Oleh Saudagar Mimpi .. yang melaporkan dari Axiata Arena Bukit Jalil.
KONSERT CIPTA M N45IR
Sabtu : 10 Ogos 2024
Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur.
Bagaimana kan ku mula?
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan?
Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku?
- Suatu Masa (1981)
Ilham itu seperti getaran yang mencetuskan pelbagai ciptaan. Ciptaan muzik, lirik, filem, lukisan dan sebagainya dipadukan dalam apresiasi seni.
Berbicara tentang seni lukis, beberapa bulan sebelum konsert, sebuah pameran lukisan "Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M. Nasir" telah berlangsung di Galeri Puteh dari 8 hingga 30 Jun 2024. Rakan blog aku mengesa aku pergi ke pameran lukisan yang berinspirasikan lagu-lagu M Nasir. Karya seni tampak yang itu “surreal” lain macam katanya. Sudah tentu lukisan-lukisan hasil tangan M Nasir itu sendiri mencuri tumpuan aku semasa lawatan ke galeri itu.
10 Ogos 2024, seawal 4 petang sudah boleh dilihat pendekar lengkap berbusana Melayu siap bertengkolok manakala yang perempuan pula anggun berbaju melayu mengikut tema yang ditetapkan oleh penganjur Icon Entertainment. Ada saja yang ber”fusion” bagai Laksamana Hang Tuah tapi berkemeja T ala Jebat dalam Kembara Seniman Jalanan. Dikhabarkan 8000 peminat membanjiri Axiata Arena dari petang ke kemuncak acara malam itu. Petang itu pintu masuk ke Axiata Arena yang dibuka jam 5 itu umpama pesta mini. Ada bacaan puisi, ada nyanyian busker lagu M.Nasir. Tidak ketinggalan ramai juga beratur panjang untuk bergambar kenang kenangan di hadapan dua poster mega M Nasir Cipta yang diletakkan diluar pintu masuk.
Lokasi Axiata Arena semenangnya sesuai untuk konsert kali ini. Ini merupakan antara konsert solo terbesar sifu dalam karier 45 tahun beliau. Kemudahan lengkap di sekitar Axiata Arena seperti tempat parking yang luas, surau, tempat makan dan berhampiran stesen MRT Bukit Jalil memudahkan penonton dekat dan jauh datang. Konsert besar macam ini umpama kenduri kahwin, inilah masanya berjumpa dan terjumpa dengan adik beradik, sedara mara, rakan taulan malah kawan kawan yang dikenali di media sosial yang berkongsi minat yang sama.
Proses masuk ke Axiata Arena kelihatan lancar kerana staff yang bertugas cekap memeriksa beg penonton dan tiket serta mengarahkan penonton menuju ke pintu tempat duduk mengikut kategori tiket. Malah aku yang menghadapi kekeliruan dengan pembelian merchandise juga dibantu dengan segera.
Tepat jam 9.00 malam, pengumuman keselamatan & Lagu Negaraku dimainkan menandakan konsert hampir bermula. DJ Radin - Era FM yang menjadi MC pada malam itu muncul mengalu alukan kehadiran penonton ke konsert Cipta.
Setlist “Cipta”
Instrumental pembukaan: Gong Impian/ Nusantara
1. Raikan Cinta
2. Bikin Filem
3. Tujuh Nafas Lagi
4. Senandung Semalam
5. Dah Lagu Tu
6. Oh.. Anak
7. Hati Emas
MEDLEY BALLADA
8. Seroja
9. Cinta Kristal
10. Senja Nan Merah
11. Seribu Tahun Takkan Mungkin
MEDLEY BOSSA
12. Seloka Cinta Remaja
13. Bercanda Di Pasiran Pantai
MEDLEY ROCK
14. Cinta Sakti
15. Seragam Hitam
16. Tinggalkan Satu Peluru
Segment Lagu Selamat Hari Lahir PMX
17. Balada Seorang Teman
18. Phoenix Bangkit
19. Langgam Pak Dogo
20. Tanya Sama Hud Hud
21. Gurindam Gunung Tahan
22. Buka Hatimu
23. Hijab Kekasih
REMPAK REBANA
24. Berdendang Dalam Tangisan
25. Andalusia
26. Sahabat Gua
27. Mentera Semerah Padi
28. Ada
ENCORE:
29. Suatu Masa
30. Sentuhan Listrikmu
31. Apokalips
Jam 9.17 malam, Video permulaan konsert memenuhi skrin pentas. Bait lirik/sajak yang sama seperti dalam Buku Cipta itu dibaca oleh M Nasir dengan layar menggambarkan pengembaraan M.Nasir ke satu sudut alam yang mana dia bertemu dirinya sendiri ditempat dipenuhi sangkar burung yang kosong.
Bait lirik dari lagu “Bila Rumi Menari” membuka mukadimah konsep konsert ini.
Sayang... pada mereka yang tak mengerti
Sayang... pada hati tertutup mati
Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari
Kelihatan M.Nasir yang satu itu lengkap berpakaian serba putih sedang melukis dan kemudiannya meninggalkan lukisan bersama sebuah gitar.
Apa yang hendak disampaikan? Tafsirlah sendiri. Maka bermulalah konsert dengan pembukaan instrumental Gong Impian/ Nusantara.
1. Raikan Cinta
Sorakan penonton memulakan lagu ini dan penonton dihujani kilauan confetti. Ingatkan M Nasir muncul berbaju putih seperti akhir video itu rupanya tidak sebaliknya mengenakan busana berwarna gold padan dengan tema poster konsert. Sedap betul bunyi sound konsert kali ini. Kalau lagu pertama sound dah sedap memberi petanda ini konsert yang best!
2. Bikin Filem
Macam tak nak tunggu lama lama, lagu M Nasir dengan lirik oleh Nasir Jani memang bikin hangat! Penonton tu nasib baik ada light stick, nampak juga reaksi ketuk ketuk angin macam air drum….
“Bikin filem memang mudah…mintak gran kerajaan” seloroh M Nasir diakhir lagu.
3. Tujuh Nafas Lagi
Lagu berirama Broadway ini antara lagu aku nak dengar secara “Live”. Makbul juga akhirnya. Kawan aku pulak cakap ini lagu marching sarkas! Itu yang menarik lagu ciptaan M Nasir ni, genrenya pelbagai. Ada polka, ada waltz, hahaha!
4. Senandung Semalam
M Nasir menceritakan lagu Senandung Semalam yang asalnya dinyanyikan oleh Alleycats menjadikan Jamal Abdillah nama besar.
Sudahlah lagu ni memang sedap tambah pulak sound sistem konsert memang best! Dari tempat aku boleh dengar lemaknya bunyi bass dan instrumen lain semasa lagu ni!
5. Dah Lagu Tu!
6. Oh.. Anak!
Dua lagu ini sudah beberapa kali dibawakan dalam konsert. Dah Lagi Tu….lagu Irama jaipong dari album Phoenix Bangkit. Lagu Oh… Anak! rasanya satu satunya lagu yang mewakili irama keroncong malam itu. Tiada lagu “Keroncong untuk Ana” dalam konsert kali ini.
Ada juga aku terdengar penonton mengeluh tak pernah dengar lagu lagu ini bila disoal M Nasir dari atas pentas.
7. Hati Emas
Lagu wajib! Orang sebelah aku siap boleh cakap “yes” sambil angkat penumbuk lagi. Suka benar lagu ni agaknya. Ya lah.. lagu konsert M Nasir ni kalau tak ada lagi ini dinyanyikan memang tak sah. Ini satu-satunya lagu Kembara dalam konsert ini.
MEDLEY BALLAD
8.Seroja
9.Cinta Kristal
10. Senja Nan Merah
11. Seribu Tahun Takkan Mungkin
Susunan Medley ni best! Lagu Seroja Search ni mengimbau zaman bertukar tukar kaset dengan member dulu. Aku beli kaset Rock n Roll Pie ni untuk ditukar dengan Nirvana MTV Unplugged. Senja Nan Merah buat aku terus teringat adegan Awie dan Ziana Zain membonceng menuju senja merah seperti dalam penghujung filem Merah yang arahan M Nasir sendiri.
Sudah tentu lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin adalah pilihan aku dalam konsert ini.
Sebab apa? Sebab nilai nostalgia lagu ini yang merentas masa dan terbuka dengan pelbagai tafsiran. Terus teringat radio kecil memainkan lagu BPR ini di rumah lama dahulu.
MEDLEY BOSSA
12.Seloka Cinta Remaja
13. Bercanda Di Pasiran Pantai
Lampu disco ball bersinar umpama bertukar mood dengan M Nasir memegang feather boa berwarna pink yang diletakkan di tengah pentas. Lagu arwah Seha Seloka Cinta Remaja ini mungkin antara lagu yang ramai tidak menyedari dicipta oleh M Nasir. Lagu Bercanda Di Pasiran Pantai pula bukan pertama kali dinyanyikan di pentas konsert. Tetap lagu ini menghiburkan dengan gaya Romli Rock bagai sheikh “parti pantai miami” tersesat. Kilauan lampu disko dari tengah arena dan lampu pentas ke arah penonton ada kalanya menarik penonton untuk terus teruja tapi pada masa yang sama menyebabkan ada penonton yang kurang biasa terasa kurang selesa.
MEDLEY ROCK
14. Cinta Sakti
15. Seragam Hitam
16. Tinggalkan Satu Peluru
Gubahan medley Rock ini menarik bagi aku. Lagu Cinta Sakti oleh Def Gab C pernah juga diparody oleh Senario sebagai “Cinta Sate” ini antara lagu Rock ciptaan M Nasir yang “hit”. Lagu Seragam Hitam disilih ganti Tinggalkan Satu Peluru dengan lirik oleh Loloq pula kalau diamati memang sesuai diakhiri dengan frasa “boleh tak boleh? Boleh!” Dalam ending mabuk vibe rentak AGo Go itu M Nasir meninggalkan pentas untuk menukar busana sebelum muncul semula di pentas mengenakan busana hitam.
Segment Lagu Selamat Hari Lahir PMX Dato Sri Anwar Ibrahim.
Gubahan semula lagu Hari Lahir seperti dalam filem P Ramlee, lagu Allah Selamatkan.. Anwar Ibrahim bergema di arena. Mungkin ada yang tak menyangka PMX turut hadir pada malam itu. M.Nasir menghadiahkan pulut kuning buat PMX.
17. Balada Seorang Teman
Lagu dari album Sang Pencinta ini menjadikan suasana Arena dirasakan sedikit sayu. Adakah sebab penonton masih memproses kejutan kehadiran PMX dalam konsert itu atau sayu mengenang sahabat di sana?
18. Phoenix Bangkit
Lagu kebangkitan atau lagu semangat adalah antara banyak ciptaan M Nasir yang memberi kesan pada pendengar. Kebolehan beliau menulis lirik atau rentak lagu yang boleh menaikkan semangat adalah salah satu kekuatan yang ramai terlepas pandang. Kali ini video latar lagu Phoenix Bangkit didedikasi buat Palestin yang ditindas rejim Zionist.
19. Langgam Pak Dogo
Dalam banyak banyak lagu konsert ini, entah kenapa aku macam tak puas hati dengan vibe lagu ini dalam konsert kali ini. Aku rasa konsert seterusnya boleh diganti dengan lagu lain. Langgam Pak Dogo diakhiri dengan seloka “Hapuskan Denggi” Romli Rock yang mengundang derai tawa penonton…part ini aku terhibur. Serius!
20. Tanya Sama Hud Hud.
Lagu yang menjadi Juara Lagu. Jadi tidak hairan ia menjadi lagu “sing a-long” konsert ini. Konsert jadi gegak gempita dengan pekik penonton yang menyanyi bersama.
21. Gurindam Gunung Tahan
Aku masih ingat lagu ini antara lagu yang mendapat sambutan penonton semasa konsert Alam tetapi ia kurang menjadi untuk konsert kali ini. Penonton aku rasa ramai tidak menyanyi bersama. Agaknya pada masa ini ramai selesa mengangkat telefon sama ada untuk merakam suasana konsert atau updated status di media sosial.
22. Buka Hatimu
…Buka hati mu ….pada kebenaran.
Lagu berentak soul dari Canggung Mendonan pernah dirakam semula oleh Sheila Majid ini membuktikan lagu ini sesuai juga dibawa oleh penyanyi wanita juga. Ramai ternantikan bahagian Rap tu dinyanyikan oleh sifu sendiri tapi ia tidak menjadi kenyataan.
23. Hijab Kekasih
M Nasir menjemput rakannya, Ramli MS memainkan akordion bagi lagu Hijab Kekasih ini. Untuk info Ramli MS merupakan pemain asal arkodian dalam versi album. Lagu yang mengundang air mata kata kawan aku.
24. Berdendang Dalam Tangisan
Lagu yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah berentak joget ini sebenarnya unik dari segi melodi dan lirik. Penonton bertepuk mengikut irama gendang lagu ini.
25.Andalusia
Satu lagi lagu yang menjadi Juara Lagu. Sudah tentu ramai menyanyi bersama. Tambahan pula rentak lagu Andalusia bagai mengizinkan penonton bersemangat bangun dari tempat duduk.
26. Sahabat Gua
Alang alang berdiri tu kalau masuk pulak lagu ni takkan nak duduk pulak? Memang rentak lagu marhaen buat pendengar “lupa diri” kejab.
27. Mentera Semerah Padi
Kalau dah datang bertanjak berbusana lengkap tak naik semangat tak tau la bila dengar lagu pendekar ini.
“Asap pisau …asap keris….” seloroh M Nasir.
Penonton memang dah meronggeng habis semasa lagu ini. Dalam ramai ramai tu entah entah ada yang buka bunga silat mendengar lagu ini.
28. Ada
Bukan Hard Rock! Hard Joget!Saya begini dah hampir 3 jam tau seloroh M Nasir..
Lagu Ada ni kalau tak ada joget memang tak sah! Kelihatan dimana mana ada yang dah berjoget ikut rentak lagu ini.
Di akhir lagu M Nasir kemudian memperkenalkan barisan pemuzik dalam Gong yang membantu karier beliau. M Nasir mengucapkan terima kasih pada promoter Iman Tang dan semua yang hadir. M Nasir juga mengucapkan terima kasih pada PMX bersama keluarga yang hadir di konsert marhaen.
Encore
29.Suatu Masa
Siapa yang berdiri tu?...macam penyokong parti politik … seloroh M Nasir sebelum memulakan lagu ini. Lagu ini semakin usia meningkat semakin aku suka. Satu dewan menyanyi bersama. Sememangnya lagu ini ada magic!
30. Sentuhan Listrikmu
Sambung pula satu lagi lagu cinta. Lagu dari album Canggung Mendonan ini tidak pernah mengecewakan jika dibawa dalam konsert. Membuai perasaan walaupun jam aku dah menunjukkan lebih jam 12.00 tengah malam.
31. Apokalips
Orang cakap ni lagu paling happening malam tu! Hampir semua orang sudah berdiri menyanyi beramai-ramai dan menari ronggeng…paling tak pun makin rancak mengetuk light stick ke udara umpama konsert generasi Y & Z ! Pasti ada adik adik Kpop terperanjat acik acik, akak akak dan abang abang pun tahu guna light stick! Apokalips kot…lagu paling senang untuk sing along tapi lagu paling payah nak faham maksudnya. Bagai lirik lagu Apokalips hujan pasti berhenti, penonton dihujani belon hitam dan belon berwarna emas (warna tema konsert) dan hujan confetti dari depan pentas menjadikan konsert ini memori indah buat sang pencinta karya M Nasir yang hadir pada malam bersejarah itu. Confetti, belon dan light stick ini benda komersil pertama kali rasanya dalam konsert solo M Nasir ini. Artis barat seperti Metallica & Roger Waters dah lama buat gimik macam belon dan confetti cuma berbeza pendekatan dan tujuan.
Konsert Cipta berakhir lebih kurang jam 12.30 pagi 11 Ogos 2024 setelah lebih 3 jam berlangsung. Penonton berpusu-pusu keluar meninggalkan arena. Rata rata kelihatan gembira dan masih teruja dengan konsert yang diadakan walaupun sudah tengah malam. Di luar arena juga masih riuh rendah dan ramai mengambil peluang beratur untuk membeli pelbagai merchandise rasmi. Khabarnya ada yang tak boleh "move on" berhari-hari.Sempat juga aku berborak dengan kawan lama di tepi booth merchandise itu. Antara topik sembang seminit itu berkisar persoalan bilakah konsert M Nasir seterusnya?.
“Mungkin tahun hadapan”…jawab ringkas diberi.”
Nampaknya tekaan kami meleset!,... tak perlu tunggu hingga tahun depan. Sehingga review ini ditulis pihak Icon Entertainment telah mengumumkan Konsert Cipta 2 yang akan diadakan pada 12 Oktober 2024 bertempat di Axiata Arena. Tiket pula mula dijual pada 27 Ogos 2024 jam 2.00 petang.
Berikut adalah pecahan lagu konsert Cipta berdasarkan album
11 lagu ciptaan dinyanyikan penyanyi lain.
1 lagu Hari Lahir (gubahan semula)
1 lagu dari album kumpulan Kembara
1 lagu dari album Dia Ibuku (1981) / Srikandi Cintaku (1999)
3 lagu dari album Saudagar Mimpi (1992)
5 lagu dari album Canggung Mendonan (1993)
1 lagu dari Terbaik M Nasir (1998)
6 lagu dari album Phoenix Bangkit (2001)
3 lagu dari Sang Pencinta
Agak janggal bila tiada lagu dari album SOLO dalam konsert ini. Sekali lagi tidak ada lagu baru dari sifu. Mungkin aku seorang sahaja berangan dengar lagu pertama dari album pertama “Mari Berdangdut” dalam gubahan baru.
Konsert Cipta ini aku rasakan berbeza dari konsep konsert sifu sebelum ini yang lebih teatrikal.
Pulang dari menyaksikan M Nasir menguasai pentas menjawab serba sedikit persoalan. Karya sifu malar segar tidak pudar dimakan usia. Dengan setiap lagu, beliau bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga membuktikan ciptaan melalui keindahan lirik dan melodi mampu melintasi batasan politik, bangsa dan masa. Konsert Cipta menjadi satu lagi mercu tanda gemilang dalam sejarah kariernya dan meninggalkan kesan mendalam di hati setiap penonton yang hadir. “Cipta” mengukuhkan aspisiasi massa pada seni cipta seorang maestro yang bergelar seniman yang bertaraf lagenda.
3 ulasan:
aku agak kecewa tiada wakil lagu dari album S.O.L.O
Mungkin untuk Cipta 2 ada wakil dari setiap album.
Biarkan Luncai Terjun
Catat Ulasan