Rabu, Ogos 14, 2024

Sarat jiwa Melayu

petikan Berita Harian 14 Ogos 2024

Farihad Shalla Mahmud

farihad@bh.com.my

 M Nasir memalu halwa telinga penonton dengan muziknya sarat aroma Nusantara yang dimainkan pemuzik handalan dan profesional tanah air. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR: Jika mencari acara persembahan yang tebal jiwa kemelayuannya, Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, adalah jawapan tepat.

Penilaian itu bukan sahaja dibuat berdasarkan konsep, pengisian dan muzik diketengahkan, malah penampilan penonton yang rata-rata tampil menyarung busana persis pahlawan dan srikandi Melayu, menambahkan lagi aura itu.

Seperti mahu meraikan dan menyuntik elemen cinta kepada kira-kira 8,000 pemuja yang membanjiri stadium tertutup itu, si genius muzik itu membuka gelanggang dengan lagu Raikan Cinta yang dipetik daripada album Phoenix Bangkit.

Irama rancak yang diterbitkan lebih dua dekad lalu itu ibarat lagu pemanas badan dan menghantar isyarat yang Datuk M Nasir sudah bersedia menakluk hati setiap penonton dengan persembahan disajikan.

Adrenalin penonton terus mengalir deras menerusi lagu kedua, Bikin Filem yang liriknya antara lain menyindir golongan yang tidak berbakat, tetapi hanya mengharapkan rupa untuk berada dalam dunia seni.

Sempat juga M Nasir bercanda dengan mengusik penggiat industri perfileman usai menyanyikan lagu itu.

"Mudah bikin filem, minta geran kerajaan," katanya sambil disambut sorakan dan gelak ketawa penonton.

Sesuai dengan pengisian konsert yang menceritakan perjalanan karier seni yang mekar selama 45 tahun, M Nasir banyak bernostalgia dan mengimbau kenangan pada awal pembabitannya dalam bidang muzik.

Ini dikongsi jejaka berasal Singapura itu melalui untaian indah yang pernah dipopularkan kumpulan Alleycats berjudul Senandung Semalam pada 1978.

"Lagu ini asalnya adalah nyanyian Alleycats kemudian Datuk Jamal Abdillah menyanyikannya dalam suatu pertandingan dan jadi juara," imbaunya.

Paling membekas dalam jiwa sudah semestinya ketika M Nasir menarik semula ingatan ramai dengan judul popular ciptaannya yang menjadi ikonik buat penyanyi lain seperti Seroja (Search), Cinta Kristal (Rahim Maarof), Senja Nan Merah (Datuk Awie dan Ziana Zain) dan Seribu Tahun Takkan Mungkin (BPR).

Kecoh seketika stadium apabila M Nasir mempamerkan sisi berbeza apabila menari sambil memegang bebulu merah jambu ketika menyanyikan lagu Seloka Cinta Remaja yang digubah muziknya menjadi irama Bossanova.

Sesuai pengisian konsert menceritakan perjalanan karier seni selama 45 tahun, M Nasir banyak bernostalgia dan mengimbau kenangan pada awal pembabitannya dalam bidang muzik. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Sesuai pengisian konsert menceritakan perjalanan karier seni selama 45 tahun, M Nasir banyak bernostalgia dan mengimbau kenangan pada awal pembabitannya dalam bidang muzik. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Sejujurnya apabila bercakap mengenai konsert yang dijayakan seniman ini, M Nasir tidak perlu membuat gimik untuk menarik penonton.

Cukup sekadar beliau berdiri sambil memasang kuda-kuda dan mengepakkan sedikit tangan dan menyanyi mengikut alun muzik yang beliau sendiri hasilkan.

Meskipun lagu ciptaannya menumbuh bersama-sama golongan Generasi X, namun ada juga anak muda dan remaja yang turut menyanyi dan menari bersama.

Ternyata muzik yang dihasilkan beliau melangkau zaman dan memenuhi cita rasa pelbagai golongan dan tiada sempadan usia.

Menikmati konsert Cipta berdurasi tiga jam itu, M Nasir memalu halwa telinga penonton dengan muziknya yang sarat aroma Nusantara yang dimainkan pemuzik handalan dan profesional tanah air.

Antara lagu yang mengisi repertoire konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu adalah Langgam Pak Dogo, Mentera Semerah Padi, Berdendang Dalam Tangisan, Sahabat Gua, Andalusia, Ada, Bukalah Hatimu dan Hijab Kekasih sambil diiringi alat muzik akordian oleh Datuk Ramli MS.

Jika kebanyakan artis lain hanya menyediakan satu atau dua sahaja lagu untuk segmen 'encore' sebelum menutup tirai persembahan, M Nasir bermurah hati apabila menghadiahkan empat lagu yang pernah menjadi 'killer song' Sentuhan Listrikmu, Suatu Masa, Apokalips dan Gerhana.

Sebagai hadiah kepada tetamu kehormat, Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim yang meraikan ulang tahun ke-77, M Nasir turut menghadiahkan pulut kuning buat pemimpin negara itu.

Menambah makna, M Nasir turut menunjukkan solidaritinya kepada rakyat Palestin menerusi lagu Balada Seorang Teman bagi memperingati pemergian pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.

Ketika menyanyikan lagu itu, layar gergasi di pentas menayangkan visual Anwar bertemu Allahyarham Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran, baru-baru ini.

Tiada ulasan: