Isnin, Ogos 05, 2024

Jay Jay hero saya - M Nasir

petikan Berita Harian 5 Ogos 2024

Oleh Fatin Farhana Ariffin

fatin.farhana@bh.com.my

M Nasir menyifatkan bakat Allahyarham Jay Jay sangat luar biasa. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

SUBANG JAYA: Maestro muzik, Datuk M Nasir menghargai kemahiran Allahyarham Jay Jay, malah, menganggap beliau salah seorang heronya dalam industri seni.

M Nasir menyifatkan bakat Allahyarham Jay Jay sangat luar biasa.

"Saya kenal arwah sudah lama. Beliau insan yang mahir dalam kerjanya. Kerja rakaman saya semua dilakukannya sejak 20 tahun lalu. Saya hargai bakat seni arwah.

"Sebelum jadi penyanyi, arwah antara hero saya dalam bidang muzik. Kemahirannya sungguh luar biasa. Kali pertama saya tonton arwah secara langsung di Singapura.


"Saya antara peminat dan tunggu arwah keluar serta melambai-lambainya. Arwah juga banyak iringi persembahan dan proses rakaman yang saya lakukan kerana beliau pemain bes yang baik," katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang di sini, pagi tadi.

M Nasir juga kagum dengan bakat dan karakter Allahyarham Jay Jay yang disenangi penggiat industri seni.

"Arwah ada penampilan tersendiri. Pada saya, beliau antara penyanyi lelaki paling menarik. Arwah ada pakej lengkap dan kemahiran dalam nyanyian. Arwah bukan sahaja penyanyi rakaman profesional, malah, banyak sumbangkan suara dalam bidang pengiklanan.

"Era 1980-an dahulu kebanyakan iklan guna suara arwah," katanya.

M Nasir mengakui sangat sedih dengan pemergian teman yang dianggap bintang besar itu.

"Saya sempat melawat arwah di Institut Jantung Negara (IJN). Saya bersyukur dapat kenali arwah sebagai individu yang pandai menjaga hati orang, halus dan sensitif," katanya.

Tiada ulasan: