ANALITIC

Isnin, Jun 24, 1996

M. Nasir digam 'berdasarkan laporan media'

petikan Berita Harian, 24 June 1996

KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Suleiman Mohamed, berkata tindakan menggam artis M. Nasir dibuat berdasarkan laporan media massa mengenai kenyatannya yang menghina Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Tidak perlu kita berbincang dengan artis itu kerana semua surat khabar telah melaporkan kenyatannya terhadap Perdana Menteri," katanya semalam selepas menghadiri satu majlis di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Beliau ditanya pemberita sama ada kementerian telah menemui artis berkenaan dan menjalankan siasatan sebelum tindakan menggam penyanyi itu diambil.

Artis yang berasal dari Singapura itu dilaporkan telah mengeluarkan kata-kata "Siapa Mahathir?" kepada sekumpulan wartawan semasa latihan mendeklamasi puisi sebagai persiapan Malam Puisi Utusan Malaysia di Pusat Maklumat bagi Pelancong (Matic) di Jalan Ampang, April lalu.

Nasir dilaporkan mengeluarkan kata-kata itu setelah diminta supaya menepati masa untuk menjalani latihan memandangkan tetamu kehormat malam itu adalah Perdana Menteri.

Semasa ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen malam kelmarin, Nasir menafikan beliau mengeluarkan kata-kata itu.

Datuk Suleiman, yang juga Anggota Parlimen bagi Titiwangsa, berkata jika Nasir tidak puas hati dengan laporan-laporan berkenaan atau berpendapat bahawa beliau telah disalah petik, beliau boleh menyaman akhbar-akhbar berkenaan. — Bernama.

Tiada ulasan: