Jumaat, Januari 01, 2010

Sakti sulung Siti dan M. Nasir

petikan Kosmo! 1 Januari 2010
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

M. NASIR dan Siti bersungguh-sungguh berlatih untuk konsert Bagaikan Sakti yang berlangsung di Singapura malam ini.

BELUM pun sempat promosi diadakan dua minggu sebelum konsert berlangsung, tiket telah habis dijual. Itulah penangan yang diberikan oleh dua penyanyi hebat, Datuk Siti Nurhaliza dan Sifu M. Nasir apabila mereka bergabung dalam konsert yang diberi nama Bagaikan Sakti.

Konsert yang akan berlangsung di Esplanade, Singapura pada 1 Januari sempena membuka tirai tahun 2010 itu buat pertama kalinya menggabungkan mereka berdua dalam sebuah konsert besar.

Siti yang ditemui semasa sesi latihan di Petaling Jaya baru-baru ini memberitahu, M. Nasir merupakan penyanyi lelaki yang dihormati dan dikaguminya.

Justeru, undangan yang dilayangkan daripada Beyond Events Sdn. Bhd. diterima dengan hati yang terbuka.

"Ini pertama kali saya berkongsi pentas dalam sebuah konsert dengan penyanyi lelaki. Perasaan saya pastinya gembira dan seronok sebab kami pernah beberapa kali buat persembahan pentas bersama dan menyanyikan lagu duet Bagaikan Sakti," ujarnya.

Namun, selepas mengadakan beberapa konsert solo sudah pasti peminat mengharapkan sesuatu yang berlainan dan lebih hebat berbanding konsertnya sebelum ini.

"Memang konsert ini berbeza sebab ia bukan konsert solo sebaliknya duet bersama M. Nasir. Selain masing-masing menyanyikan secara solo lagu sendiri, kami juga akan menyanyi berduet dalam enam buah lagu termasuk sebuah lagu baru yang belum diberi judul.

"Lagu baru itu dicipta khas oleh M. Nasir untuk peminat yang menonton konsert Bagaikan Sakti. Liriknya pula ditulis oleh saya sendiri. Kalau nak dengar macam mana kena tunggulah tetapi apa yang boleh saya cakap lagu itu memang sedap," katanya dalam tawa.

Jelas Siti yang akan membuat persembahan solo selama 45 minit dengan menyanyikan lebih kurang 14 buah lagu popularnya, konsert Bagaikan Sakti merupakan pembuka tirai untuk kerjayanya pada tahun 2010.

"Saya bersyukur saya mulakan langkah tahun 2010 dengan sebuah konsert, harap pada masa akan datang saya boleh buat lebih banyak konsert bukan sahaja di Singapura dan Malaysia sebaliknya di negara-negara lain," katanya yang baru muncul dengan sebuah album duet bersama Krisdayanti yang telah berada di pasaran pada 28 Disember lalu.

Siti yang akan berduet lagu Suatu Masa, Gembira, Ghazal Untuk Rabiah dan Bagaikan Sakti bersama M. Nasir memberitahu, sesi latihan konsert itu berjalan lancar meskipun dia baru sahaja pulang daripada bercuti di Sepanyol dan London.

Sudah rezeki M. Nasir

Cerita M. Nasir pula dia sebenarnya terlebih dahulu mendapat tawaran konsert solo di Singapura tetapi dia memilih untuk mengadakan konsert bersama Siti.

SITI menulis lirik untuk sebuah lagu yang dicipta khas oleh M. Nasir.

Bukan kerana kecewa dek Konsert 1Wajah yang masih belum tiada khabar berita, sebaliknya konsert duet bersama Siti sesuatu yang belum pernah dicubanya.

"Orang panggil kerja, saya pergi. Buat apa nak menolak rezeki. Saya pernah kerja dengan Siti sebelum ini dan saya tahu cara kerjanya bagaimana.

"Kalau suara penyanyi itu sedap tetapi tiada keserasian apabila berduet, saya pun tidak berani nak terima tawaran ini. Bagi saya kami mempunyai keserasian suara, itu yang penting," katanya mengenai konsert di bawah pimpinan Aznan Alias dan Aubrey Suwito itu.

Penyanyi berusia 52 tahun itu tenang menjawab apabila disoal tentang penjualan tiket yang mungkin laris disebabkan nama Siti bukannya M. Nasir, malah dia tidak kisah dengan persepsi orang di luar sana.

"Ada orang datang dan tiket habis dijual dalam masa yang singkat, baguslah. Kalau orang datang nak tengok Siti, mereka pun kena tengok saya juga.

"Saya tidak kisah apa orang nak cakap, paling penting malam konsert itu semua yang hadir terhibur kerana mereka datang bukan secara percuma," tuturnya yang akan muncul dengan album baru sekitar bulan Februari depan.

Tonton konsert di rumah

Ada berita gembira buat peminat Siti dan M. Nasir yang tidak berkesempatan ke Singapura kerana mereka boleh menontonnya secara langsung dari rumah mereka sendiri.

Ini kerana pihak Astro akan membawakan siaran langsung konsert Bagaikan Sakti secara eksklusif menerusi Astro Box Office Events (saluran 955) pada 1 Januari pukul 8 malam hanya dengan bayaran sebanyak RM10.

"Tempat di Esplanade terhad iaitu sebanyak 1,900 kerusi sahaja manakala tiketnya antara RM146 sehingga RM439. Pelanggan Astro dapat menyaksikan konsert itu secara langsung di rumah dengan bayaran yang cukup murah iaitu RM10.

"Bagi mereka yang sibuk dan tidak sempat untuk menonton konsert pada 1 Januari, siaran ulangan konsert berkenaan akan dimulakan pada 2 Januari sehingga 10 Januari di saluran yang sama," kata Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Tiada ulasan: