Rabu, Oktober 01, 2008

Doa Al-Jannah buat Loloq

petikan KOSMO 1 Oktober 2008
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


DI SINILAH bersemadinya seorang insan seni yang berkarya hanya untuk masyarakat, bukan mengejar kebendaan dan nama.

Syawal ini Syawal pertama insan kamil bernama Rosli Khamis atau Loloq sendirian di kamar pusaranya. Dia ibarat sang penyair yang meninggalkan khazanah puisi agung untuk santapan pencinta alunan kata.

Gema yang lahir dari hatinya bisa mencairkan hati sesiapa sahaja yang sedang rawan. Pemikiran-pemikirannya pula biarpun untuk mengisi santapan hiburan pencinta muzik, tapi di sebalik makna yang jarang diisi yang tersirat itu, sebenarnya ada makrifat yang besar.

Namun takdir dan rezeki tidak mengizinkan dia lanjut usia. Tanggal 30 Januari lalu, dia disemadikan di puncak katarsis, jauh dari gelora duniawi. Yang tinggal kini hanya penghakiman antara dirinya dengan Yang Maha Esa.

Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis telah genap sembilan bulan meninggalkan seluruh dunia muzik menjadi cintanya. Ketaksubannya terhadap seni muzik bukan serong sebaliknya penghayatan untuk mengunungkan karya yang tinggi nilai, rendah hipokrasi dan manis didengar.

Pemergiannya ditangisi peminat, rakan dan taulan, lebih syahdu lagi ada yang langsung tidak sempat bersua mata untuk bersapa kali terakhir. Sesudah nafas akhir dihembus, hanya sekujur jasadnya yang dapat disaksikan.

Masa sakit, perit dan dukanya tiada siapa yang tahu kecuali isteri, anak-anak dan beberapa rakan terdekatnya. Loloq meninggalkan semua yang dikenali dan mengenalinya. Yang tinggal sebagai bukti bahawa Loloq pernah bernafas adalah pusara persemadiannya di Bandar Baru Sungai Buluh, Selangor ini.

Syahdu dan pilu tiba-tiba berselubung di jiwa tatkala pusara lelaki yang asalnya bukan sesiapa ini kami disinggahi. Di nisannya terpahat lorekan : Rosli bin Khamis lahir 21.5.1958, meninggal dunia 30.1.2008 bersamaan 1429 masehi.

Pusaranya sederhana, bersih, di tengah-tengahnya ada pepohon kekwa yang sedang berbunga dan terik mentari yang membakar bukan halangan kami bertafakur sejenak.


MASIH ada yang sayang, teman- teman artis menganggap Loloq insan kamil yang penyayang.

Penyanyi Hattan, bekas gitaris kumpulan Saturnine, Nan, Tam dan Tony daripada kumpulan Spider ini tidak mampu berkata-kata. Hanya doa kudus dan Al-Fatihah bermain di bibir mereka sebelum seketika kemudian, persemadian teman seperjuangan mereka ini kembali sepi.

"Dah lama rupa arwah pergi, tapi aku rasa macam baru semalam sahaja, rasa macam baru lagi," hela Hattan sejurus tangannya mengoles-oles batu-batu kecil yang memenuhi permukaan pusara.

Bisik Hattan juga, pemergian Loloq hampir melumpuhkan semangatnya menyambung proses pembikinan albumnya yang tertangguh.

"Aku kenal arwah masa mula-mula dia datang ke Kuala Lumpur dari Singapura. Masa tu dia tinggal kat Sungai Besi, jalan kaki lagi tak ada keretapun sebab dia jenis hidup untuk berkarya. Aku rakamkan album pertama, Memburu Rindu, masa tu Loloq yang buat hampir semua lirik," ungkap Hattan kala diminta berbicara tentang memori silam.

Getus penyanyi ini juga, apa-apa perkataan yang disebutkan oleh Loloq boleh membawa impak.

"Dia main bagi je, tapi apa dia bagi tu boleh beri kekuatan, macam dia bagi tajuk album aku yang bertajuk Rock Malaya. Masa kami semua tengah bingung nak bagi tajuk apa, dia datang dan kata lagu-lagu dalam album tu lagu rock, jadi belasah je tajuk Rock Malaya, rock orang Malaysia. Tajuk tu melekat dan sampai impak kepada peminat," tambah bapa kepada Adam Aiman ini menelan sebak.

Terlalu banyak peristiwa dan catatan tentang Loloq masih nostalgik dan segar dalam ingatan semua, bukan hanya Hattan bahkan teman-teman lain.

Vokalis kumpulan Spider, Tam pula menyimpan rasa ralat terhadap pemergiaan orang seni yang dianggap mentor, kawan dan abang yang memberi banyak semangat kepada Spider untuk membina nama sehingga ke hari ini.

Spider boleh disebutkan sebagai generasi kedua yang meneruskan alunan berdasarkan susunan-susunan kata dari hati Loloq.

"Spider berkembang dan hidup atas hasil karya Loloq, lebih 90 peratus lagu-lagu kami adalah karya beliau. Sampai sekarang saya tak mampu nak pilih lagu mana satu yang terbaik ciptaan Loloq.Bagi saya semua lagu Loloq adalah masterpiece (hasil karya yang terbaik)," luah Tam tak terbendung rasa pilu.

Seingat Tam, ada satu perkara yang diutarakan Loloq yang masih melekat di jiwanya.

"Kata Loloq, Spider bawa muzik baru yang boleh membuatkan dia (Loloq) sendiri keluarkan satu ekspresi baru yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini."

Mereka pernah berkongsi inovasi dan seiring mengangkat ilusi yang ditemui bersama-sama. Walaupun sekadar sembang mengisi santai, ungkapan daripada insan seni yang dikagumi itu tidak akan dilupakan Tam sepanjang hayatnya.

Berkongsi cerita yang tidak pernah diluahkan kepada mana-mana 'orang luar' daripada kelompoknya, Tam seperti ada kekesalan di hati.

"Dua-tiga hari sebelum arwah dimasukkan ke hospital, saya ada menelefonnya. Niat saya memang hendak bertanya khabar. Saya dapat rasakan sesuatu tapi tak bertanya lebih-lebih sebab arwah tak nak bercerita tentang dirinya. Terus saya tukar topik tanya lirik baru.

"Tak lama lepas tu, dapat berita yang arwah dimasukkan ke hospital. Ramai yang tak dapat jumpa dengannya sehinggalah dia meninggal dunia. Kita tak boleh nak marahkan sesiapa, itu hak arwah dan keluarganya," jelas Tam.

Kalau hendak disusur-galur semua kisah tentang Loloq, terlalu banyak pujian dan sanjungan buatnya yang tidak terucap dengan kata-kata. Apa yang boleh diluahkan anak didik Loloq ini, dia bersyukur kerana pernah mengenali anak seni tiada gantinya ini.

"Dulu kalau tiba musim Syawal, kami selalu lepak bersama. Bila dia buat makan-makan kat rumah, kami akan datang. Dengan keluarga diapun kami kenal. Tapi bukan raya sahaja, boleh dikatakan setiap hari sebenarnya, momen kami bersama walaupun sekejap akan ada," beritahunya Tam menghabiskan bicaranya.

Mengenang Loloq sebagai insan budiman, Tony Iskandar yang bermain bass dalam kumpulan Spider ini pula menyifatkan Loloq sebagai abang yang menjaga dan mengambil berat makan minum semua orang termasuk dirinya.

"Masa saya kat Luncai Emas 12 tahun dahulu, dia yang jaga, kira macam abang. Masa itu keadaan agak sukar untuk kami hidup, jadi bila tak makan atau tak berduit, dialah akan bagi makan," cerita Tony.


BAHAGIALAH engkau aduhai teman yang pernah hadir membahagiakan hidup kami ketika kita di duniawi.

Mengenal dan belajar menulis lirik daripada air tangan Loloq, Tony juga tidak pernah terfikir untuk meniru cara penulisan Loloq ke dalam karyanya.

"Cap mohor itu hanya dipegang oleh Loloq. Memang saya juga boleh menulis, tapi Loloq ajar kami supaya jangan klise dan jangan menyalin hak orang dalam penulisan. Dan setiap kali menulis, ada sahaja idea baru yang akan digunakannya," kata Tony yang terharu ketika meninggalkan pusara Loloq.

"Kehilangan Loloq memang sangat dirasai, tambah-tambah menjelang Hari Raya begini sebab dia jenis yang ceria. Tapi ini kehendak takdir.

"Saya relakan pemergiannya kerana walaupun sudah tiada, setiap dia ada di sisi kami, dia telah meninggalkan kesan yang banyak dalam hidup kami dan seluruh industri," jelas Tony yang percaya pemergian Rosli Khamis ini ada hikmahnya.

Lembah ini juga mengingatkan semua betapa sementaranya hidup di dunia. Tiba masanya semua akan pergi buat selama-lamanya. Dataran yang sarat nostalgia ini kami tinggalkan bersama segugus keinsafan. Semoga Allahyarham Lolog bersemadi penuh rahmat. Al-Fatihah

Tiada ulasan: