petikan Utusan Malaysia 21 Ogos 2024
Oleh Amirul Aiman Osman
KUALA LUMPUR : Selepas mencipta kejayaan melalui Konsert M N45IR Cipta pada awal Ogos lalu, penyanyi terkemuka tanah air, Datuk M Nasir bakal kembali dengan Konsert Cipta 2 pada 12 Oktober ini bertempat di lokasi sama.Menurut M Nasir, [penganjuran konsert kali ini akan memberikan sedikit kelainan berbanding yang telah diadakan sebelum ini.
“Konsert kali ini, akan bawa kelainan dari segi sudut visual, kita akan tambah visual daripada konsert pertama.
“Persembahan kali ini akan menampilkan agu-lagu yang berbeza selain karya-karya lama,” katanya ketika ditemui di Majlis Apresiasi Media di ibu negara, semalam.
Selain itu, penyanyi bertaraf legenda itu berkata, idea untuk mengadakan konsert kedua itu muncul berikutan dapat merasakan dirinya masih belum dapat memuaskan hati penonton yang hadir terutama apabila ada lagu yang tidak dapat dinyanyikan pada konsert terdahulu.
“Sebenarnya semasa konsert pertama, saya tahu takkan dapat puaskan hati semua orang. Saya takkan dapat nyanyi semua lagu yang saya cipta.
“Saya kira ada beberapa lagu popular ciptaan saya yang akan saya nyanyikan mungkin Awan Nano, Srikandi Cintaku atau Fantasia Bulan Madu.
“Ada peminat yang mahukan saya nyanyikan lagu-lagu lama. Namun semestinya, akan ada lagu wajib, hanya peminat sahaja yang tahu,”ujarnya.
Sementara itu,katanya, tiket hanya akan dijual sebanyak 6,000 keping.
“Kapasitinya akan sama iaitu 8,000, tetapi untuk jualan tiket, kami hanya akan buka 6,000 saja memandangkan selebihnya sudah ‘reserved’,” katanya.
Harga jualan tiket adalah seperti berikut, RM 238 (Fantasia Bulan Madu – FBM), RM338 (Mentari Merah Di Ufuk Timur – MMDUT), RM458 (Layang-layang Terputus Talinya – LLTL), RM488 (Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara – SBSDGS), RM528 (Laila Namamu Teratas – LNT), dan RM588 (Keroncong Untuk Ana – KUA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan