tahun itu, yang juga seorang artis dan pengurus rakaman dalam jabatan perhubungan awam syarikat tersebut, diberkas minggu lalu.

Pegawai itu ditahan selama lima hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Penangkapan ini menyusuli penyiasatan selama lima minggu oleh BPR ekoran dakwaan bahawa para deejay radio menerima rasuah daripada syarikat-syarikat rakaman.

Pasukan pegawai BPR yang menyiasat kes ini mempunyai bukti bahawa kira-kira 10 juruhebah radio dikatakan menerima rasuah.

Pencipta lagu dan penyanyi M. Nasir, yang terkenal dalam kalangan industri muzik Malaysia kerana pandangan-pandangannya yang kontroversi, mendedahkan bahawa sesetengah syarikat rakaman terpaksa 'beri makan' kepada juruhebah radio supaya lagu-lagu mereka diperdengarkan di udara.

Sementara itu, Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar) meminta juruhebah negara tersebut mengambil pendirian tegas terhadap syarikat-syarikat rakaman yang cuba menawarkan sogokan. Penyiar juga meminta juruhebah berwaspada apabila berurusan dengan syarikat rakaman atau wakilnya supaya tidak menimbulkan sebarang tohmahan kurang menyenangkan seperti yang dibuat oleh M. Nasir.

Akhbar Berita Harian Malaysia melaporkan, Setiausaha Agung Penyiar, Mazlan Abdul Hamid, berkata isu yang dicetuskan oleh M. Nasir dianggap serius kerana ia membabitkan kredibiliti dan profesionalisme juruhebah di Malaysia keseluruhannya.

"Penyiar berpendapat dakwaan terbuka M. Nasir kali ini keterlaluan. Beliau melihat daripada sudut dan kacamata peribadinya. Soal rasuah membabitkan dua pihak, pemberi dan penerima.

"Kalau benar wujud seperti yang didakwanya, syarikat rakaman juga wajar dipertikaikan. M. Nasir sebagai karyawan, mengapa tidak menegur syarikat rakaman," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Radio, Angkasapuri, kelmarin.

Penyiar ditubuhkan pada 1984 dan mempunyai lebih 1,000 anggota. Lebih 300 anggotanya ialah juruhebah daripada semua stesen radio di Malaysia.

Mengenai penyelesaian yang perlu dibuat untuk menjernihkan keadaan, Mazlan menjelaskan perkara itu bergantung pada pendirian M. Nasir.

"M. Nasir melalui Papita mungkin boleh mengadakan perbincangan dengan Penyiar, yang menjadi orang tengah antara beliau dengan juruhebah. Ini bergantung pada kehendak kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau juga menegaskan sehingga kini tiada juruhebah bertindak menggam lagu M. Nasir.

"Namun ibarat orang yang hatinya sudah terluka, sudah tentu sedikit sebanyak perkara itu mempengaruhi perasaan juruhebah. Tetapi setiap juruhebah sentiasa diawasi oleh ketua masing-masing supaya dapat menjalankan tugas mengikut arahan yang ditetapkan," kata Mazlan.

Tiada ulasan: