Ahad, Ogos 11, 2024

M Nasir buat kejutan sambut hari jadi PM di Axiata Arena

petikan Berita Harian 11 Ogos 2024

Farihad Shalla Mahnud farihad@bh.com.my

 

Anwar menerima hadiah pulut kuning daripada Nasir bagi meraikan ulang tahun kelahiran ke-77 di Axiata Arena, malam tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Maestro muzik, Datuk M Nasir membuat kejutan dengan meraikan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-77 pada Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena di sini, malam tadi.

Pada mulanya, Nasir membuat pengumuman mahu mempersembahkan lagu yang dicipta khas untuk Perdana Menteri.

Namun, Nasir kemudian memberitahu beliau mahu mendendangkan lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Anwar menerima hadiah pulut kuning daripada M Nasir bagi meraikan ulang tahun kelahiran ke-77 di Axiata Arena. - Foto BERNAMA

Sebaik bait pertama lagu sambutan harı jadi berbunyi 'Allah selamat kamu' diperdengarkan, tumpuan terarah kepada Anwar yang berada di kerusi tetamu VIP di tingkat atas Axiata Arena.

Ketika itulah penonton menyedari kehadiran Anwar di konsert itu.

Selain menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu, Nasir turut menghadiahkan pulut kuning kepada Anwar.

"Sebelum saya menyanyikan lagu yang ditujukan khas kepada seseorang ini, saya ingin menyanyikan lagu ini terlebih dahulu.

"Saya juga ada hadiahkan sesuatu untuk beliau tapi bukan kek, sebaliknya pulut kuning," katanya.

Anwar yang mengenakan persalinan persis pahlawan Melayu lengkap turut mengangkat tangan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Nasir.

Nasir terus menjentik emosi apabila meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu Balada Seorang Teman sebagai 'tribute' kepada pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.

Ketika menyanyikan lagu itu, layar gergasi di pentas menayangkan visual Anwar bertemu Allahyarham Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran, baru-baru ini.

Allahyarham Haniyeh dilapor terbunuh dalam serangan Zionis ke atas kediamannya di Tehran.

Menerusi konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu, Nasir bukan sahaja membawakan lagu dari album, malah menghiburkan penonton dengan lagu ciptaannya yang diberi kepada Search, Alleycats, Datuk Awie, Allahyarham Seha, BPR, Kristal, Def Gab C dan Rahim Maarof.

Konsert Datuk M N45IR Cipta menterjemah perjalanan 45 tahun Nasir dalam dunia seni.


Tiada ulasan: