Isnin, Mei 22, 2006

Spider, Luncai Emas tidak pernah berpisah

petikan Berita Harian 22 Mei 2006
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

SEGALA teka-teki mengenai kedudukan kumpulan muzik popular, Spider, bersama syarikat rakaman mereka, Luncai Emas Sdn Bhd, akhirnya terjawab apabila kumpulan berkenaan sendiri membuat pengakuan mereka masih bernaung di bawah syarikat milik sifu M Nasir itu, baru-baru ini.

Pada majlis pelancaran album kompilasi mereka, Sarang Hits, anggota kumpulan yang cukup popular dengan lagu Aladin dan Relaku Pujuk itu mengumumkan, Spider masih lagi menjadi artis Luncai Emas dan kontrak mereka bersama syarikat terbabit masih berbaki tiga album lagi.

Bahkan, mereka sendiri masih belum mampu untuk membuat keputusan mengenai sama ada kekal bersama syarikat berkenaan atau sebaliknya, sebaik saja tiga album terbabit sudah dilunaskan. Kata mereka, jangka waktunya masih panjang untuk mereka memberikan hitam putih mengenai status kumpulan itu selepas kontrak bersama Luncai Emas tamat.

Sebelum ini, khabar bertiup kencang mengatakan Spider akan meninggalkan Luncai Emas berikutan beberapa masalah yang timbul antara mereka bersama syarikat berkenaan. Khabar angin juga mengatakan sudah ada syarikat gergasi antarabangsa yang membuat persiapan akhir untuk menyambar kumpulan tiga anggota ini menyertai jenama mereka.

Bagaimanapun, pada sidang media pada petang 18 Mei lalu, Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Luncai Emas, M Nasir mengumumkan kepada wakil media, kumpulan itu masih bersama syarikatnya.

“Hubungan Luncai Emas bersama Spider boleh diibarat sebagai sebuah perkahwinan. Pada awalnya dulu, kami berkenalan dalam suasana cukup rendah diri. Mereka datang dari Johor sebagai sebuah kumpulan yang tidak mengetahui apakah nasib mereka pada masa depan. Namun, sudah jodoh mereka dengan kami, lalu sebuah perkahwinan terjadi.

“Namun, dalam mana-mana perkahwinan, pasti ada pergolakan. Begitu juga dengan Spider dan Luncai Emas. Lebih setahun yang lalu, berlaku pergolakan dalam perkahwinan ini. Alhamdulillah, pergolakan itu kini sudah pun diselesaikan dan masing-masing menyedari, rupanya kami berdua masih saling menyintai. Kerana itu kami masih bersatu.

“Kami berdua tidak pernah berpisah, cuma berlaku pergolakan saja. Spider masih lagi bersama Luncai Emas, bahkan hubungan kami berada pada satu tahap yang baru. Kita sudah memperbaharui hubungan ini dengan semangat dan cita-cita baru untuk kemajuan bersama,” cerita M Nasir tanpa menerangkan bentuk pergolakan yang pernah wujud antara mereka.

Pada majlis berkenaan, turut dilangsungkan ialah perjanjian pengedaran album Spider antara Universal Music Sdn Bhd dan Luncai Emas, serta penyampaian Anugerah Emas untuk dua album kumpulan berkenaan, Sarang Hits dan Live at Planet.

Menurut M Nasir, pihaknya memilih Universal untuk mengedarkan album Spider melihat kepada perancangan syarikat berkenaan yang dikatakan ingin membawa kumpulan muzik itu melangkah lebih jauh dalam industri hiburan.

Pengarah Urusan Universal Music, Sandy Monteiro, pula berkata, Spider bukan sebarangan kumpulan. Bahkan, dia sudah dapat mengesan kelainan kumpulan ini sejak nama mereka belum dikenali lagi. Kerana itu, mereka menganggap hak pengedaran yang diperoleh itu memang tepat dan mereka sendiri mempunyai rancangan untuk kumpulan berkenaan.

“Kami ingin menjadikan Spider sebagai sebuah kumpulan superstar. Antara lain, muzik kumpulan ini nanti bukan hanya dapat didengar menerusi kaset dan CD, malah melalui Internet dan telefon bimbit juga. Nama mereka akan berada di mana-mana saja dan mereka bakal muncul kumpulan pertama yang akan menunjukkan jalan kepada artis serta pemuzik lain bagi meneroka alam lebih luas dalam industri ini,” katanya.

Jelas Sandy lagi, pihaknya juga ingin membawa Spider ke Indonesia, sebagai sebuah kumpulan muzik terkenal, bukannya nama kecil yang baru hendak bertapak.

“Saya sendiri sudah bosan dengan situasi di mana kumpulan muzik Indonesia saja yang memasuki negara ini. Apa kata kali ini kita bawakan pula muzik kumpulan ini ke sana? Biar mereka tunjukkan kepada khalayak di sana bahawa kita juga memiliki bakat yang baik untuk menentang penjajahan mereka di sini. Perbincangan dengan pihak Indonesia akan diadakan dalam masa dua minggu lagi,” ujar Sandy yang percaya pakej dimiliki Spider mampu menarik perhatian pendengar muzik di negara berkenaan.

Sementara itu, Spider kini hanya tinggal bertiga apabila Azhari Nasir (Ayie) meninggalkan kumpulan itu secara rasmi sejak kira-kira sebulan lalu, setelah empat tahun bersama. Kata anggota lain [Rustam Mustafah (Tam), Tony Iskandar Alberto (Tony) dan Hanafi Hamdan (Nafi)], Ayie meninggalkan kumpulan itu secara baik.

Buat waktu ini, Spider belum memutuskan untuk mencari pemain dram baru bagi menggantikan Ayie. Justeru, apabila mereka terbabit dalam mana-mana persembahan, khidmat pemuzik undangan akan digunakan bagi mengisi kerusi kosong berkenaan.

Album berkenaan diedarkan dalam bentuk kaset, CD dan VCD Karaoke, bermula 25 April lalu.

FAKTA

Lagu Dalam Sarang Hits Spider

Aladin

Relaku Pujuk

Ngam Ho

Mungkin Terjadi

Kasih Latifah

Laukku Cukup Masin

Cinta Dewa Dewi

Nazraku

Tak Esok Lusa

Kekal

Mentera Semerah Padi (duet M Nasir)

Dunia Batinku (duet Ella)

Sesat Dalam Gelita (lagu tema filem Castello, nyanyian solo Tam)



lagi petikan Utusan Malaysia 23 Mei 2006

Spider, Luncai Emas umpama sebuah perkahwinan

Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Sandy Monteiro (kiri), M. Nasir (kanan) dan anggota kumpulan Spider pada sidang akhbar di Hotel Westin Kuala Lumpur baru-baru ini.Desas-desus mengatakan kumpulan Spider akan keluar daripada Luncai Emas ternyata tidak benar. Tohmahan beberapa pihak mengatakan kumpulan itu besar kepala, lupa daratan dan seperti kacang lupakan kulit ternyata tidak berasas sama sekali.

Spider masih sedar diri dan masih bernaung di bawah Luncai Emas Sdn. Bhd.. Ini terbukti dengan kehadiran sebuah album kompilasi baru berjudul Sarang Hits Spider terbitan Luncai Emas yang diedarkan Universal Music.

Ketika ditemui pada sidang akhbar menandatangani perjanjian pengedaran album Spider antara Universal Music dan Luncai Emas di Hotel Westin, Kuala Lumpur baru-baru ini, M. Nasir mengakui pergolakan yang berlaku antara mereka telah selesai.

“Hubungan Luncai Emas dan Spider umpama satu perkahwinan. Kami bertemu dalam keadaan yang rendah diri dan tidak disangka, bukan dalam keadaan yang glamor. Ketika itu Spider merupakan sebuah band yang sederhana dari Johor.

“Masa demi masa membibitkan percintaan dan terjadi perkahwinan. Kemudian lahirlah album demi album. Pergolakan yang berlaku sedikit masa dahulu telah pun diselesaikan.

“Rupa-rupanya kami masih cinta menyintai. Cinta itu membuatkan kami masih bersatu,” kata M. Nasir selaku Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Luncai Emas.

Menurut M. Nasir, Spider dan Luncai Emas tidak pernah terpisah dan kini diperbaharui dengan semangat, cita-cita dan harapan yang baru.

Sementara itu, Tony mewakili rakan-rakannya dalam Spider berkata, “Apa yang berlaku dulu sekadar gempak sahaja. Kami tidak keluar daripada Luncai Emas. Kami masih mempunyai kontrak sebanyak tiga album lagi. Kami akan lama lagi bersama Luncai Emas.”

Pengarah Urusan Universal Music, Sandy Monteiro pula pada majlis yang sama menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Spider telah lama wujud.

“Spider ialah sebuah band yang unik. Mereka berbakat, mempunyai kredibiliti dan mencipta muzik moden yang berbeza. Mereka tidak meniru sesiapa,” kata Sandy.

Tambah Sandy, dua perancangan telah diatur untuk membawa Spider ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pertamanya, peminat akan dapat muat turun semua lagu Spider ke telefon bimbit, skrin komputer dan banyak lagi. Ini kerana kami mahu mengangkat Spider sebagai sebuah band Malaysia yang terulung.

“Keduanya, kami mahu membawa mereka menembusi pasaran seberang (Indonesia). Kita mahu menunjukkan kepada orang di sana bakat yang ada di Malaysia,” ujarnya.

Untuk itu, kata Sandy, dia akan ke Indonesia dalam dua minggu lagi untuk membincangkan tentang kunjungan Spider ke Jakarta.

Pada sidang akhbar di Hotel Westin, Spider turut menerima anugerah platinum emas daripada Universal Music atas kejayaan album Live At Planet yang terjual sebanyak 15,000 ribu unit.

Album kompilasi Sarang Hits telah pun berada di pasaran pada 25 April lalu. Ia mengandungi 17 buah lagu termasuk sebuah lagu tema filem Castello iaitu Sesat Dalam Gelita.

Tiada ulasan: