petikan AstroawaniAstroawani 22 Mei 2024
KOMPOSER dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir menyifatkan kerjaya seninya merupakan satu perjalanan yang sangat indah meskipun harus melalui pelbagai onak dan duri.
Kata M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed, tanpa fasa jatuh dan bangun, tidak mungkin dia berada di tahap sekarang.
“Perjalanan seni saya ada naik dan turun. Ia bergelombang. Perjalanan secara keseluruhan itu memang indah kerana ia ciptaan Tuhan.
“Dalam sengsara pun ada keindahannya; ada banyak drama yang harus saya tempuhi,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Keroncong Buat Ana itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert ‘DATO’ M. N45IR CIPTA’ yang berlangsung di ibu kota pada Isnin.
Katanya lagi, sepanjang 45 tahun dalam bidang seni, rasa susah dan jatuh itu hanyalah satu fasa yang harus dilalui sahaja.
“Namun, saya bukan sejenis yang suka menunjuk apa yang saya lalui. Saya bukan macam segelintir orang, kalau sakit sikit, kena bagitahu semua.
“Saya selalu disokong oleh kawan-kawan. Jadi, segala kesusahan itu tidak saya rasakan sangat. Bercakap fasal sukar, kita kena tahu dahulu erti sukar yang dimaksudkan.
"Pada saya, cabaran itu menyeronokkan. Ia umpama sebuah perjalanan roller coaster yang menyeronokkan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi asal Singapura ini juga akui dirinya pernah berputus asa dengan bidang seni kerana industri tempatan tidak menunjukkan kematangan yang diharapkan.
“Ada juga fasa yang saya rasa ingin berputus asa tapi saya tak ambil berat sangat perasaan itu. Selalunya berlaku bila kita buat sesuatu tapi tidak menjadi.
“Saya melihat dunia hiburan ini tidak kesampaian seperti apa yang saya cita-citakan. Ia tumbuh tapi tidak cantik. Rasa hormat kepada kita pun kurang.
“Saya merasakan perkara itu sejak di pertengahan kerjaya. Bila melihat industri seni di Korea Selatan, dulu kita berjuang bersama-sama tapi sekarang mereka capai ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Kita yang dulu sama-sama berjuang, ada banyak hal yang menghambat kita. Sebab itu kita tak sampai-sampai lagi ke tahap itu,” ulasnya lagi.
Sementara itu, M Nasir turut merasakan dirinya bertuah kerana dikurniakan bakat untuk menghasilkan lagu-lagu yang disukai ramai.
“Bila melihat kepada kerjaya saya, saya rasa nasib saya ini baik. Saya berpeluang mencipta banyak lagu. Saya juga buat banyak lagu-lagu hit berbanding orang lain.
“Mungkin ini kejayaan yang orang luar lihat. Namun, kalau kita lihat karya P. Ramlee, dia hanya membuat 200 lagu sahaja tapi namanya tidak dapat dilupakan.
“Saya kena buat 3,000 lagu untuk cuba sampai ke tahap itu. Antara faktornya kerana dunia sudah berubah dan industri kita sudah jadi komersial,” akhirinya.
Konsert ‘DATO’ M. N45IR CIPTA anjuran Icon Entertainment bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.
Konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menyaksikan komposer bergelar sifu itu menterjemahkan perjalanan seni selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis. -Media Hiburan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan