petikan Mstar 31 Mei 2026
oleh: Farol Hadi
MAHU memberikan kelainan dalam perialanan kerjaya muzik mereka, kumpulan Wings bakal tampil dengan dua album baharu sebagai hadiah buat peminat.
Menurut vokalisnya iaitu Awie, penghasilan dua album ini bukan sekadar memenuhi tuntutan semasa atau mengejar populariti dalam dunia muzik tempatan.
Sebaliknya, Wings mahu mencari kepuasan untuk memberi kelainan kepada peminat yang setia menyokong kumpulan itu sejak 40 tahun lalu.
"Kami dah ada puluhan album, jadi bukan lagi soal mahu kejar nama. Kami mahu kumpul banyak lagu yang akan dikeluarkan untuk menghiasi industri.
"Bukan ghairah nak menunjukkan ada album. Kami nak buat biar penuh dengan kepuasan supaya pendengar gembira," katanya kepada mStar.
Istimewa album kali ini, Wings sekali lagi bekerjasama dengan komposer M Nasir sebagai penerbit dalam salah satu album berkenaan.
Menceritakan tentang proses pembikinan, Awie memberitahu album yang membawa tema rock nusantara itu sudah mula dihasilkan sejak beberapa tahun lalu.
Setiap lagu yang dihasilkan cukup teliti dan mendapat sentuhan 'ajaib' M Nasir yang dilakukan secara spontan.
"M Nasir ada sentuhan luar biasa. Dia buat lagu secara depan-depan. Benda ini tidak ada pada semua orang. Jika ada sekalipun, mungkin tidak sehebat dia. Magis yang ada itu boleh buat satu lagu popular sehingga album pun popular.
"Itu memang cara dia mencipta lagu. Dia buat secara spontan," ujarnya.
Tambah Awie, sebuah lagi album baharu Wings mendapat sentuhan Edrie Hashim selaku penerbit dengan kerjasama setiap anggota.
Album berkenaan juga menjadi simbolik hala tuju muzik Wings selepas mengumumkan dua anggota baharu sejak Februari lalu.
"Kami nak cipta 'barang' baharu. Biar keluar 20 lagu sekali gus supaya pendengar ada pilihan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan