Selasa, Ogos 20, 2024

M Nasir menari dalam Konsert Datuk M N45IR Cipta 2?

petikan Berita Harian 20 Ogos 2024

Oleh Affan Rostam -affan.rostam@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Atas permintaan ramai, Konsert Datuk M N45IR Cipta bakal memasuki siri kedua penganjuran yang dijadual diadakan di lokasi sama, iaitu Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 12 Oktober depan.

Disifatkan sebagai 'extended version', konsert anjuran Icon Entertainment dinamakan sebagai Konsert Datuk M N45ir Cipta 2 itu bakal menjadi ruang perayaan muzik bersama peminat dengan konsep lebih gah.

Rencana konsert kali ini bakal menjanjikan kepuasan berbeza, selain menjadi medan buat maestro muzik legenda berusia 67 tahun ini melakukan seleksi terbaik daripada 3,000 repoirtaire yang ada.

M Nasir berkata, perancangan mengadakan konsert berkenaan dibuat dalam tempoh singkat selepas mengambil kira ada beberapa lagu permintaan ramai yang tidak dapat dinyanyikan ketika konsert pertama pada 10 Ogos lalu.

Katanya, dia bakal tampil dengan konsep dan gaya baharu yang akan diatur menjelang malam konsert berkenaan.

"Lagu-lagu yang tidak dapat dinyanyikan semasa konsert pertama, saya akan bawa kali ini. Sudah ada beberapa lagu yang saya sudah terlintas. Sebenarnya semasa konsert pertama saya sudah terfikir dan merasakan bakal ada yang kedua.

"Jadi, ada beberapa lagu popular yang saya cipta akan dinyanyikan, antaranya Fantasia Bukan Madu. Apa yang pasti kesemuanya lagu yang belum dinyanyikan pada konsert awal, tapi lagu wajib M Nasir tetap akan dinyanyikan.

"Konsep mungkin ada pembaharuan dari sudut visual dan mungkin saya akan menari, siapa tahu? Dari segi visual ada penambahan dan ada perancangan mengenainya," katanya pada Majlis Apresiasi Media dan Pengumuman Khas di Shook!, JW Marriot Hotel, hari ini.

M Nasir dan Iman Tang pada Majlis Apresiasi Media dan Pengumuman Khas di Shook!, JW Marriot Hotel, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Pada majlis itu, M Nasir turut menzahirkan ucapan penghargaan buat barisan pengamal media yang sentiasa memberi sokongan terhadap karier seni termasuk membantu mempromosikan pelbagai karya nukilannya.

Sementara itu, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, perancangan menganjurkan konsert kali ini mengambil masa kira-kira empat hari.

"Selepas mengambil kira semua maklum balas yang diberikan pemerhati seni, peminat tegar M Nasir atau peminat muzik yang mengikuti perkembangan Konsert Datuk M N45ir Cipta, pihak Icon Entertainment bersama M Nasir dengan sukacita mengadakan versi lanjutan konsert ini khas buat semua peminat.

"Oleh kerana ia adalah kesinambungan daripada Konsert Datuk M N45ir Cipta, maka kami bersetuju menamakan konsert ini sebagai Konsert Datuk M N45ir Cipta 2 yang akan berlangsung di lokasi sama," katanya.

Konsert Datuk M Nasir Cipta 2 menyediakan 6,000 tiket, manakala selebihnya sudah mendapat tempahan awal daripada peminat tegar penyanyi kelahiran Singapura itu.

M Nasir berkongsi, perancangan mengadakan konsert dibuat dalam tempoh singkat selepas mengambil kira ada beberapa lagu permintaan ramai yang tidak dapat dinyanyikan ketika konsert pertama pada 10 Ogos lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad

M Nasir berkongsi, perancangan mengadakan konsert dibuat dalam tempoh singkat selepas mengambil kira ada beberapa lagu permintaan ramai yang tidak dapat dinyanyikan ketika konsert pertama pada 10 Ogos lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad

Tiada ulasan: