petikan Utusan Malaysia 3 Februari 2008
BELASUNGKAWA
SESETENGAH pihak menganggap lirik adalah kata-kata untuk dibebelkan oleh penyanyi mengikut melodi yang dihasilkan oleh pencipta lagu. Malah ada juga tanggapan bahawa keperluan lirik sekadar untuk memberi tempat kepada penyanyi mengalunkan suara. Maka bidang penulisan lirik pada tanggapan sesetengah pihak tidak begitu penting dalam penghasilan sesebuah karya lagu.
Kerana itu apabila lagu Andalusia menjadi juara pada Juara Lagu 1999, kemenangan ini memberikan anjakan yang besar tentang peri pentingnya lirik yang baik mendukung lagu yang hebat. Dalam suasana lagu tempatan yang didukung oleh lirik berbasa-basi, Andalusia kelihatan agak terasing.
Bagaimanapun apabila lagu ini kerap disiarkan di radio, kepayahan sesetengah pihak untuk menghayati lagu ini sudah tiada lagi. Lagu Andalusia sedikit sebanyak telah membetulkan tanggapan bahawa lirik hanya bebelan yang tidak punya makna yang lebih besar daripada itu.
Lagu Andalusia diciptakan oleh M. Nasir, liriknya oleh Loloq dan dinyanyikan oleh M. Nasir sendiri.
Andalusia membawa kita menjejaki mimpi-mimpi silam era kegemilangan kerajaan Islam di Andalusia (kini Sepanyol). Tetapi kini kegemilangan itu telah hilang dan Loloq menulis, “Biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar.”
Sehari selepas Juara Lagu 1999, saya menghubungi Loloq dan berkata, “Tahniah, lirik masterpiece kau berjaya.” Loloq membalas, “Kita jangan jadi Andalusia.”
Andalusia antara hampir 2,000 lirik lagu karya Loloq yang dihasilkan lebih dua dekad dalam industri muzik negara ini. Banyak lagi lirik yang meninggalkan kesan yang panjang kepada pendengar waima bagi lagu-lagu berentak rock dan kelakar termasuk Sup Selipar nyanyian Salih Yaakob.
Bagaimanapun pada rembang bergerimis Rabu lalu, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara selepas tiga hari tidak sedarkan diri. Allahyarham yang juga kerap menggunakan nama pena Nurbisa berusia 50 tahun dan meninggalkan isteri, Hariah Yaacob dan tiga cahaya mata, Krsty Nur, 10, Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5.
Allahyarham adalah penulis lirik yang paling banyak menulis untuk lagu-lagu ciptaan M. Nasir. Kalangan penggiat industri muzik melihat Allahyarham sebagai gandingan yang banyak membantu kehebatan M. Nasir. Suatu yang menarik tentang Allahyarham ialah pernah muncul sebagai penerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hakcipta Muzik (MACP) sebanyak lima kali. Rekod yang sama juga dipegang oleh M. Nasir dalam bidang ciptaan lagu.
Ini menunjukkan walaupun Allahyarham menyuntikkan pemikiran bernas dalam liriknya, karya itu tetap popular. Maka kalau ada yang menganggap lirik yang baik seharusnya dipinggirkan, itu adalah salah sama sekali. Malah pada awal tahun 90-an, lagu-lagu yang menggunakan liriknya menduduki lima tangga teratas semua carta di stesen radio tempatan.
Di sebalik imej “allien” bercermin mata bingkai tebal dan berambut kusut, Allahyarham sebenarnya seorang pemikir dan pentafsir kepada pergulatan sosial di sekeliling yang kemudiannya dituangkan ke dalam liriknya. Lihatlah lirik lagu Apokalip yang melihat kehidupan manusia secara perbandingan dengan roller coaster yang ada waktu di atas dan pada waktu lain berada di bawah.
Kemampuan Allahyarham ialah menulis lirik yang pelbagai tema dan bentuk. Lihatlah bagaimana lagu Ngam Ho, Kepala Sotong, Sup Selipar. Tetapi ada kalanya Allahyarham kelihatan romantis seperti lirik lagu Layar Impian nyanyian Ella atau Biru Mata Hitamku nyanyian Wings.
Lirik lagu Mentera Semerah Padi nyanyian M. Nasir mengingatkan saya kepada lagu Blowin’ In The Rain yang liriknya ditulis oleh Bob Dylan pada era rock tahun 60-an. Bob Dylan dianggap penyanyi dan penulis lirik lagu rakyat moden Amerika Syarikat yang berusaha menghasilkan karya yang bermutu.
Semasa hayatnya, Allahyarham selalu percaya bahawa lirik lagu tidak seharusnya menjadi kering dan beku, kemudian mengulangi frasa-frasa lama tanpa mencari yang baru. Kerana itu kalau dihayati lirik lagu Bonda nyanyian M. Nasir, dengan penuh kekerdilan, Allahyarham menghantarkan kekaguman seorang anak kepada ibunya. Di tangan Allahyarham, Bonda adalah untuk semua orang, tanpa mengira kaum, kepercayaan dan fahaman politiknya. Bonda menjadi begitu syahdu dan menginsafkan tentang pengorbanan seorang yang bergelar ibu.
Awal tahun lalu Allahyarham menunjukkan koleksi hampir 2,000 lirik lagu yang dihasilkannya. Cita-citanya untuk membukukan semua lirik itu sebagai satu sumbangan kecilnya kepada dunia kesusasteraan Melayu. Allahyarham menyebut koleksi itu akan dihantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan adakah lirik-lirik itu telah dihantar ke DBP?
Loloq telah pulang. Tetapi sebelum pulang Allahyarham telah membina satu terusan sebagai pilihan daripada yang telah sedia ada. Terusan ini tentunya tidak bermakna kalau kita tidak cuba mencari kelebihannya.
– KU SEMAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan