Khamis, Januari 07, 2010

Bukan mudah yakinkan penaja

petikan Berita Harian 7 Januari 2010
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


M Nasir dalam laporan media baru-baru ini mendakwa tidak tahu mengenai 
perkembangan Konsert Satu Wajah.

Maya Axis Creative Sdn Bhd perjelas isu penangguhan konsert Satu Wajah M Nasir

APABILA M Nasir sendiri mempersoalkan konsert Satu Wajah yang sehingga kini tidak diketahui statusnya seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, pastinya perkara itu merisaukan banyak pihak. Peminat penyanyi ini misalnya, tentu tertunggu-tunggu bilakah konsert yang dijanjikan penganjurnya, Maya Axis Creative Sdn Bhd itu dapat dilaksanakan.

Maklum sajalah, sewaktu diumumkan mula-mula dulu, konsert itu sepatutnya dilangsungkan pada 25 Julai tahun lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Malangnya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, tarikh baru konsert itu akan diumumkan selepas sambutan Aidilfitri yang lalu. Namun sehingga kini masih belum nampak tanda-tanda konsert itu akan diteruskan.

Justeru, tidak mahu peminat terus ternanti-nanti, akhirnya penganjur konsert terbabit bersuara menyatakan alasan sebenar mengapa sehingga kini konsert itu masih belum dapat diadakan. Pengarah Urusan Maya Axis Creative Sdn Bhd, Samirah Hambali berkata bukan niat mereka untuk melengah-lengahkan penganjuran konsert itu tetapi apa yang berlaku adalah kerana mereka masih lagi berbincang dengan penaja.

“Kami faham, ramai peminat M Nasir ternanti-nanti bilakah akan berlangsungnya konsert ini. Sebenarnya bukan kami sengaja melengah-lengahkan tetapi perkara ini ada kaitan dengan penaja. Buat masa ini kami masih lagi dalam perbincangan dengan penaja kerana ada banyak perkara yang perlu di kemas kini. Harap peminat semua dapat menunggu dengan penuh sabar,” terang Samirah kepada Hip.

Katanya, alasan itu bukanlah satu rekaan sekadar untuk menyedapkan hati peminat tetapi ia adalah kebenaran memandangkan bukan mudah untuk penaja mengeluarkan duit mereka menganjurkan konsert itu.

“Apa yang boleh saya katakan, penaja mengatakan konsert itu bakal diadakan tahun depan, maknanya tahun ini. Ada banyak perkara yang mereka terpaksa kaji sebelum bersetuju untuk meneruskan konsert ini. Kami juga kena yakinkan mereka bahawa konsert ini mampu memberi pulangan walaupun mereka pada mulanya begitu skeptikal dengan M Nasir kerana kebanyakan peminat penyanyi ini agak berbeza dengan kumpulan sasaran mereka.

“Jadi, kami kena berusaha untuk meyakinkan mereka bahawa konsert ini berbaloi untuk mereka. Memandangkan mereka yang akan mengeluarkan belanja untuk konsert ini, jadi kita kena bersabar sehinggalah mereka sendiri menetapkan tarikh konsert berkenaan. Saya harap, peminat M Nasir akan terus menyokong konsert ini.

“Insya-Allah, selepas kami mendapat tarikh yang sesuai, kami akan umumkan pada anda semua,” ujar Samirah sambil memberitahu kos keseluruhan konsert itu bernilai setengah juta ringgit.

Pun begitu, kata Samirah mereka juga sudah memulangkan kembali wang kepada peminat yang membeli tiket konsert itu lebih awal.

“Tujuan kami berbuat demikian kerana tidak mahu ada pihak yang mendakwa kami cuba menipu mereka. Kami sudah membayar sebanyak 80 peratus kepada pembeli tiket secara berperingkat-peringkat. Manakala selebihnya masih menanti keputusan apakah konsert ini akan diteruskan atau sebaliknya,” katanya .

Ditanya apakah M Nasir sendiri sudah dimaklumkan mengenai hal itu, Samirah berkata mereka sudah memberitahu hal itu kepada pihak pengurusan M Nasir iaitu Beyond DDB.

“Kami sudah pun memaklumkan pada pengurusan Nasir sendiri dan terpulanglah kepada mereka untuk memberitahunya,” katanya.

Tiada ulasan: