Isnin, Ogos 20, 2001

Muzik M Nasir bangkit jiwa merdeka

petikan emedia 20 Ogos 2001
Oleh Nor Akmar Samudin

SIFU M Nasir tidak perlukan tempat besar dan gah untuk mengadakan konsert istimewanya. Cukup hanya di sebuah studio.

Itulah yang berlaku ketika rakaman Konsert Phoenix Bangkit di Studio 1, ntv7, pada Jumaat lalu. Walaupun jumlah penonton terdiri dari kalangan ahli Kelab Sahabat yang hadir tidak sampai 200 orang tetapi ia amat berjaya.

Siapa tidak kenal cara M Nasir membuat persembahan di pentas. Sebelum ini pun sewaktu menyertai pertandingan, persembahan biasa atau konsert, dia muncul sempoi dan santai dengan baju longgarnya.

Kekuatan dan kelebihannya terletak pada irama dan lagu miliknya. Bukan gimik yang berlebih dan tidak kena serta menyakitkan mata.

Berbalik kepada rakaman konsert yang berkonsepkan relaks dan mesra itu, ia tidak menyediakan kerusi seperti kebiasaannya. Penonton kena duduk bersila di atas tikar getah yang dibentang di depan pentas yang berbentuk gua.

Atas permintaan Nasir juga setiap yang hadir disyaratkan berpakaian serba putih. Tetapi dia sendiri tidak menyarungkan pakaian sedemikian. Dia mengenakan kemeja jingga, berjaket dan berseluar kelabu. Menjawab soalan itu, seperti biasa tiada jawapan yang jitu daripadanya.

Apapun kecacatan yang sedikit itu tidak merosakkan ‘majlis’ kerana tumpuan lebih kepada lagu dan persembahannya. Sehingga habis rakaman tiada seorang pun mahu melonggarkan sila masing-masing.

Keadaan itu memaksanya menyanyikan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu sebanyak tiga kali. Nasir tampaknya begitu mesra melayani ‘karenah’ peminat dengan kesanggupannya memenuhi permintaan mereka.

Konsert yang memuatkan semua lagu dari album Phoenix Bangkit itu mengandungi mesej hebat dan mendalam, menghiburkan serta menaikkan semangat patriotisma. Lagu yang dipengaruhi kombinasi elemen muzik Timur Tengah dan Melayu itu diadaptasikan ke dalam konsert yang begitu kreatif dan simbolik.

Rakaman dimulakan dengan lagu Sahabat Gua, Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Oh! Anak, Dah Lagu Tu, Phoenix Bangkit Dari Abu, Langgam Pak Dogo, Hijab Kekasih, Raikan Cinta dan Masirah.

Mendengar lagu daripada album atau cakera padat tentu berbeza apabila menyaksikan persembahan secara langsung. Tiga lagunya dipersembahkan dalam susana cukup ceria, Bila Rumi Menari, Langgam Pak Dogo dan Masirah.

Seperti Langgam Pak Dogo yang memulakan pembukaan lagu dengan perbualan dalam loghat Kelantan. Agak membosankan jika setakat mendengarnya menerusi radio, cakera padat atau kaset tanpa disertai visual.

Tetapi apabila lagu itu ‘dikonsertkan’ ia menjadi ‘lain’ dan mampu membuat penonton goyang kepala. Tambahan kehadiran pelawak Sabri Yunus dengan perut buncit dan punggung tonggeknya, Pak Ya dan Haji Aiman.

Mereka juga yang menyumbangkan suara dalam lagu itu ketika rakaman. Ia dilengkapi persembahan dikir barat. Langgam Pak Dogo juga disempurnakan dengan persembahan dikir barat. Ia cukup membangkitkan semangat kebangsaan dan anti penjajahan diselitkan pembacaan puisi bertemakan kemerdekaan oleh tiga sahabatnya, Pyan Habib, Usop Kopratasa dan Masli.

Bagaimanapun memenuhi kehendak konsep konsert, sepanjang rakaman M Nasir tidak bercakap sepatahpun hanya meneruskan nyanyian dari satu lagu ke lagu seterusnya.

“Kurang kepuasan tidak dapat berinteraksi dengan penonton tetapi terpaksa juga kerana konsepnya begitu. Kali ini saya membiarkan muzik berperanan sebagai penyampai mesej.

“Tetapi saya rasa segala apa yang hendak disampaikan sudah diluahkan melalui 10 lagu itu yang memperkatakan mengenai perjuangan, kehidupan manusia dan alam.

“Setiap elemen tambahan yang dimasukkan dalam lagu itu ada ‘peranan’ masing-masing bukan sekadar memenuhi ruang kosong depan pentas.

“Kanak-kanak melontar bola plastik melambangkan jihad,” jelasnya ketika ditemui selepas rakaman.

Menurut penerbit dan pengarah konsert, Shahila Harun Shah, konsert itu bukan sekadar hiburan kerana setiap lagunya dipersembahkan melalui gaya penceritaan yang berbeza-beza.

Jelas Pengarah Seni Konsert, Jalil Ngah, persembahan konsert itu menggunakan teknik installation concept di mana setnya direka khas menggambarkan suasana di dalam gua.

“Cara itu juga nampak seperti Nasir sedang jamming dengan pemuzik handalan yang pernah bekerjasama dengannya. Kehadiran kumpulan dikir barat dan kanak-kanak membangkitkan semangat patriotik di mana secara simboliknya mereka mewakili generasi akan datang,” katanya.

Sepanjang konsert M Nasir diiringi penyanyi latar Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab), Tijah Muhammad (Eija) dan Rustam Mustafah.

Kelebihan yang ada pada M Nasir juga disokong sembilan pemuzik berpengalaman Saharuddin Saniman (dram), Mohd Fauzi Darus atau Jay-Jay (bass), Aznan Alias atau Nan (gitar utama), Ramli Hamid dan Ramli Abdullah (gendang), Muhardiman Ismail atau Mohar (seruling), Taheera Rosheena Mohamed (percussion), Zulkifli Mahad dan Ahmaed Firdus Mahmud (keyboard).

Mereka antara ‘angkatan’ yang bekerja dengannya sewaktu menghasilkan album Phoenix Bangkit.

Sebenarnya konsert itu mempunyi serampang dua mata. Di samping memperkenalkan lagu album barunya, Phoenix Bangkit, ia juga rkaman khusus menyambut kemerdekaan negara yang ke-44.

Konsert itu diterbitkan kerjasama Ten Ten On Pictures dengan Luncai Emas akan disiarkan pada 30 Ogos, 10.40 malam menerusi slot ntv, Mesti Tonton Merdeka.

Tiada ulasan: