petikan Berita Harian Singapura 26 April 1997
SEMUA karya seni ciptaan M. Nasir tidak 'digam' atau menjadi mangsa diskriminasi pihak deejay atau penyiar-penyiar rancangan hiburan radio di Malaysia, ekoran kontroversi mengenai juruhebah radio rasuah yang dicetuskan oleh artis tersebut baru-baru ini.
Semua karya seni M. Nasir dibenarkan terus disiarkan di media elektronik, kata Timbalan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Suleiman Mohamed.
Katanya, ini adalah mengikut arahan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat, yang baru-baru ini meminta semua karya pencipta lagu itu dimainkan di radio dan televisyen tanpa sekatan.
Datuk Suleiman memberitahu Berita Harian Malaysia kelmarin, arahan Datuk Mohamed itu disampaikan sendiri oleh menteri itu kepadanya bagi menghentikan spekulasi bahawa karya-karya seni M. Nasir digam.
"Tidak timbul soal karya seni Nasir digam. Arahan Datuk Mohamed itu jelas meminta layanan terhadap Nasir diberi seperti biasa.
"Nasir tidak digam dan maklumat yang diperoleh menunjukkan tidak berlaku amalan 'menggam' karya seni Nasir seperti yang dihebohkan baru-baru ini," katanya.
Sebelum ini, pelbagai pihak terutama peminat dan dunia hiburan Malaysia mengesyaki karya-karya seni Nasir mula digam dari siaran radio dan televisyen tempatan sebagai langkah untuk mengajarnya ekoran isu 'beri makan' deejay yang didedahkan oleh artis itu.
Datuk Suleiman berkata, kementerian beliau juga menafikan ada kalangan juruhebah yang mengamalkan dasar diskriminasi terhadap karya Nasir dengan bertindak enggan menyiarkan karya-karyanya, terutama lagu, di corong radio.
"Tidak ada juruhebah yang bertindak demikian. Lagu Nasir atau karyanya yang dinyanyikan artis-artis lain dibenarkan terus disiarkan di radio tempatan seperti yang dilakukan sekarang," katanya.
Beliau menambah bahawa kementeriannya sama sekali tidak bercadang mengambil langkah 'menggam' karya Nasir, walaupun artis itu sehingga kini masih belum mengemukakan laporan bertulis lengkap mengenai isu 'beri makan' DJ.
"Kes itu tidak berlarutan sehingga kami menghentikan penyiaran karya Nasir.
Biarlah kes itu dikendalikan oleh pihak berkuasa seperti Badan Pencegah Rasuah yang sudah memulakan siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan