petikan Harian Metro 27 Mei 2024
Syafil Syazwan Jefri - syafil.syazwan@hmetro.com.my
PENGORBANAN masa dan tenaga, tekanan dari industri serta tanggungjawab kepada keluarga adalah antara suka duka yang perlu dihadapi.Datuk M Nasir yang digelar 'sifu' bukan sebarang penyanyi, pencipta dan penulis lirik, tetapi seorang maestro yang mengukir sejarah dalam dunia muzik tanah air selama 45 tahun.
Kehebatan dan kebijaksanaan seninya meninggalkan jejak mendalam dalam setiap jiwa yang menyelami karyanya.
Namun, di sebalik kejayaan yang diraih, M Nasir juga melalui pelbagai cabaran peribadi. Kehidupan seniman bukan mudah, terutama apabila berhadapan kritikan dan jangkaan yang tinggi.
Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya. Nama M Nasir terus teguh berdiri, menjadikan setiap cabaran sebagai inspirasi untuk terus berkarya.
"Saya tak pernah tunjuk (kesengsaraan). Saya mana ada kongsikan apa-apa. Saya selalu disokong kawan-kawan. Kalau anda bertanya mengenai fasa sukar, kena tahu apa maksud sukar itu. Bagi saya, saya seronok dengan cabaran itu.
"Ada juga saat yang rasa 'berat', tapi tidak terlalu 'berat' sangat. Saya melihat dunia hiburan ini, tidak sampai kepada apa yang saya jangkakan. Ia tidak indah sangat. Orang punya rasa hormat kepada kita pun kurang.
"Kalau mengenai jangkaan pula, saya ini orang yang kalau ada lawak bodoh pun, saya akan ketawa. Tapi, orang tak tahu apa jangkaan saya," katanya.
Pengorbanan masa dan tenaga, tekanan dari industri serta tanggungjawab kepada keluarga adalah antara suka duka yang perlu dihadapi.
Dia percaya bahawa seni adalah cerminan jiwa dan emosi. Dan itu yang ingin disampaikan melalui setiap lagu dan lirik yang dicipta.
"Bila memandang karier saya, saya rasa nasib saya baik kerana pertama, saya pencipta lagu dapat buat banyak lagu dan banyak lagu hit berbanding orang lain.
"Orang melihat pencapaian seseorang itu dari sudut itu. Tapi, kalau macam Tan Sri P Ramlee, dia buat 200 lagu saja, manakala saya buat 3,000 lagu. Maksudnya, saya kena buat 3,000 lagu untuk sampai ke tahap ini. Dunia berubah, dah jadi komersial," katanya.
Ditanya mengenai jangka hayat usia kariernya, M Nasir berpegang dengan prinsip bahawa dia terus berkarya selagi terdaya.
"Selagi saya rasa saya boleh berkarya dan itu sebahagian satu pekerjaan. Bila bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga.
"Tapi, saya suka dengan bidang mencipta lagu ini. Kita buat daripada benda itu tak ada, kemudian ada 'bentuk' dan kemudian orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tak dapat.
"Jadi, susah kalau ditanya bila saya nak berhenti atau apa. Selagi saya dapat rasa nikmat itu, saya susah nak berhenti," katanya.
Hari ini, selepas 45 tahun berkarya, M Nasir dianugerahkan pelbagai penghormatan dan anugerah. Gelaran 'sifu' yang diberikan kepadanya adalah tanda penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam dunia muzik.
Namun, proses itu bukan semudah yang disangka kerana ia memakan masa berdekad-dekad.
"Susah dan senang. Dua-dua. Susah nak bentukkan diri menjadi saya ini, kena lalui zaman 60-an sehingga sekarang. Bagi yang lahir zaman ini, takkan menjadi M Nasir kerana tak melalui zaman itu.
"Kalau ditanya, akan ada lagi tak M Nasir, saya rasa mungkin tidak. Sama juga seperti kalau orang tanya, akan ada lagi tak P Ramlee? Tak ada. Benda itu berlaku secara semula jadi," katanya.
Kini bersempena 45 tahun pembabitannya dalam dunia seni , M Nasir bakal menggegarkan Axiata Arena Bukit Jalil menerusi Konsert Dato' M.N45ir Cipta anjuran Icon Entertainment yang berlangsung pada 10 Ogos depan.
SELEPAS 45 tahun langkah seni M Nasir tidak pernah terhenti."Lima tahun lalu saya dah adakan konsert bersempena 40 tahun perjalanan karier seni saya. Jadi, kali ini kami akan adakan sekali lagi, tapi dalam skala lebih besar dan konsepnya kami akan kembangkan.
"Kami tambahkan lagi lagu yang pernah dinyanyikan saya dan orang lain selama 45 tahun saya berkecimpung dalam industri muzik tanah air," katanya.
Akur dengan kemungkinan bahawa tidak akan dapat memuaskan permintaan semua peminat, M Nasir berkata, matlamat utamanya adalah mengisi jiwa mereka yang hadir.
"Mungkin ramai yang akan minta lagu macam-macam dan saya seberapa boleh akan melayani permintaan anda dengan cara saya sendiri.
"Konsert adalah persembahan daripada penyanyi dan pemain muzik. Kalau saya dapat hiburkan orang dan mereka pulang dengan penuh kegembiraan, jiwa mereka terisi dan dapat belajar sesuatu daripada lagu saya, itu sudah membahagiakan saya," katanya.
Perkataan Cipta yang diangkat menjadi judul konsert ini juga memiliki maksud tersirat daripada perspektif M Nasir sendiri.
"Cipta bermaksud ciptaan. Lebih kepada, yang dicipta. Kalau dari sudut seni muzik dan penciptaan lagu, pencipta itu adalah alat daripada Tuhan untuk mencipta lagu.
"Cipta lebih besar daripada mencipta. Ia lebih merangkumi segalanya dan bukan sekadar mencipta lagu," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan