Selasa, Jun 18, 1996

M. NASIR NAFI PERSOALAN "SIAPA MAHATHIR"

petikan BERNAMA 18 JUN 1996

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Artis M.Nasir yang digam daripada muncul di radio dan televisyen berkuatkuasa Ahad lepas kerana dianggap melampau dengan pertanyaannya "Siapa Dr Mahathir", hari ini menafikan mengeluarkan kata-kata itu.

Beliau berkata persoalan itu tidak pernah timbul langsung dalam perbualannya dengan seorang wartawan akhbar tempatan kerana yang mereka bincangkan hanyalah mengenai filem dan produksinya.

Dia meminta kerajaan memberi peluang kepadanya untuk membela diri dan berharap kerajaan tidak mendengar daripada sebelah pihak (media) saja, katanya pada persidangan akhbar di pejabat syarikat rakaman BMG di sini.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Suleiman Mohamed ketika mengumumkan tindakan itu Sabtu lepas berkata segala bentuk karya M. Nasir dilarang daripada disiarkan melalui televisyen dan radio kerana artis itu dianggap sudah melampau dan kurang ajar terhadap Perdana Menteri.

Suleiman berkata penyanyi itu sendiri tidak pernah menafikan membuat kenyataan itu dan kementerian juga berkeyakinan penuh terhadap kebenaran laporan yang dibuat oleh para pemberita itu.

 Akhbar-akhbar melaporkan bahawa pada 3 Mei lepas apabila diminta membuat latihan mendeklamasi puisi kerana tetamu kehormat pada Malam Puisi Utusan itu ialah Dr Mahathir, M.Nasir bertanya "...siapa Dr Mahathir?".

Pengurus Besar BMG, Aziz Bakar berkata M. Nasir dan syarikat itu tidak membuat penafian terbuka selama ini kerana mahu menyelesaikan kontroversi itu secara "senyap-senyap".

Beliau berkata syarikat menghantar surat penafian kepada Utusan Malaysia pada 21 Mei, tiga hari selepas berita mengenai perkara itu disiarkan oleh akhbar itu.

Mereka juga menulis surat kepada Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung dengan kontroversi itu.

M. Nasir berkata dia telah meminta peguamnya, M. Puravalen untuk mengkaji kontroversi itu termasuk kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita yang dianggapnya mempunyai "niat jahat".  "Kontroversi ini telah menjejaskan reputasi, integriti dan sumber pendapatan saya," katanya.

 Aziz berkata kerugian yang besar bukanlah daripada segi kewangan tetapi peluang masyarakat menikmati karya kreatif M. Nasir ekoran pengharaman itu.

 M. Nasir yang berasal dari Singapura, terkenal bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai pencipta lagu, pemuzik, pemuisi, penerbit album, pelakon dan pengarah filem.

Ekoran pengharaman itu, Kedah dan Selangor telah mengharamkan konsert membabitkan penyanyi itu.

BMG Music (Malaysia) Sdn Bhd ialah syarikat rakaman yang menerbit dan mengedarkan album M. Nasir serta filem arahannya "Merah". -- BERNAMA

Tiada ulasan: