Rabu, Mei 17, 2006

Bonda keramatnya sebuah lagu

petikan Utusan Malaysia 17 Mei 2006
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

KELMARIN kita menyambut Hari Ibu. Sana sini orang bercakap fasal Hari Ibu. Kompleks membeli–belah dan restoran lima bintang pun turut sambut Hari Ibu.

Mereka mungkin tersenyum mengira untung pada Hari Ibu. Semua ini sangat materialistik dan begitulah apabila Hari Ibu dikomersialkan sedemikian rupa. Biarlah.

Saya ingin menarik perhatian pada sebuah lagu ciptaan M. Nasir, Bonda. Ini lagu lama, kalau tidak silap sudah berusia 15 tahun. Tetapi apabila lagu ini bercakap tentang suara hati seorang anak terhadap ibunya, Bonda tidak ada batas usia.

Kesan kepada kita jauh lebih mendalam daripada merayakan ibu dengan menjamu selera atau hadiah yang mahal. Lagu ini sememangnya rapat dan sebati dengan jiwa semua orang tanpa mengira siapa dan apa darjat mereka.

Semalam hampir semua stesen radio dan televisyen pula menyiarkan lagu-lagu yang bertemakan kasih ibu. Kita mempunyai banyak lagu yang bertemakan kasih sayang ibu, ada yang didaktik, kontang dan tidak kurang mirip syarahan. Tidak kisahlah kalau ia boleh memberikan sesuatu kepada yang mendengarnya.

Tetapi antara lagu-lagu itu, Bonda terasa sangat mengganggu kita. Kepada siapa yang menghayati lirik lagu ini pasti akan terasa basahnya kucupan ibu sewaktu kecil dulu. Itulah rahsia keramat dalam Bonda yang membawa kita menyelusuri relung hidup masa lalu.

Tanpa dipaksa-paksa, suara M. Nasir dan lirik Loloq melontarkan semacam pengalaman peribadi yang dilalui oleh semua orang.

Semalam Bonda memberikan satu perasaan yang sangat hiba. Dalam keriuhan orang menyambut Hari Ibu dengan cara yang menjurus berpesta-pestaan, Bonda mengutuskan suatu menginsafkan kepada kita semua.

Banyak lagu lain sekadar menyapu lapisan luar dengan bahasa yang miskin keindahannya. Mungkin faktor inilah yang meminggirkan lagu-lagu stereotaip daripada jiwa dan penghayatan kita.

Bonda membuatkan kita mahu segera terbang pulang ke pangkuan ibu yang jauh di mata. Ini kerana lagu ini mengingatkan satu fragmen kasih ibu yang tidak terukur nilainya. Kadang-kala apabila ibu jauh di mata, si anak terlupa seketika dan Bonda mengingatkan kembali hakikat ini.

Apabila lagu Bonda memberikan semacam satu yang menginsafkan, demikianlah kuasa sebuah karya yang baik kepada khalayaknya. Apa lagi yang diperlukan oleh sebuah karya seni kalau bukan memberikan satu peringatan ke arah kebaikan kepada khalayak?

Ketika ditanya mengenai Bonda, Loloq cuma berkata, apabila jauh merantau, kita pasti akan terkenang kepada tangis dan gurindam keramat seorang ibu.

Tiada ulasan: