ANALITIC

Isnin, November 27, 1995

Merah' cabar kemampuan M. Nasir sebagai pengarah

petikan Berita Harian, 27 November 1995

Oleh Hanim Mohd Saleh

"Perkara pertama yang terlintas di fikiran kami (Nasir dan Awie) ialah untuk membuat filem action thriller. Kemudian selepas berbincang lagi, kami rasa perlu buat muzikal. Jadi akhirnya kami campurkan kedua-duanya sekali... action thriller-muzikal."

FILEM Merah, yang bakal menguji kemampuan penggubah lagu M.Nasir sebagai sutradara, tidak akan bersandarkan kecantikan pelakon wanita yang biasanya berlaku dalam filem-filem Malaysia.

Pelakon dan personaliti lelaki menguasai keseluruhan filem tersebut. Mereka terdiri daripada Awie (yang memegang watak Merah), Hani Mohsin, penyanyi Razzi Rahman, ahli bina badan Ishak Raja Etam dan Mohd Amin serta stuntman Arash Mohd dan M.Nasir sendiri.

Satu-satunya pelakon yang disifatkan cantik dalam filem itu ialah penyanyi Ziana Zain.

Bagaimanapun, Nasir cepat menjelaskan bahawa Ziana, yang memegang peranan utama, tidak akan ditonjolkan dari segi tarikannya, sebaliknya diberi watak mencabar yang berbeza daripada peribadi dirinya sebenar.

Merah mengisahkan seorang lelaki yang terperangkap dalam situasi sukar. Apabila gagal mendapatkan wang untuk merawat neneknya yang sakit, Merah bersama Hassan (M.Nasir) dan Salleh (Hani Mohsin) merancang satu rompakan bank.

Tetapi dia ditangkap dan dipenjara selama lima tahun. Selepas dibebaskan, dia bertemu kaunselor bernama Kasih (Ziana) dan jatuh-cinta kepadanya.

"Saya sedar saya mempunyai dua tanggungjawab besar dalam Merah, tetapi memandangkan adegan lakonan saya hanya sedikit, saya yakin boleh tumpukan perhatian kepada arahan," kata Nasir.

Filem itu adalah projek usahasama antara BMG Pacific dan syarikat Nasir, Luncai Emas. Ideanya timbul ketika Nasir dan Awie berbual untuk menghasilkan filem lakonan mereka, kata Nasir.

"Perkara pertama yang terlintas di fikiran kami ialah untuk membuat filem action thriller. Kemudian selepas berbincang lagi, kami rasa perlu buat muzikal. Jadi akhirnya kami campurkan kedua-duanya sekali... action thriller-muzikal," kata Nasir dalam sidang akhbar filem tersebut di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

Tidak seperti dua filem sebelum ini (Sembilu dan Sembilu II) yang menonjolkan Awie dan Ziana sebagai penyanyi sebagaimana watak mereka di luar filem, Merah bakal menguji kebolehan sebenar mereka dalam bidang lakonan.

Bahkan Ziana dan Awie kali ini tidak perlu menyanyi, kecuali menyumbang suara sebagai penyanyi latar.

Nasir berkata, mungkin sukar bagi Awie menukar gaya lakonannya.

"Semua orang tahu gaya Awie bercakap, berjalan dan menyanyi. Tugas saya ialah memastikan wataknya dalam Merah jauh sekali daripada wataknya sebagai Awie sebenar," kata Nasir sambil menambah bahawa beliau telah mengarahkan penyanyi tersebut agar menurunkan berat badannya untuk filem itu.

Watak Awie dalam filem tersebut ialah seorang yang panas baran, pendendam dan kasar.

"Saya benar-benar ghairah untuk menghidupkan watak ini. Oleh kerana jadual kerja saya begitu ketat, saya menggunakan setiap masa yang terluang menghayati skrip dan menonton seberapa banyak filem yang boleh," kata Awie.

Filem yang menelan belanja M$800,000 ($447,200) itu, dihasilkan dengan kerjasama Nasir dan Awie sendiri dengan skripnya ditulis bersama penulis lirik, Loloq.

"Skrip itu telah diubah sebanyak lapan kali sebelum kami semua setuju sebulat suara dan memulakan penggambaran," kata Nasir.

Tiada ulasan: