Selasa, Jun 25, 1996

UTUSAN DIMINTA BERI PENJELASAN

 petikan BERNAMA 25 Jun 1996

 PETALING JAYA, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Penerangan hari ini meminta Kumpulan Utusan memberi penjelasan berhubung isu penyanyi M. Nasir yang dilaporkan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan ungkapan "Siapa Mahathir".

 Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat berkata penjelasan daripada Kumpulan Utusan penting bagi membolehkan beliau membuat keputusan muktamad secepat mungkin mengenai kedudukan M. Nasir yang karyanya telah dilarang daripada disiarkan oleh semua media elektronik dan cetak.

 "Bagi menjamin keadilan, kita perlu memanggil Kumpulan Utusan untuk memberi penjelasan kerana isu ini berpunca daripada laporan akhbar Utusan.

Kita mahu mereka memberi keterangan dan mengemukakan bukti dalam sehari dua ini," katanya kepada pemberita di sini selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian yang membuka laluan ke arah penubuhan "Channel Ten", sebuah syarikat penerbitan video dalaman.

 Semalam, M. Nasir hadir di Angkasapuri untuk memberi keterangan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Zawawi Mahmuddin, berhubung isu itu.

 Larangan penyiaran semua karya M. Nasir diumumkan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Suleiman Mohamad, pada 16 Jun lepas selepas penyanyi itu dilaporkan oleh Utusan sebagai bertanya "Siapa Mahathir" ketika diminta menghadiri latihan pembacaan puisi sempena Malam Puisi Utusan yang turut dihadiri Dr Mahathir baru-baru ini.

 Mohamed berkata, Zawawi belum memaklumkan kepadanya mengenai penjelasan M. Nasir itu.

 Katanya, tindakan terhadap M. Nasir diambil semasa beliau berada di luar negara kerana bercuti dan adalah wajar keputusan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas semua pihak diberi peluang memberi keterangan.

 Terdahulu, Mohamed berkata penubuhan "Channel Ten" memberi satu lagi saluran pilihan bagi pengusaha hotel di negara ini selain perkhidmatan "Vision Four".

 Katanya, kerajaan tidak bercadang untuk mengeluarkan lesen lain bagi perkhidmatan seperti itu.

 Beliau mengingatkan "Channel Ten" dan "Vision Four" supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan jika mahu kekal dalam perniagaan mereka.

 "Channel Ten", syarikat usahasama Cape Elegance Sdn Bhd (CAPE) dari Malaysia dan IPC Interactive Pte Ltd (IPCi) dari Singapura, akan menyediakan saluran berbentuk maklumat dan hiburan atau "Infotainment" kepada hotel, lapangan terbang, stesen Transit Aliran Ringan (LRT), hentian bas dan apartmen sewaan.

 Ketua Eksekutif CAPE, Azlina Aziz berkata, syarikat itu sedang berbincang dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam usaha menyediakan program dokumentari kepada penonton "Channel Ten" di samping program lain. -- BERNAMA

Tiada ulasan: