petikan Utusan Malaysia 25 Oktober 2001
M. Nasir (kiri) dan Sabri Yunus dalam konsert di Suntex City, Singapura Ahad lalu.
Oleh ROSLI MANAH
Disebabkan komitmen yang tinggi terhadap karier seni dan hasrat untuk menghiburkan peminat membuatkan M.Nasir sanggup mengadakan konsert walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.
Penyanyi yang menghidap penyakit batu karang itu kelihatan semacam menahan sakit semasa beraksi di atas pentas di Suntex City, Singapura Ahad lalu.
Malah dia juga tidak melompat sebagaimana kemunculannya di dalam konsert sebelum ini sebaliknya mengatur pergerakan dengan cermat.
Semasa mengajak penonton menari M. Nasir berkata: ``Saya yang ada batu (batu karang) ini pun boleh menari takkan anda semua tak boleh menari.''
Dia juga telah meminta untuk dihantar ke klinik sebaik sahaja selesai membuat persembahan setelah mula merasa sakit.
Pihak Warner Music yang membawa wartawan dari Malaysia melaporkan keadaan penyanyi itu tidak membimbangkan.
Walaupun sakit, persembahan hampir dua jam di Singapura itu kelihatan bertenaga dan menghiburkan. Sesuai dengan konsert yang dinamakan Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir Singapura 2001, dia memulakan persembahan dengan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu.
Bekas anggota kumpulan Kembara itu turut menyanyikan lagu-lagu nostalgia bersama kumpulan itu iaitu Hati Emas, Gelora dan Gerhana.
Ternyata lagu nostalgia menarik minat penonton yang turut menyanyi bersama-sama semasa dia menyanyikan lagu itu.
Semasa ingin menyanyikan lagu Balada Seorang Nelayan, M.Nasir berkata, dia teringin menyanyikan lagu itu semasa Kembara menghasilkan album pada akhir tahun 70-an namun lagu itu dinyanyikan oleh Sahlan.
M.Nasir juga menyanyikan lagu berkonsep blues antaranya Bikin Filem, Sayembara Hidup dan Ekspres Rakyat.
``Semasa saya mula-mula belajar muzik, saya turut cuba menghasilkan lagu blues dan soul,'' katanya sebelum menyanyikan lagu-lagu itu.
Persembahan lagu Langgam Pak Dogol bersama Sabri Yunus, Pak Ya dan kumpulan dikir barat Rajawali menjadi kemuncak konsert tersebut.
Sebelum M. Nasir muncul, Sabri dan Pak Ya membuat sketsa watak Pak Dogol dan Wak Long, dua watak badut dalam permainan wayang kulit. Ia selari dengan lagu tersebut yang berasaskan muzik dikir barat dan wayang kulit.
Sketsa dipanjangkan untuk membolehkan M. Nasir menukar pakaian. Dia muncul dengan pakaian ala-ala padang pasir sesuai dengan konsep lagu yang kesemuanya berteraskan muzik Arab.
Dia menyanyikan lagu-lagu petikan album terbaru yang bertema muzik Arab seperti Sahabat Gua, Bila Rumi Menari, Melawan Arus, Raikan Cinta dan Masirah.
M.Nasir menyanyikan sebuah lagu bonus berjudul Hijab Kekasih apabila penonton tidak berganjak dan memintanya meneruskan persembahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan