Rabu, November 11, 2015

Pesta kembara M. Nasir

petikan Kosmo Online 11 November 2015
Oleh ARINA AZLAN
Foto Aizzul A.Majid


Tenaga dan aura M. Nasir tidak hilang momentum sepanjang lebih dua jam durasi konsert.

Hujung minggu lalu, hampir 10,000 peminat telah datang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan persembahan penutup tirai jelajah konsert M. Nasir...Kembara yang sudah bermula sejak Mei lalu.

Meskipun hujan renyai turun di Shah Alam sejam sebelum konsert bermula, ternyata cuaca begitu tidak mematahkan semangat ribuan peminat tegar Datuk M. Nasir yang setia menunggu sejak pukul 7 malam, hujung minggu lalu.

Pentas konsert dibuka oleh kumpulan pemuzik Pita Hati yang dijemput untuk bersama-sama berkongsi pentas dengan sifu muzik, sekali gus ayah kepada tiga daripada lima anggota band itu di hentian terakhir jelajah M. Nasir...Kembara.

Dalam kalangan peminat muzik indie, Pita Hati sememangnya punya pengaruh, namun keterujaan penonton pada malam berkenaan adalah M. Nasir.

Selain Pita Hati, seorang lagi penyanyi yang sedang menempa, Fynn Jamal muncul menggamatkan suasana stadium dengan lagu single terbaharunya, Suatu Pernah.

Sejak jelajah konsert berkenaan dimulakan di Pahang, Johor dan Pulau Pinang, Fynn merupakan artis undangan tetap yang muncul di setiap persembahan. Pada malam tersebut, Fynn turut melahirkan penghargaan buat M. Nasir kerana sudi menjemput dan memberi kepercayaan buatnya untuk terlibat dalam jelajah berkenaan.

“Terima kasih kepada sifu kerana memberi saya ruang untuk menumpang di pentasnya dan percayakan nilai seni saya,” laung Fynn di atas pentas sebelum mengakhiri persembahannya.

Pada malam itu, Fynn turut membawakan empat buah lagu termasuk Arjuna Beta, Terbang Tunduk dan Tahu.

Sifu kekal hebat

Saat yang dinanti-nanti peminat akhirnya tiba apabila M. Nasir naik ke pentas sambil melakukan gimik membuat sebuah lukisan pada sehelai kain rentang hitam yang dipasang khas di kiri dan kanan pentas.

Dengan diiringi alunan muzik dikir barat yang diketuai pelawak Sabri Yunus, M. Nasir yang ringkas berjaket hijau dan bercelana jeans hitam kelihatan bersahaja sambil tersenyum ke arah penonton.

Sebaik sahaja alunan dikir barat terhenti, pentas terus digegarkan dengan muzik lagu Rajawali. Sebaik sahaja M. Nasir membuka mulut menyanyikan bait-bait permulaan lagu berkenaan, dewan mula bergemuruh dengan tepukan peminat yang sudah terbakar teruja hanyut dalam irama konsert.


Seramai hampir 10,000 penonton membanjiri konsert M. Nasir...Kembara di Stadium Malawati pada Sabtu lalu.

Sukar untuk menepis kenyataan bahawa M. Nasir masih memberikan satu impak hebat. Berada di konsert berkenaan tidak ubah seperti berdiri dalam sebuah temasya muda-mudi, biarpun dikemudikan seorang lelaki yang sudah melewati usia 50-an.

Penonton bukan setakat terhibur, malah turut menyumbang kemeriahan konsert apabila bersama-sama menyanyikan setipa lirik lagu yang dipersembahan tanpa perlu diminta.

Tenaga dan stamina yang dipamerkan M. Nasir juga mengagumkan apabila beliau langsung tidak berhenti rehat sepanjang dua jam setengah berdendang dan menari mengikut rentak lagu di atas pentas. Sesekali beliau mengelap peluh yang membasahi wajahnya.

Tidak keterlaluan untuk menamakan Raikan Cinta sebagai kemuncak konsert berkenaan. Saat lagu tersebut berkumandang, penonton di tempat duduk aras atas berpusu-pusu turun ke arah paling bawah untuk menari bersama-sama.

Mereka berkumpul di hadapan pentas sambil melambai-lambai tangan dan mengikut rentak gerakan M. Nasir. Tidak ketinggalan tangan-tangan yang bersungguh-sungguh menghala telefon pintar ke arah pentas untuk merakam persembahan penyanyi kesayangan mereka itu.

Rata-rata peminat terdiri daripada generasi yang agak berusia, ironinya mereka juga seperti M. Nasir yang kekal bersemangat daripada lagu pertama sehingga judul terakhir dipersembahkan.

Pada usia 58 tahun dan kekal bertenaga mendendangkan 23 buah lagu, ternyata kehebatan M. Nasir tiada tolok bandingnya. Beliau masih berbisa walau sudah 40 tahun merajai muzik tempatan.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan termasuklah Mustika, Juwita, Keronchong Untuk Ana, Mentera Semerah Padi, Ada, Bonda, Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Hijab Kekasih dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Sesuai dengan gelaran sifu iaitu guru, M. Nasir membuktikan bakat seni andai dijaga dan dikekalkan kualitinya, pasti tidak akan lenyap ditelan zaman.

Tiada ulasan: