petikan Berita Harian, 16 Ogos 1992
RAMAI penyanyi Singapura terlalu bergantung kepada orang lain untuk maju. Kecuali dua tiga penyanyi, yang lain kelihatan kurang komited untuk memajukan diri mereka dalam bidang seni.
“Awak nilaikan sendiri. Kebanyakan artis Singapura tidak mencari pasaran baru. Album mereka tidak banyak keistimewaannya. Mereka terlalu bergantung kepada penerbit dan syarikat rakaman untuk lariskan album.
“Untuk terus hidup sebagai artis, kita perlukan kreativiti. Hasilkan album yang baik, yang pasti buat orang nak membeli.
“Siapalah yang nak beli album yang tidak menawarkan apa-apa untuk disimpan?” kata Nasir, anak kelahiran Singapura itu.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa penglibatan kebanyakan penyanyi Singapura secara sambilan merupakan sebab mengapa mereka tidak dapat mengusahakan album mereka secara bersungguh-sungguh.
Tentang kejayaannya menapak di Seberang Tambak sejak berhijrah ke Kuala Lumpur dalam akhir 1984, Nasir berkata rahsianya ialah bersikap ‘komited’ menerusi muzik dan kerja.
“Kena rajin, tak boleh lekas kecewa. Saya tahu taraf kebolehan saya dan saya ketengahkannya tanpa ragu-ragu,” katanya.
Nasir menolak dakwaan bahawa artis Singapura dianak-tirikan dalam perusahaan muzik Malaysia.
“Masalahnya sekarang ialah penyanyi Singapura sendiri yang tidak menawarkan keistimewaan. Di Malaysia sendiri, kalau mereka kurang bagus, sekejap saja namanya lenyap.
Kalau artis itu bagus, tentu pembeli, pemaju ‘show’, penerbit TV berebut-rebut undang awak menyanyi,” katanya terus terang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan