petikan Berita Harian 3 Mei 2006
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
APABILA sesebuah lagu mendapat tempat di hati pendengar orang akan bertanya siapa penyanyinya? Tetapi jarang bertanya siapa komposer atau penulis liriknya? Fenomena ini barangkali sudah terlalu biasa, namun bukankah ia tidak adil bagi komposer itu?
Sentuhan keramat komposer bisa membuatkan penyanyi ‘meletup’ dalam sekelip mata tapi yang melonjak nama selalunya adalah penyanyi, bukannya komposer. Mungkin agak tidak adil bagi komposer kerana mereka terus menerus berada di belakang tabir. Menyedari perlunya komposer diperkenalkan kepada masyarakat, Artistik Preview Sdn Bhd milik Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy menerbitkan program Ilham Komposer.
Ilham Komposer adalah program mendedahkan komposer tempatan yang selama ini berfungsi besar menghasilkan lagu untuk artis tempatan. Program 13 episod dan durasi sejam itu dijangka menemui penonton bermula 2 Jun ini, menerusi saluran RTM dan akan dihoskan penyanyi terkenal dengan lagu Gadis Melayu satu ketika dulu, Othman Hamzah.
Pengarah rancangan itu, Nizam Hamid berkata, masyarakat kini lebih mengangkat penyanyi, jadi sudah tiba masanya masyarakat juga mengangkat komposer.
“Kami menggabungkan komposer era 1960-an hingga kini. Hampir dua bulan kami menjalankan kajian bagi merealisasikan usaha ini. Kami lihat tidak ada program memberi pendedahan kepada komposer dan berasa bertanggungjawab supaya mereka ini didedahkan kepada masyarakat supaya mereka kenal insan yang banyak menjadikan penyanyi popular.
“Pemilihan komposer berdasarkan pencapaian dan lagu ciptaan mereka yang popular satu ketika dulu. Kami memilih komposer daripada semua genre muzik supaya tidak berat sebelah. Setiap episod akan berlangsung selama satu jam dan dipecahkan kepada beberapa segmen.
“Selain menemubual komposer, kami juga memaparkan orang di belakang tabir seperti jurutera bunyi, malah turut menemubual keluarga, penyanyi dan syarikat rakaman. Setiap episod hanya memaparkan seorang komposer, komposer ini akan memilih enam lagu terbaik ciptaan mereka yang akan didendangkan penyanyi asal,” kata Nizam yang ditemui ketika rakaman Ilham Komposer di Studio Green Cow, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Rakaman program itu dijalankan sejak 15 hingga 20 April lalu. Antara komposer yang akan dipaparkan ialah Kassim Masdor yang terkenal dengan lagu Si Manis 17, A Ali, S Atan, M Nasir, Shaari Amri, Eddie Hamid, Azmeer, Ajai, Ramli Sarip, Pak Ngah, Datuk Johari Salleh dan Fauzi Marzuki.
Kata Nizam, tidak dinafikan ada antara penyanyi yang sudah meninggal dunia terutama penyanyi era 60-an, namun ia tidak mendatangkan masalah kerana tempat penyanyi itu digantikan penyanyi bersesuaian seperti Ahmad Fauzee.
“Kami mahu mengangkat komposer ini supaya masyarakat tahu komposer juga adalah golongan yang wajar diberi perhatian. Peranan mereka terlalu besar kerana kejayaan penyanyi itu sebenarnya turut bergantung kepada komposer.
“Kami bukan meletakkan artis sebagai satu tarikan tetapi isi kandungan program ini menjadi keutamaan kami. Kami juga mahu komposer ini dapat melangkah lebih jauh dengan meluaskan lagi karya mereka hingga ke luar negara,” katanya.
Menyentuh pemilihan Othman Hamzah sebagai hos program itu, Nizam menjelaskan, pemilihan itu dibuat Ogy yang melihat penyanyi itu mempunyai pengalaman luas dan juga orang lama dalam industri ini.
“Ogy juga memilih Othman kerana tertarik dengan personaliti penyanyi itu melalui program Ogy & Salih, iaitu ketika dia diundang dalam program berkenaan. Dari situ, Ogy berasakan Othman adalah calon paling layak dan tepat,” katanya.
3 ulasan:
kak ogy tak tahu yg penyanyi othman hamzah pernah di penjara di singapura.
kes penipuan wang. keluar penjara othman bawa keluarga lari ke selangor. wang penipuan. dia tak kembalikan.
wang itu dia tubuhkan syarikat dia sekarang.
semoga orang2 msia tak di tipu othman hamzah.
tk ada ker mcm kelas utk blajar menjdi komposer dn kenpa ramai komposer tanah air berdian tk ajarkn ilmu mereka kpd jenerasi baru
tk ada ker mcm kelas utk blajar menjdi komposer dn kenpa ramai komposer tanah air berdian tk ajarkn ilmu mereka kpd jenerasi baru
Catat Ulasan