Rabu, Januari 13, 2010

Fragmen: AJL24, Loloq dan lagu Pergi

petikan Berita Harian 13 Januari 2010
Oleh Zainuri Misfar

TAHNIAH kepada TV3 kerana Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) berjalan dengan lancar sekali. Bukan itu saja, ia dianjurkan dengan penuh meriah dan gemilang.

Boleh dikatakan tiada yang cacat. Kalau ada sekalipun, hanyalah kerana soal teknikal yang kadang-kadang tidak dapat dielakkan sama sekali.

Ia berbaloi dengan kos sebanyak RM2 juta yang dibelanjakan TV3. Dengan lagu yang baik, barisan penyanyi bertenaga, menyebabkan pakej keseluruhan persembahan AJL24 memang benar-benar mantap.

Kalau diterjemahkan dalam industri perfileman, kos RM2 juta boleh digunakan menerbitkan sebuah filem cereka. Sekiranya sebuah telefilem 90 minit berharga RM80,000, duit sebanyak RM2 juta boleh membeli 20 telefilem. Tidak apalah. Apa yang TV3 lakukan semua itu adalah penghargaan kepada kepada karyawan muzik tanah air.

Setahun sekali, sebuah stesen TV menganjurkan program yang cukup istimewa kepada penggiat muzik kita.

Cuma di sebalik kegemilangan itu, tidak pula terselit segmen untuk memperkenalkan barisan komposer atau penulis lirik yang terbabit pada malam kemuncak AJL24. Ia mungkin terlepas pandang yang kita anggap tidak disengajakan oleh TV3.

Memanglah kita pun terlintas juga, sepanjang AJL24 itu berlangsung, yang menonjol hanyalah penyanyinya. Merekalah yang beraksi di pentas dan paling menonjol sekali dan seterusnya menjadi sebutan peminat. Beruntung sekali Yuna, Aizat, Bunkface dan Hujan serta Estranged kerana mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi juga pencipta lagu dan penulis seni kata sendiri.

Cuma, bagaimana pula dengan komposer atau karyawan muzik di belakang tabir? Mereka terus tenggelam dengan populariti penyanyi yang membawa lagu ciptaan mereka. Inilah hakikatnya. Ia bukan cerita baru lagi.

Kemenangan lagu Pergi ciptaan Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar dengan Aizat sebagai penyanyinya masih menjadi bualan ramai.

Pembabitan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TV Rangkaian Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan sebagai juri dalam AJL24 sudah menimbulkan ‘sosek-sosek’ tidak menyenangkan, terutama di kalangan blogger hiburan.

Ditambah dengan kehadiran Fatimah Abu Bakar sebagai juri, individu yang kita ketahui mempunyai hubungan rapat dengan Yasmin Ahmad.

Sungguhpun ketika Aizat menyanyi Pergi dilatari dengan wajah tokoh-tokoh yang sudah pergi seperti Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, penghibur nombor satu Malaysia dan Asia, Datuk Sudirman Arshad, tetapi dengan kemunculan Yasmin, penonton di rumah atau dalam stadium seolah-olah diberi pembayang lagu mana yang menjuarai AJL24.

Sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata sinis dengan mendakwa sudahlah Anugerah Skrin baru-baru ini ada acara khas untuk Yasmin, dalam AJL24 pun TV3 masih hendak selitkan penampilan pengarah filem yang disegani itu.

Kita tidak mempersoalkan kemenangan Pergi. Tidak juga mempertikaikan kewajaran TV3 membawa secara langsung atau tidak langsung keunggulan Yasmin dalam mana-mana acara anjurannya.

Namun, kita juga tidak boleh mengetepikan begitu saja kritikan, persepsi atau pandangan orang ramai yang sebahagian besarnya juga adalah penonton setia TV3. AJL adalah anugerah untuk komposer dan karyawan muzik. Justeru, tatkala Aizat menyanyikan lagu Pergi, lebih elok kalau lagu itu ditujukan khas kepada pengkarya atau tokoh muzik yang berjasa besar kepada negara. Selain P Ramlee dan Sudirman, kita juga mempunyai ramai tokoh muzik, baik penyanyi, pemuzik atau penulis lirik seperti Hamzah Dolmat, Kamariah Nor, S Jibeng, Fazidah Joned dan paling baru ialah Loloq. Ramai juga tertanya-tanya kenapa Loloq dilupakan?

Dua tahun lalu, kita masih ingat betapa Loloq mengomel panjang hampir sejam meluahkan rasa tidak puas hati dengan kemenangan lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor dalam AJL22. Kita bertemu dengan Loloq di pejabat Luncai Emas di Sungai Buloh, yang pada mulanya hendak menemu bual M Nasir. Apabila terserempak dengan Loloq yang datang bersama Zul Mahat, menyebabkan kita terpaksa lepak lebih lama di Luncai Emas untuk melayan dan mendengar luahan Loloq.

Loloq sangat emosional pada waktu itu sampai kemerah-merahan mukanya, mempersoalkan apa istimewa sangat dengan lirik lagu Gemilang kerana ia tidak membawa apa-apa makna, susunan bahasanya tunggang langgang dan banyak lagi.

Allahyarham membandingkan dengan lirik tulisannya iaitu Awan Yang Terpilu yang bukan saja puitis, tetapi membawa cerita dan makna yang jelas, selain susunan bahasanya yang teratur dengan nahunya yang betul dan tepat. Begitulah telitinya Loloq dalam penulisan lirik. Berulang kali Loloq meminta kita ‘melanyak’ juri AJL22 tetapi sehingga dia meninggal dunia, permintaannya tidak dapat ditunaikan.

Peristiwa kemarahan Loloq di Sungai Buloh itu boleh mengaitkan dengan keadaan sekarang kerana kebetulan masih ada lagu ‘terakhir’ daripada Allahyarham bertanding di AJL24 iaitu lagu Cinta Adam & Hawa ciptaan Azmeer dan dinyanyikan oleh Misha Omar.

Kalaulah Loloq masih hidup, mungkinkah dia mempersoalkan kemenangan lagu Pergi kerana baginya pengertian lagu Cinta Adam & Hawa cukup besar. Ia bukan kisah cinta pasangan kekasih saja. Adam dan Hawa adalah metafora cinta dan kasih sayang antara lelaki dengan perempuan, antara kakak dan abang atau adik, suami dan isteri, bapa dan emak, sahabat lelaki dan perempuan....

Apa pun, kita percaya dengan kenyataan Farid bahawa tiada sebarang konspirasi walaupun dirinya menjadi juri kerana yang menentukan lagu Pergi jadi juara dibuat oleh Ketua Juri untuk lagu iaitu Fauzi Marzuki.

4 ulasan:

Portdy berkata...

Loloq


terasa rindu akan kehadiran beliau.

deaf-angel berkata...

loloq ni, smoga dia selamat dan aman kat alam sana. Amin.

Saudagar Mimpi berkata...

Portdy & deaf : 30 Januari ini, genap dua tahun arwah meninggalkan kita semua. Moga rohnya dicucuri rahmat.
Al-fatihah.

Tanpa Nama berkata...

..atau Loloq mgkin diam saja..namun nampak hampa dgn keterbiasaan dlm industri..ibarat tiada penting lagi peranan penulis lirik & komposer..