petikan Berita Harian 25 Mei 2024
Oleh Farihad Shalla Mahmud -farihad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seperti lagu nyanyiannya, Rajawali Terbang Tinggi, begitu juga diumpamakan perjalanan kerjaya lebih empat dekad, Datuk M Nasir sebagai anak seni.Sepanjang 45 tahun berada dalam belantara seni, karier figura tersohor ini terus merentas zaman dan tidak pernah bernoktah.
Karya ibarat magis kerana apa sahaja lagu sentuhan M Nasir pasti bertukar menjadi emas.
Buktinya, selain lagu sendiri yang masih menjadi siulan anak muda hingga generasi demi generasi, ciptaannya juga banyak memberi rezeki kepada penyanyi lain apabila tetap diminati dan menjadi malar segar,
Dengan segala kejayaan, pencapaian dan sumbangan diberikan kepada industri muzik tanah air, M Nasir menerima pengiktirafan menerusi penganjuran Konsert Dato' M.N45ir Cipta yang dijadualkan akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.
Berkongsi pengisian konsert anjuran Icon Entertainment itu, M Nasir berkata, ia adalah gabungan antara audio dan visual, bersesuaian dengan cabang seni diceburinya iaitu muzik, lakonan dan lukisan.
"Sesuai perkataan cipta, konsert berdurasi dua jam ini akan menyaksikan saya mempersembahkan 40 lagu.
"Bukan sahaja lagu yang saya nyanyikan sendiri, tetapi lagu yang saya cipta untuk penyanyi lain.
"Antaranya, lagu Senandung Semalam yang saya tulis lirik awal pembabitan dalam bidang seni.
"Ada juga lagu yang saya rasa bagus, tetapi tak hit seperti Padang Lalang dan Milik Siapakah Gadis Ini.
"Mungkin saya akan nyanyikan juga lagu penyanyi wanita yang saya cipta seperti Rintik Hujan Di Kelopak Mawar dendangan Dayangku Intan dan Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon).
"Turut dinyanyikan dalam konsert adalah lagu daripada filem yang saya lakonkan seperti Kembara Seniman Jalanan dan Merah.
"Sempena konsert ini, saya juga mengadakan pameran lukisan di galeri di Bangsar," katanya kepada BH Online.
Iman Tang menyifatkan penganjuran konsert M Nasir bertepatan dengan visi dan misi syarikat menampilkan hanya ikon dalam konsert. - NSTP/Aziah Azmee
Iman Tang menyifatkan penganjuran konsert M Nasir bertepatan dengan visi dan misi syarikat menampilkan hanya ikon dalam konsert. - NSTP/Aziah Azmee
Tidak hanya mahu memuaskan hati peminat yang membesar dengan lagu nyanyiannya, penerima anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 ini juga berharap, konsert itu dapat menghiburkan peminat baharu dalam kalangan generasi muda.
"Jadi, susunan muzik untuk lagu dalam konsert juga akan digubah mengikut cita rasa muzik semasa, namun masih mengekalkan identiti asal.
"Apa yang penting, konsert ini dapat menghiburkan penonton, mereka balik dengan kegembiraan dan berseronok.
"Saya juga berharap mereka boleh belajar sesuatu daripada konsert ini dan jiwa mereka terisi," ungkap komposer kelahiran Singapura ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang menyifatkan penganjuran konsert M Nasir bertepatan dengan visi dan misi mereka.
"Sebelum ini, memang ramai yang bertanya bila saya nak buat konsert M Nasir? Sekarang adalah masa yang sangat tepat untuk kita anjurkan konsert.
"Icon Entertainment hanya buat konsert untuk ikon sahaja dan kami sangat berbesar hati diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini.
"Istimewanya, konsert ini untuk mengimbas semula perjalanan 45 tahun usia kerjaya seni M Nasir, bagaimana banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.
"Kita tahu M Nasir banyak menghasilkan lagi hit penyanyi lain, tetapi ramai tak tahu lagu berkenaan dicipta olehnya.
"Jadi, kami mahu semua orang tahu asal usul karya M Nasir," ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan