ANALITIC

Ahad, Jun 16, 1996

Penyanyi M. Nasir 'digam'

petikan Berita Harian, 16 June 1996

Didakwa bersikap melampau terhadap Perdana Menteri Malaysia

SHAH ALAM — Penyanyi popular M. Nasir dilarang daripada muncul di televisyen dan radio mulai hari ini kerana dianggap melampau dan kurang ajar terhadap Perdana Menteri dan rakyat Malaysia dengan pertanyaannya "Siapa Mahathir?" kepada pemberita baru-baru ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Suleiman Mohamed, mengatakan semalam bahawa pengharaman itu melibatkan semua lagu nyanyian dan ciptaan penyanyi itu dan juga filem lakonannya.

"Ia dilarang di semua stesen radio dan televisyen di negara ini serta pentas-pentas kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Penerangan Datuk Mohamed Rahmat merasmikan Perhimpunan Setia dan Sukan Jabatan Penerangan di Stadium ITM di sini.

Kementerian Penerangan telah selesai menjalankan siasatan, hasil laporan akhbar-akhbar tempatan mengenai kejadian itu yang berlaku semasa latihan pembacaan puisi anjuran Kumpulan Utusan di Matic, Jalan Ampang, baru-baru ini.

"Nasir dah riak, kurang ajar dan melampau... tidak sedar bahawa dia popular kerana kita yang bagi dia peluang," katanya.

Datuk Suleiman berkata Menteri Penerangan yang telah dimaklumkan mengenai hasil siasatan itu 'sangat marah' dan dijangka membuat pengumuman lanjut mengenai keputusan pengharaman itu sekembalinya dari luar negara.

Ketika ditanya mengenai langkah pengharaman itu di stesen radio dan televisyen swasta, beliau berkata jika mereka menyiarkan juga lagu dan filem lakonan M. Nasir, mereka mempunyai dua pilihan, "...sama ada mahu mengekalkan lesen penyiaran mereka atau nakkan sangat penyanyi itu".

Datuk Suleiman berkata penyanyi itu sendiri tidak pernah menafikan membuat kenyataan itu dan kementerian juga berkeyakinan penuh terhadap kebenaran laporan yang dibuat oleh para pemberita itu.

Akhbar-akhbar melaporkan bahawa pada 3 Mei lepas apabila diminta membuat latihan mendeklamasi puisi kerana tetamu kehormat pada Malam Puisi Utusan itu ialah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, M. Nasir bertanya "...siapa Dr Mahathir?"

Datuk Suleiman berkata jika M. Nasir membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan seluruh rakyat Malaysia sekalipun belum tentu pengharaman terhadapnya ditarik balik tetapi kementerian sedia mengkajinya.

"Artis perlu bukan saja mematuhi etika yang telah ditetapkan dari segi berpakaian ketika muncul di televisyen, malah juga mengamalkan dan menghormati nilai-nilai murni budaya masyarakat Malaysia," katanya. — Bernama.


'Tidak niat persenda Dr Mahathir'

M. NASIR enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi Berita Minggu malam tadi.

Sebaliknya, isterinya, Cik Junainah Johari, memberitahu semasa dihubungi di syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd, suaminya sibuk di studio rakaman dan tidak mahu diganggu.

"Nasir tidak mahu komen apa-apa. Cuma dia ingin jelaskan dia tidak pernah bertanya 'Siapa Mahathir?' kepada wartawan-wartawan itu," jelasnya.

Bagaimanapun, M. Nasir memberitahu Buletin Utama TV3 malam tadi beliau terkejut dengan tindakan itu.

"Saya tak kata begitu. Saya tak tahu apa yang berlaku. Dan kalaupun berkata begitu, saya tidak bermaksud apa-apa. Ia tidak berunsur mempersoalkan kewibawaan Dr Mahathir," katanya.

Nasir selanjutnya berkata beliau tidak berniat untuk mempersenda atau berlaku tidak hormat terhadap Dr Mahathir.

Malah, beliau amat menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin kerana jasa-jasanya yang banyak kepada negara.

Beliau akan memberi penjelasan yang lebih lengkap kepada Menteri Penerangan Datuk Mohamed Rahmat mengenai kejadian itu apabila Datuk Mohamed pulang hari ini.

Penyanyi dan penggubah terkenal itu juga berkata beliau tidak dapat mengambil bahagian dalam satu latihan deklamasi sajak kerana kematian bapa mertuanya di Singapura, Allahyarham Johari Uriff.

Tiada ulasan: